BAB 3

66 0 0
                                    

"TOLONGLAH setuju, Nini. Saya tak boleh hidup tanpa awak lagi..." Nafis merayu entah untuk kali yang ke berapa.

Bukannya Hidni tidak sayangkan Nafis, tapi apa yang Nafis minta memang tak pernah terfikir dek akalnya. Dia tidak pernah bermimpi pun. Macam mana Nafis boleh terfikir pasal rancangan begitu?

Nafis memang sedang bermimpi di siang hari.

"Awak ni, macam-macam tau. Dulu kita bergaduh sikit saja awak ceraikan saya dengan talak tiga. Bila dah tak boleh nak buat apa lagi, awak nak cari cina buta pula." Hidni menggelengkan kepala.

Pelik dia dengan rancangan Nafis. Hari kejadian tak mahu pula fikir habis-habisan. Ikut sedap mulut saja bercakap. Hidni sendiri terkejut dengan talak yang dijatuhkan Nafis. Berhari-hari dia menangis bagaikan hidupnya sudah tiada apa-apa lagi.

Sampaikan mamanya haramkan terus Nafis ke rumah mereka. Kata mama, dia belum pernah lagi jumpa lelaki yang mudah menjatuhkan talak.

Namun, oleh kerana rasa sayang yang masih ada, mereka tetap berhubungan. Sehinggalah ke hari ini, Nafis memberi cadangan yang paling tak masuk akal. Hidni tak pernah menjangkakannya.

"Awak nak tengok saya merana ke?" tanya Nafis.

Fikiran yang berfikir jauh tadi, terus hilang.

Hidni memandang Nafis. "Merana apa pula?"

"Merana sebab tak dapat bersama awak semula." Nafis berkata dengan suara yang sayu.

Mahu terus memujuk Hidni. Biar Hidni mudah mengikut rancangannya.

"Saya bukannya tak kasihankan awak, tapi siapa yang awak cari tu? Eiii, saya tak naklah. Awak pun tahu, memanglah orang guna istilah cina buta. Tapi, ikut syaraknya, saya kena bersama juga dengan si cina buta tu, barulah dia boleh ceraikan saya. Kalau dia tak nak cerai, macam mana?" kata Hidni.

Nanti mereka pula yang merana.

Nafis mundar-mandir selepas mendengar kata-kata Hidni. Masuk akal apa yang dicakapkan oleh Hidni.

"Awak baru terfikir, kan? Bukan senang nak cari cina buta yang betul-betul tak reti apa-apa. Nak cari orang gila, tak sah pula nak kahwin." Hidni menambah lagi.

Dia pun buntu. Ini semua salah Nafis kerana ringan mulut sangat menjatuhkan talak.

"Nanti saya carilah orang yang sesuai." Nafis berkata yakin. Dia mengukir senyuman.

Nafis sudah sewel kerana tetap mahu mencari cina buta.

"Nafis!" Hidni jeritkan nama Nafis.

Geram dengan sikap Nafis. Tak pernah fikir tentang dirinya. Selalu buat keputusan sendiri.

"Saya yakin kita akan jumpa orang yang sesuai." Nafis sengih lagi sambil mengangguk.

"Awak ni kan!" Hidni mengetap giginya. Dia mengutil lengan Nafis.

Nak buat macam mana, kerana Hidni pun masih menyayangi Nafis. Terpaksalah dia bersetuju. Hidni yakin Nafis akan mencari orang yang boleh dipercayai.

Siapa yang tidak sayangkan hubungan mereka? Sejak dari universiti sehingga ke hari ini, mereka sentiasa mencintai. Sampaikan semua orang nak termuntah dengan cara mereka menunjukkan rasa kasih itu.

"Awak nak saya hantar ke?" tanya Nafis.

"Nak kena maki hamun dengan mama lagi?" kata Hidni dengan kening terjongket.

Mamanya naik angin selepas Nafis menceraikannya dengan talak tiga. Keturunan mereka bukannya tiada yang bercerai. Tapi, tidaklah sampai talak tiga sekali gus. Sebab itulah mamanya terlalu marahkan Nafis.

LELAKI YANG KAU PILIHWhere stories live. Discover now