Peluang yang ada ini harus dia gunakan dengan sebaiknya. Lariannya diperlajukan lagi. Dia lari untuk hidup. Ini bukan kali pertama dia melarikan diri.
Jikalau dia tertangkap sekali lagi, dia bakal dipukul teruk. Dia tak mahu kembali ke tempat yang diibaratkan neraka buatnya. Bila dia tidak turutkan kemahuan mereka, tubuhnya akan dipukul tanpa henti. Satu seksaan buatnya.
Jeritan dan rayuannya meminta belas kasihan bagaikan melodi indah buat mereka. Manusia yang tidak berperikemanusiaan.
Menangis air mata darah sekalipun, dia takkan mampu menghentikan seksaan ke atas dirinya. Tekad yang dipasang di dalam dirinya membuatkan dia berada di dalam situasi cemas ini. Tiada sesiapa yang akan membantunya keluar dari tempat itu melainkan dengan usahanya sendiri.
Dia teruskan berlari tanpa hala tuju meskipun mula terasa lelah berlari tanpa memakai selipar. Hanya berkaki ayam. Dia berhenti seketika di tepi jalan, mahu menarik nafasnya yang kian sempit di dada. Membongkok badannya sambil memegang kedua lututnya. Nafasnya berbunyi kencang sekali.
“Aku dah jumpa dia!” Jeritan nyaring itu kembali menghentam gegendang telinganya. Mereka sudah berjaya menjejakinya.
Mampus la dia! Orang yang mengejarnya bukan dalam jumlah yang sedikit. Empat orang lelaki. Semuanya berbadan sasa dan mereka turut memiliki senjata.
Mengitari sekelilingnya baru dia tersedar di mana dia sekarang. Nampaknya sudah terlalu jauh dia pergi. Dia perlu menyorokkan dirinya di satu tempat. Tempat menunaikan ibadah di seberang jalan itu ditujunya. Dia melintas jalan dengan terburu-buru tanpa melihat kereta yang meluncur di atas jalan raya.
Pin!
Pin!
Bertalu-talu hon kereta berbunyi gara-gara tindakannya yang dianggap kurang waras. Tanpa disangka dia terjatuh di pertengahan jalan kerana tersadung. Dalam masa yang sama ada sebuah kereta meluru ke arahnya.
Adakah ajalnya sudah tiba? Mati dilanggar kereta.
Dia memejamkan matanya. Kalau inilah pengakhiran hidupnya...
Mata tercelik luas kembali di saat terdengar bunyi geseran tayar kereta di atas jalan. Dia melihat di hadapannya tiada kereta. Kereta tadi hilang dari pandangan! Bagaimana...
“Hoi nak mati ke?!” Pemandu kereta itu mengeluarkam kepalanya dari cermin tingkap keretanya dan melaung kepada gadis itu. Mujur dia berjaya mengelak tadi. Jikalau tidak dia akan disabit dengan kesalahan membunuh seorang gadis meskipun bukan salahnya jikalau gadis itu tiba-tiba berada di tengah jalan.
Dia menghembus nafas lega kemudian lekas berdiri. Bila menunduk, dia mendapati lututnya yang terdedah itu luka. Selepas beberapa ketika, baru dia mencerna apa yang terjadi. Rupanya kereta tadi berjaya mengelak daripada melanggarnya.
Segera dia melangkah masuk ke dalam masjid itu. Dia menghayun langkah ke arah tempat parking kereta yang berbumbung. Dia mencari tempat yang sukar untuk dilihat oleh sesiapa. Disorok dirinya di sebalik sebuah kereta. Terduduk dia di situ menyandarkan belakang badannya di kereta.
Dia berharap mereka tidak mencarinya sehingga ke sini. Buat masa sekarang inilah tempat yang selamat buatnya.
“Cari dia!”
Baru saja dia nak bertenang, kembali dicemaskan dengan pekikan suara itu. Dia menutup mulutnya sendiri kerana tidak mahu menghasilkan sebarang bunyi terutama sekali bunyi nafasnya yang kencang. Cecair jernih hangat mula mengalir keluar dari matanya.
Air matanya menitis kerana terlalu takut. Menggigil halus badannya. Dia tak mahu kembali ke tempat itu. Dia mahu bebas.
“Aku nampak dia masuk sini tadi!”
“Cari dia sampai dapat!”
Dia mencuri melihat keadaan di luar sana. Dia nampak mereka seperti mahu berpecah dari kumpulan untuk mencari dirinya. Langkah mereka serta-merta mati apabila ditegur satu suara.
“Assalamualaikum saudara.”
Matanya terkelip lemah melihat pemuda itu menegur pemburunya dengan mengajukan soalan sama ada mahu solat isyak berjemaah di dalam atau tidak. Tidak sampai beberapa minit, mereka sekumpulan beredar pergi dari situ.
Pemuda itu... penyelamatnya.
Sedikit saja lagi mereka berjaya menemuinya. Jikalau bukan disebabkan kehadiran pemuda itu pasti riwayat hidupnya tamat.
“Mereka dah pergi. Cik selamat sekarang.”
Dia tersentak. Kata-kata itu ditujukan kepadanya. Terangkat kepalanya merenung pemuda itu.
Sedikit pun pemuda itu tidak memandangnya yang berada di dalam kesamaran cahaya lampu. Sebaliknya dia berjalan pergi dari situ.
“Tu... tunggu...” Dia menahan seraya keluar dari tempat persembunyiannya.
Pemuda itu menghentikan langkahnya namun tidak memusing ke belakang. Statik dia berdiri di situ, menunggu bicara yang ingin dikatakan oleh gadis itu.
Sewaktu dia ingin mengambil barangnya di dalam kereta tadi, dia ternampak seorang gadis terburu-buru melangkah ke dalam perkarangan masjid itu. Dari raut wajah gadis itu yang dalam ketakutan, dia menebak sendiri gadis itu dalam masalah. Barangkali dikejar seseorang. Dia melihat saja gadis itu menyorokkan dirinya di sebalik sebuah kereta.
Tekaan pemuda itu tepat apabila tidak lama selepas itu sekumpulan lelaki berwajah bengis masuk ke dalam perkarangan masjid. Secara tidak langsung dia telah menyelamat gadis itu.
“To... tolong saya encik.” Lututnya dijatuhkan ke atas jalan. Tangannya terketar-ketar ingin memegang kaki pemuda itu.
Pemuda itu terperanjat dengan tindakan gadis itu. Segera dia melarikan kakinya yang disentuh sedikit tadi. Dia dapat mengagak kedudukan gadis itu sekarang sedang melutut di belakangnya. Dia tidak berani berpaling ke belakang disebabkan pemakaian gadis itu yang terlalu menjolok mata.
“Tolong saya encik. Saya merayu.” Terlepas esak tangisan si gadis itu ketika menuturkan ayatnya. Dia sudah lelah dengan semua ini. Entah mengapa dia mengharapkan pertolongan dari pemuda itu. Mungkin kerana pemuda itu telah menyelamatnya tadi.
Pertolongan itu menyesakkan dada Irfan.
Tegarkah dia mahu mengabaikan pertolongan dari insan yang dalam kesusahan.
“Angah... Kenapa ni?”
***
Menarik untuk permulaan?

ANDA SEDANG MEMBACA
KESAYANGANKU SARRA
Romance"Mereka dah pergi. Cik selamat sekarang." Pertemuan mereka bermulanya di masjid. Pertolongan yang dihulurkannya hanya setakat itu saja. Namun, rayuan gadis itu menyesakkan dada Irfan. Tegarkah dia mahu mengabaikan pertolongan dari insan yang dalam k...