KEDINGINAN pagi membuatkan tidur Kayla terganggu. Matanya melingas memerhati sekeliling. Mencari kelibat Haikal, namun lelaki itu tiada di situ. Tangan, kaki dan mulutnya tidak terikat lagi. Malah, tubuhnya diselimuti dengan jaket yang dipakai lelaki itu semalam.
Baju tersebut disarung ke badan untuk mengalas diri daripada kesejukan yang menggigit. Kayla melangkah keluar dari pondok sambil menggeliat malas. Tak sangka, dia sudah terlepas daripada cengkaman Fauzan.
Kayla mengukir senyuman lebar. Namun, senyuman itu tidak panjang apabila dia teringatkan Haikal. Dia tercari-cari dan langkahnya jadi kaku apabila terlihat Haikal sedang menikmati minuman.
Pandangan mereka berlaga saat Haikal berpaling. Kayla kaku. Itulah wajah di sebalik topeng semalam.
"Dah cukup rehat?"
Kayla angguk, kemudian tunduk.
Haikal menghampiri gadis itu, menghulurkan secawan kopi.
"Tak apa, terima kasih. Saya tak nak kongsi," beritahu Kayla jujur.
Haikal senyum sumbing. Cawan itu ditarik kembali dan kopi dihirup penuh nikmat.
Kayla telan air liur. Sebenarnya dia kelaparan, tapi dia mahu berhati-hati.
"Kalau awak dah cukup rehat, kita bertolak sekarang."
Lelaki itu mula mengatur gerak sambil meneguk air kopinya sehingga habis.
Berkemas dan bersedia untuk pergi.
Pantas sahaja Kayla buka langkah, membuntuti Haikal. Terkial-kial dia yang berkasut tinggi empat inci mengejar langkah besar Haikal. Ketangkasan lelaki itu membuatkan dia jauh ketinggalan di belakang.
"Wei, tunggulah..."
Kayla mengurut pergelangan kakinya. Kasut yang dipakai sedang menderanya.
Kelibat Haikal semakin menjauh. Kayla cuak. Bersusah payah dia bangkit semula.
Haikal toleh ke belakang, kemudian mengeluh. Kayla tiada di belakangnya.
"Maaf... Kaki saya sakit. Saya tak boleh jalan laju."
Kayla terduduk semula. Peluh yang merenik di dahi dikesat kasar. Penat, sakit dan lapar bergabung, melemahkan semangat Kayla.
"Saya dahaga."
Rungutan Kayla buat Haikal bercekak pinggang. Dia berusaha menahan sabar. Masa pertemuan semakin tinggal sedikit. Haikal sangat mementingkan ketepatan masa, tetapi dia juga tidak mahu berkasar dengan Kayla memandangkan keadaan Kayla kelihatan teruk.
"Kat depan sana tu ada anak sungai. Awak minum kat sana."
"Saya tak minum air yang tak dimasak."
Pengakuan Kayla buat Haikal ketawa sinis. "Saya takkan masakkan air untuk awak sekarang. So, bangun dan jalan."
Haikal sambung langkah, meninggalkan Kayla yang masih duduk berehat walaupun perjalanan mereka baru sepuluh minit berlalu.
"Tunggulah!" jerit Kayla kuat.
Haikal berpusing semula ke belakang dan kembali merapati Kayla.
"Mana ada orang pakai kasut tumit tinggi dalam hutan tebal macam ni."
Jari telunjuk Haikal terhala ke kaki Kayla.
"Kalau saya tahu saya akan diculik, mesti saya pakai boots semalam," lawan Kayla, tidak mahu kalah.
Haikal mengeluh berat sambil memandang Kayla yang masih merungut. Tanpa sebarang kata, dia kembali menyambung langkah. Namun, tidak lama kerana telinganya menangkap suara Kayla mengaduh.
YOU ARE READING
HER SAVIOR
RomanceTajuk: HER SAVIOR Penulis: NINA SWANTAN Mengikat hati kerana janji, mengukuh sejati dengan ikatan suci. Siapa bilang menjadi jutawan muda semudah disangka? Tidak bagi Kayla Kirana Xin. Dia jelita dan kaya-raya, namun hidupnya dikelilingi kesunyian...