“Hai, Hana.”
Suara yang menyapa dari belakang membuatkan langkah Hana terhenti. Dia menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang empunya suara.
Oh, Nadeem rupanya.
“Nah.” Nadeem menghulurkan sekotak minuman kepada Hana. Kotak minuman itu berona merah muda tetapi yang lebih lembut. Warna merah muda yang dikategorikan dalam warna pastel.
“Apa ni?” Hana mengambil lalu meneliti kotak minuman itu. Ada tulisan pada hadapan kotaknya yang sudah pasti menyatakan jenis minuman. Oh, susu berperisa strawberi rupanya.
“Kenapa tiba-tiba belikan susu strawberi?” tanya Hana hairan. Nadeem hanya mengangkat bahu sebagai jawapan. Memang dia jujur dengan jawapannya. Sebenarnya, dia sendiri tidak tahu mengapa dia membelikan Hana susu strawberi.
“Aku tak tahu. Aku nampak susu ni dekat kedai tadi, teringatkan kau. Aku belikan lah untuk kau.” jawab Nadeem. Tak tahulah jawapannya itu membantu atau tidak. Fikir Nadeem, itu adalah jawapan paling terbaik dan jujur dia boleh berikan.
Memang betul pun dia teringatkan Hana saat melihat susu strawberi itu walaupun dia sendiri tak tahu apa sebabnya.
“Macam tu pun boleh eh? By the way, thank you. Kebetulan saya pun memang tengah dahaga.” ucap Hana berterima kasih seraya senyum kepada Nadeem. Nadeem membalas Hana dengan senyuman semula.
“Sama-sama. Kalau dah tak ada apa-apa, aku naik kelas dulu?” Nadeem meminta izin dari Hana untuk naik ke kelas. Urusannya di sini hanya menyerahkan susu yang dibelinya itu kepada Hana saja. Selesai urusannya, dia berhasrat untuk naik ke kelasnya semula bagi menyiapkan kerja rumah Sains yang diberikan gurunya semalam yang tertangguh kerana dia tertidur.
“Eh, awak tak makan dulu ke?” tanya Hana kepada Nadeem. Tak adillah kalau Nadeem membelikannya susu strawberi ini tanpa meminta satu sen pun darinya, tetapi dia langsung tak kisah pasal makan minum Nadeem kan?
Nadeem menggelengkan kepalanya sebagai jawapan. “Tak kot. Aku masih kenyang. Kau tu, pergilah makan. Kalau makan lambat, nanti masuk angin. Tak selesa badan.”
Hana hanya mengangguk menurut. Ada betulnya juga kata Nadeem itu. Sekarang pun perutnya sudah mendendangkan lagu keroncong yang sangat tidak sedap didengar. Ada baiknya dia segera menjamah makanan.
Jika tidak, makin banyak masalah yang timbul nanti.“Okeylah kalau macam tu. Saya pergi makan dulu. Bye, Nadeem.” ucap Hana sebelum melambai kecil Nadeem. Nadeem turut membuat lambaian kecil kepada Hana. Hana berjalan pergi dari situ, untuk menuju semula ke destinasi awalnya, kantin sekolah.
Banyak pilihan makanan yang berada di hadapannya sekarang. Berbagai rupa, bentuk dan warna. Dan tentu sekali dengan rasa yang berbeza-beza. Jauh berbeza dengan sekolah lamanya. Naik bingung juga dia memilih makanan untuk makan tengaharinya.
Akhirnya, dia memilih spageti Bolognese yang merupakan salah satu makanan kegemarannya.
“Berapa, pakcik?” Hana bertanya kepada seorang lelaki separuh usia yang berdiri di hadapannya lengkap berapron dan berkopiah. Mereka panggil pakcik ini, Paksu.
Paksu mengangkat wajahnya melihat Hana. Lama dia merenung Hana sebelum dia bersuara.
“Anak ni, Delima ke namanya?” Paksu tiba-tiba bertanya kepada Hana soalan sebegitu. Dengan ragu-ragu, Hana hanya mengangguk sebagai jawapan.
Paksu mengukir senyum tipis. “Kalau macam tu, anak tak payah bayar. Ada orang dah tolong bayarkan untuk anak.”
Sekali lagi Hana dihuni rasa hairan. Siapa pula yang pemurah membayar makanannya ini? Dan lagi persoalan, bila masa? Kenapa Hana tak tahu pun?
