BAB 3

48 1 0
                                    

DATUK ZAIN OMAR mundar-mandir di ruang tamu. Dia segera pulang selepas menerima panggilan daripada Putri yang mengatakan Kayla diculik. Putri dapat tahu perkara itu daripada tukang kebun jiran mereka yang melihat seluruh kejadian.

"Tolonglah, encik. Selamatkan anak saya," rayu Datuk Zain Omar. Terdesak.

"Kami sedang berusaha, Datuk."

Perbincangan demi perbincangan berlangsung di ruang tamu, membuatkan Datuk Zain Omar semakin tidak tenang.

"Nilah akibatnya kalau sehari pun susah nak lekat kat rumah. Aku dah cakap jaga diri, tapi degil jugak!" bentak Datuk Zain Omar geram.

Telefon bimbitnya yang bergetar dikeluarkan dari poket seluar. Datuk Zain Omar menjauh daripada Putri yang masih teresak-esak. Selepas berbual seketika di talian, dia kembali kepada Putri.

"Kamu kenal mana-mana kawan Kayla?" tanya Datuk Zain Omar serius.

Putri hanya menggeleng. Selain Kim, Putri tidak kenal mana-mana lagi kawan Kayla.

"Kamu jangan bohong, Putri. Sejak kecil kamu jaga budak tu, takkan sampai sekarang kamu tak kenal siapa kawan-kawan dia?"

"Memang saya tak kenal kawan-kawan dia, Datuk. Kay tak pernah bawa sesiapa balik ke vila selama ni. Apa yang dia buat kat luar, saya tak tahu langsung," beritahu Putri, jujur.

Namun, bukan mudah untuk Datuk Zain Omar percaya. Dengan gaya hidup liar anaknya itu, mustahil Kayla tidak membawa sesiapa pun pulang ke rumah.

"Nyawa Kayla dalam bahaya pun kamu masih nak bela dia, Putri?" Besar anak mata Datuk Zain Omar menyoal Putri.

"Memang betul, Datuk. Saya tak tipu. Kayla taklah seteruk yang Datuk sangka."

Hanya dia yang kenal Kayla. Keburukan dan kebaikan Kayla berada dalam sanubarinya. Dia yang menjaga dan membesarkan Kayla. Baginya, Datuk Zain Omar tidak layak menyoalnya begitu selepas menidakkan tanggungjawabnya sebagai ayah.

Datuk Zain Omar kembali mundar-mandir. Duduk salah, berjalan juga salah.

"Pernah tak kamu lihat sesiapa ganggu Kayla sejak kebelakangan ni?" tanya Datuk Zain Omar lagi. Masih tidak puas hati.

Putri diam seketika, cuba berfikir. Bagaimana dia nak tahu sedangkan Kayla mabuk setiap kali pulang ke rumah? Kadangkala dia tidak sedar langsung bila gadis itu pulang.

"Tak pulak, Datuk. Kayla cuma ada seorang kawan yang selalu hantar dia balik rumah bila dia mabuk."

Perkataan mabuk buat Datuk Zain Omar semakin gelisah. Merah wajahnya menahan rasa marah.

"Siapa nama dia?"

"Nama dia Kim. Dia kerja di kelab malam yang Kayla selalu pergi."

"Tuan, siasat budak tu jugak," ujar Datuk Zain Omar kepada dua orang anggota polis yang ada di situ.

"Ke kamu ada rancang sesuatu?" tanya Datuk Zain Omar curiga.

"Tak, Datuk. Sumpah. Saya dah anggap Kayla seperti anak sendiri."

"Anak tak anak! Kalau anak tu berharta, tak salah, kan?"

Sindiran itu buat tangisan Putri kembali berlagu.

"Tuan, siasat orang gaji ni sekali. Orang gaji zaman sekarang bukan boleh percaya sangat. Banyak sangat muslihat." Datuk Zain Omar menuding jari kepada Putri.

Seorang inspektor menghampiri Putri, menyoal siasat Putri. Putri tidak membantah kerana yakin dia tidak bersalah. Nak jentik Kayla pun dia tak mampu, inikan pula mahu menyakitinya begitu. Amanah Datin Xin Ayu dipegang kukuh sampai ke hari ini.


PUTRI dan Datuk Zain Omar yang menunggu sebarang panggilan sejak pagi tadi bingkas bangun setelah mendengar deringan telefon.

Tanpa berlengah, Datuk Zain Omar terus menjawab panggilan itu. "Kayla? Sayang?"

Ada tawa jahat di hujung talian.

"Celaka! Lepaskan anak aku!"

"30 juta tukarannya." Talian dimatikan.

Datuk Zain Omar kaku. Lututnya semakin lemah. Dia terduduk di lantai sambil mengurut dada.

Beberapa orang anggota polis membantunya bangkit dan duduk di sofa. Mereka meminta agar Datuk Zain Omar bertenang dan cuba mengawal emosi.

Putri yang melihat keadaan Datuk Zain Omar jadi semakin tidak tenang.

"Macam mana semua ni boleh berlaku?" soal Datuk Zain Omar, menggeleng kesal.

"Datuk sabar dulu. Anak Datuk masih belum selamat. Tapi, kami dah jumpa lokasi tu. Kami akan cuba selamatkan anak Datuk."

"Insya-Allah, Kayla takkan apa-apa. Saya akan hubungi peguam Hamzah. Kita minta bantuan dia," cadang Putri.

Dalam keadaan terdesak begitu, dia hanya terfikir tentang peguam yang memegang wasiat Datin Xin Ayu.

"Macam mana kamu tahu tentang Hamzah?" tanya Datuk Zain Omar serius.

"Setiap bulan dia akan ke sini untuk serahkan duit belanja Kayla seperti yang diwasiatkan oleh Datin. Dia pernah kata, kalau ada apa-apa masalah, kami boleh hubungi dia."

Datuk Zain Omar menggenggam tangannya kuat. Siapa tak kenal peguam itu. Banyak yang berlaku antara mereka. Kalau bukan kerana keselamatan Kayla, Datuk Zain Omar tidak akan meminta bantuan lelaki itu.

"Kamu hubungi dia. Kami perlu berbincang juga."

Putri angguk patuh.


"APA yang berlaku? Betul ke apa yang saya dengar tadi?" tanya Hamzah cemas.

Dia mengambil tempat berhadapan dengan Datuk Zain Omar.

"Hal macam ni bukan gurauan."

Pertanyaan lelaki itu buat dia jengkel. Memang sejak dulu hubungan mereka tidak pernah baik.

"Macam mana boleh jadi macam ni?"

"Sesiapa pun tak nak perkara macam ni berlaku. Apa yang penting sekarang ni, kita kena cari jalan untuk selamatkan Kayla!" tekan Datuk Zain Omar.

Dia melarikan pandangan apabila Hamzah memandangnya dengan pandangan syak.

"Jangan pandang saya macam saya yang rancang semua ni!"

"Saya tak cakap apa pun, kan?" Hamzah senyum sinis.

"Tolonglah, encik. Mereka akan bunuh Kayla," tangis Putri, merayu.

"Baiklah. Saya akan selesaikan demi Kayla." Hamzah bangun dan menyapa Inspektor Hamdan.

Banyak yang mahu dia tanya tentang siasatan polis setakat ini sebelum mengeluarkan wang tebusan yang penculik mahukan.

"Kami dah jumpa lokasi penculik tu dan sekarang pegawai kami dah bergegas ke sana. Kita kena berhati-hati juga."

"Baiklah. Tapi, saya tak mahu anak guam saya sampai cedera. Saya akan keluarkan wang tebusan kalau keadaan betul-betul mendesak."

Inspektor Hamdan angguk.

Hamzah duduk semula di hadapan Datuk Zain Omar yang kelihatan semakin tertekan.

"Kes ni nampak mencurigakan. Tapi, tak apa, saya akan bantu Kayla."

"Habis tu, awak fikir saya buat ni untuk siapa? Dan, jangan fikir awak yang bantu dia. Duit tu milik Kayla. Tugas awak cuma keluarkan duit tu. Jangan berlagak lebih daripada tu!" Datuk Zain Omar bingkas bangun dan berlalu dari situ.

Rimas berhadapan dengan lelaki yang baginya hanya berlagak baik.

Hamzah pandang lelaki itu lama. Entahkenapa rasa syaknya menebal. Segalanya mungkin. Seorang ayah juga bolehmenculik anaknya kerana tamak.

HER SAVIORWhere stories live. Discover now