BAB 4

37 1 0
                                    

DALAM kegelapan, Kayla menangis tersedu-sedan. Tidak mampu mengatasi rasa takut. Semakin banyak kemungkinan yang dia fikirkan, semakin berat tekanan yang menghempap dada.

"Tolong!!!" Kayla menjerit lagi, dengan harapan seseorang akan mendengar suaranya.

Namun, yang masuk hanyalah Fauzan. Hanya Fauzan yang mendengar jeritan itu.

"Boleh tak kau diam?!"

Fauzan tolak tubuh Kayla menyebabkan tubuh lemah itu terbaring ke lantai yang dingin.

"Lepaskan saya, Fauzan. Saya minta maaf," rintih Kayla.

Semoga hati Fauzan lembut. Sekurang-kurangnya janganlah dia dikasari.

"Maaf?" Fauzan membelai pipi Kayla yang sudah membengkak.

"Lepas kau malukan aku depan orang, kata-kata maaf daripada kau dah expired!"

"Saya akan bagi berapa banyak pun duit yang awak nak. Lepaskan saya ya?"

Fauzan senyum sinis. "Betul ni?"

Kayla angguk laju. Meyakinkan lelaki itu.

Fauzan membelai pipi Kayla lembut. Usapannya terhenti apabila terdengar bunyi teriakan dari luar. Dia kelam-kabut apabila seorang lelaki berbadan kekar sedang berdiri di sebelah kawannya yang sudah terbaring kaku.

Mereka bergelut dan dalam sekelip mata, Fauzan tewas.

Kayla yang tidak tahu apa-apa, menjerit kuat apabila bahunya direntap dan tubuhnya diangkat supaya berdiri.

"Tolong!"

Tubuh yang semakin lemah itu diangkat ke atas bahu.

"Fauzan, awak nak bawa saya ke mana pulak ni? Tolong!" Kayla meronta.

Sayangnya, rontaan itu tidak mampu membebaskannya.

"Lepaskan! Awak nak bawa saya ke mana ni?" ronta Kayla lagi.

"Diam. Kita masih dalam bahaya."

"Awak yang bahaya, Fauzan! Lepaskan saya. Saya nak balik! Tolong!"

Kayla tidak mahu terus berada dekat dengan Fauzan. Dia semakin benci kepada lelaki itu.

Kayla dibawa semakin jauh ke dalam hutan yang tebal dan gelap. Ketakutan Kayla sudah tiada taranya lagi. Kini, kemungkinan yang muncul dalam mindanya hanyalah maut.

Tidak! Ini bukan pengakhirannya!

Kayla berusaha untuk melepaskan diri dengan meronta sekuat tenaga. Rontaannya membuatkan tubuhnya terhempas ke dalam sungai. Kayla tercungap-cungap apabila hidung dan mulutnya dimasuki air. Terkapai-kapai tangannya mencari tempat berpaut.

Tangannya ditarik. Setelah merasakan dirinya bebas daripada cengkaman Fauzan, Kayla berusaha untuk bangun. Namun, tubuhnya ditarik rapat ke tubuh lelaki itu.

"Lepaskan saya, Fauzan!"

Bibir Kayla ditekup. Kayla cuak. Tautan kemas di pinggangnya buat matanya membulat. Pelukan kemas di pinggang dan tekupan di bibirnya membuatkan Kayla tidak mampu berbuat apa-apa.

"Shhh..."

Kayla yang ketakutan, mengeras. Kesejukan dan ketakutan buat tubuhnya menggigil.

"Saya akan lepaskan tangan saya kalau awak janji takkan menjerit," bisik lelaki itu ke telinga Kayla.

Kayla terkebil-kebil seketika. Dia yakin suara yang berbisik ke telinganya itu bukan suara Fauzan.

"Janji?"

HER SAVIORWhere stories live. Discover now