BAB 6

15 1 0
                                    

SELEPAS kejadian culik dua minggu lalu, Kayla lebih banyak termenung. Walaupun Fauzan sudah ditangkap, dia masih tidak dapat melupakan kejadian itu. Terutama sekali Haikal.

Perbuatan Fauzan takkan Kayla maafkan. Lelaki itu mengaku yang dia tergila-gilakan Kayla sehingga sanggup mengambil keputusan untuk menculiknya. Itu alasan Fauzan.

Datuk Zain Omar mengarahkan siasatan dihentikan. Baginya, cukuplah Kayla selamat. Dia tidak mahu memanjangkan kes itu dengan alasan tidak mahu reputasi Kayla terjejas apatah lagi ia akan melibatkan reputasi XIN MY.

Hamzah tidak membantah. Baginya, itu adalah keputusan yang terbaik.

Kayla angau. Jaket Haikal yang tergantung di hadapannya dia renung lama. Tidak tahu di mana mahu mencari pemiliknya. Dia mengeluh. Nanar. Untuk menghalau rasa nanar itu, dia turun ke tingkat bawah. Kelaparan selepas sepanjang pagi hanya bermenung.

"Papa mana?"

"Papa kamu dah keluar awal-awal pagi tadi. Mungkin ada hal penting agaknya sebab dia keluar tadi pun tergesa-gesa."

Kerusi ditarik dan Kayla menghadap sarapan pagi dengan wajah hampa. Dua keping roti bakar diambil dan disuap sekali gus.

Putri melepas tawa melihat rajuk Kayla. Selalunya, Kayla makan dengan elegan. Kalau boleh, segalanya mahu sempurna. Saling tak tumpah dengan sikap arwah Datin Xin Ayu yang tertib dalam segala hal.

"Ni sudah dikira bagus, Kay, kalau nak dibandingkan dengan dulu."

Kayla diam sejenak. Ada benarnya kata Putri.

Sebentar kemudian, kedengaran bunyi enjin kereta Datuk Zain Omar memasuki pekarangan vila. Kunyahan Kayla terhenti. Dia meninggalkan sarapannya dan berlari ke pintu utama, meyambut kepulangan lelaki itu.

"Papa!" laung Kayla manja.

Namun, langkahnya mati. Senyuman mekarnya juga lesap.

Datuk Zain Omar tidak bersendirian. Dia pulang bersama seseorang. Haikal.

Kayla tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Mahu menyambut kedatangan itu, rasa tidak perlu. Mahu berlagak selamba, bimbang dikata sombong. Sudahnya, dia hanya terpacak dengan sejuta tanda tanya.

Datuk Zain Omar mempersilakan Haikal duduk. Kayla turut duduk, menghadap lelaki itu. Berminat untuk tahu apa yang membawa Haikal ke situ. Dalam diam, nanarnya terubat.

Lelaki itu hanya beraut serius. Serius, namun tenang. Kayla suka menatap wajah tenang itu. Ketenangan itulah yang buat dia melamun sepanjang hari.

"Ni Haikal. Papa yakin Kay masih ingat dia. Mulai hari ni, dia akan jadi bodyguard Kay. Soal keselamatan Kay, papa serahkan pada dia."

Cepat kepala Kayla berpusing ke arah Datuk Zain Omar yang duduk di sebelahnya. "Bodyguard?"

Datuk Zain Omar mengangguk.

"Kita tak pernah bincang pasal ni, kan?"

Tangan Kayla dicapai dan dielus lembut. "Hamzah call papa, minta papa bawa Haikal sebagai bodyguard kamu. Papa cuma buat apa yang disuruh. Lagipun, ni bagus untuk kamu."

Kayla terlopong. "Uncle Hamzah?"

"Yes. Why not, lepas apa yang berlaku."

"Kay tahu, tapi bukan ni caranya," tegas Kayla perlahan, kepada papanya.

Kayla hampa. Apa yang dia perlukan adalah kasih sayang dan perhatian daripada papanya. Kalau dia mahukan Haikal, dia akan berusaha untuk memilikinya. Tetapi, bukan sebagai bodyguard.

"Look, papa nak Kay berubah."

"Habis, papa ingat dengan bawa dia ke sini jadi bodyguard Kay, akan ubah Kay? You are wrong!"

Datuk Zain Omar bengang. "Kay cabar papa ke sekarang?"

Kayla diam. Ditelan air liur yang dirasakan amat pahit. Dia kerling Haikal yang langsung tidak memandang mereka. Namun, dia tahu lelaki itu belum pekak untuk tidak mendengar perbalahan itu.

"Haikal akan mula kerja esok dan... Haikal akan tinggal di sini sebab Hamzah nak Kay dikawal rapi 24 jam."

Kayla gigit bibir. Tidak tahu bagaimana mahu bereaksi. Menjerit kegembiraan atau menjerit kerana tekanan perasaan?

"Kenapa dia kena tinggal kat sini?" tanya Kayla, bengang.

"Habis tu, Kay nak papa buat apa lagi? Mengekor ke mana je Kay pergi? Ke kelab malam? Entah ke tempat apa-apa? Kay nak papa buat macam tu?"

Kayla merengus geram. Rambutnya dikuak ke belakang dengan kasar.

"Kalau Kay tak buat hal, kami takkan bertindak macam ni. Kay kena sedar semua ni salah Kay! Kay nak ke kena culik lagi? Papa tak nak perkara macam tu berulang tau."

Kayla bungkam. Tidak berani berlawan kata lagi. Dia akui kesilapannya.

Datuk Zain Omar mengarahkan Putri membawa Haikal ke rumah kecil yang terletak di belakang vila. Perhatiannya tertumpu semula kepada Kayla yang masih berpeluk tubuh dengan wajah masam.

"Papa buat semua ni untuk kepentingan Kay. Ingat tu." Datuk Zain Omar mengubah intonasi suaranya. Lebih lembut.

"Kay cuma perlukan papa. Kay tak perlukan bodyguard!" Kayla tegaskan lagi apa yang dia mahu.

"Papa tahu, tapi papa perlu kerja. Papa tak boleh nak selalu ada dengan Kay. Lagipun, Hamzah takkan terima bantahan Kay ni." Datuk Zain Omar menjeling Kayla tajam sebelum bangkit daripada duduknya.

Kayla menghantar pemergian Datuk Zain Omar dengan pandangan kosong. Gadis itu mengeluh berat.


KELUAR sahaja dari pintu utama, dilihat Haikal leka dengan telefon bimbit sambil menyandar selesa pada dinding. Kayla mendekat.

Haikal menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket Levi's. Pandangan terus terhala kepada gadis cantik di hadapannya.

"Nampaknya awak tak suka saya kat sini."

Kayla gigit bibir bawahnya. Kalau itu yang Haikal mahu tahu, jawapannya sudah pasti tidak. Dia suka Haikal di sini, tetapi bukan sebagai bodyguard.

"Kenapa awak terima tawaran ni?"

Haikal diam sejenak sebelum menjawab jujur. "Sebab bayarannya lumayan."

"Jadi... awak terima tugas ni sebab bayarannya lumayan?"

Haikal mengangguk. Ya, alasan itulah yang buat dia akhirnya menerima pelawaan itu setelah beberapa kali berfikir.

Jawapan itu menghampakan Kayla. "Saya harap awak suka dengan tugas awak nanti sebab saya akan pastikan awak putus asa."

Ugutan itu buat Haikal ketawa. "Kenapa? Bukan ke lebih bagus kalau ada bodyguard?"

"Not in this life. Terus terang saya cakap, saya tak suka awak jadi bodyguard saya!" Kayla tekankan kenyataan itu.

"Untuk pengetahuan cik, saya hanya terima arahan daripada Datuk dan Encik Hamzah."

"Kita tengoklah nanti setakat mana awak boleh tahan!"

Amaran itu tidak memeranjatkan Haikal langsung. Yalah, siapa mahu hidupnya dikawal dan diekori sentiasa? Namun, kerana status gadis itu, Kayla perlukan pengawal peribadi.

Keluasan kediamannya sahaja sudah cukup menggambarkan sejauh dan sebanyak mana kekayaan yang Kayla miliki. Itu tidak termasuk pakaian, aksesori yang tersarung pada badan Kayla dan deretan kereta di garaj. Berjalan mata Haikal menelitinya.

"Awak boleh Google, Instagram, Facebook and whatever... Awak akan jumpa macam-macam yang awak nak tahu tentang saya. Jadi, awak kena bersedia. Maybe, I'll make you lost your job!" Kayla menggertak, namun dalam hati hanya Tuhan yang tahu betapa gembiranya dia.

I'll make you my husband! jerit Kayla dalam hati dan berlalu dengan senyuman.

"Mari kita lihat setakat mana liarnya kamu, wahai si kaya."

Haikal senyum sinis. Tidak takut,malah dia sentiasa bersedia menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.

HER SAVIORWhere stories live. Discover now