"KAY nak keluar sekejap. Nak pergi beli hadiah untuk ahli keluarga Kak Put. Sebelum tu, Kay nak singgah salon sekejap, nak buat rambut. Kay balik lewat sikit tau. Tak payah masak."
"Kay cakap apa tadi? Nak beli hadiah untuk keluarga Kak Put?"
Kayla angguk. "Kay nak ke Bali minggu depan. Alang-alang, Kak Put ikut sekalilah, sebab Kay ke sana dua minggu. Kesian Kak Put nanti tinggal sorang kat rumah lama-lama."
"Betul ni?" tanya Putri, teruja. Hampir melompat wanita itu.
"Takkan Kay nak tipu pulak. Kay pergi ya."
Kayla memandu berhati-hati keluar dari pekarangan vila. Dia membunyikan hon dan melambai Putri di hadapan pintu utama vila tiga tingkat itu.
Kayla memperlahankan pemanduan apabila seorang lelaki tua menahan keretanya. Dia turunkan cermin kereta.
"Nak, boleh tolong pak cik sekejap tak?"
"Kenapa, pak cik?"
Tanpa syak, Kayla terus keluar.
Tiba-tiba, lima orang lelaki meluru ke arahnya. Mulutnya ditekup kuat sehingga menyukarkan dia menjerit meminta tolong. Kayla meronta-ronta, namun rontaannya tidak mampu mengalahkan tenaga lima orang lelaki yang mengangkat dan memasukkannya ke dalam sebuah van berwarna hitam.
"Tolong!"
Pukulan di tengkuknya membuatkan Kayla terkulai.
KAYLA buka kelopak mata. Gelap. Kegelapan itu membuatkan dia sesak nafas. Terkial-kial dia cuba bangun. Tangan dan kakinya terikat. Kayla telan air liur. Putaran memori siang tadi buat dadanya turun naik dengan laju.
"Helo! Tolong!" jerit Kayla kuat.
Bunyi berkeriut dari luar buat Kayla mengerekot ketakutan. Dia tidak tahu dia sedang berhadapan dengan apa atau siapa.
Kelibat bertopeng yang mendekat buat Kayla kecut perut. Seluruh tubuhnya kaku. Hanya desah nafas kedengaran. Semakin lama semakin laju apabila Kayla sedar anak mata tajam itu hanya merenungnya.
Lelaki itu mencangkung di hadapan Kayla. "Desah nafas kau buat aku hilang akal."
Kata-kata itu buat bulu roma Kayla meremang. "A... awak ni siapa? Lepaskan saya!"
Tawa sinis kedengaran. Tangan kasar lelaki itu menarik dagu Kayla, mahu gadis itu memandangnya.
"Kalaulah kau boleh tahu betapa dalamnya cinta aku. Bukan setakat lepaskan kau, malah aku sanggup lakukan apa saja untuk kau, Kayla Kirana Xin."
Kayla paksa mindanya bekerja untuk memikir dan mengingati siapa pemilik suara itu kerana daripada kata-kata lelaki ini, mereka seolah-olah saling mengenali.
Aniq? teka Kayla dalam hati. Tak mungkin kerana lelaki itu masih menjalani hukumannya di penjara.
Kayla mengelak apabila lelaki itu cuba memegang pipinya. Jijik. "Lepaskan saya! Apa yang awak nak ni?!"
"Apa salahnya kalau aku biarkan kau terseksa sikit? Selama ni kau buat aku terseksa, Kayla. Kau buat jiwa raga aku meronta-ronta."
Lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Puas hati kerana berjaya buat Kayla Kirana Xin yang megah dengan apa yang dimiliki kelihatan kalah.
Kayla menyumpah diri sendiri kerana kebanyakan hari-hari yang dilaluinya dikuasai alkohol. Mana mungkin dia bisa mengingat semua orang yang dia jumpa, apatah lagi mengecam suara mereka.
Lelaki itu membuka topeng mukanya.
Kayla terkejut. "Fauzan?!"
Sejak dulu lagi Fauzan menyimpan perasaan kepadanya, malah lelaki itu sering mengganggunya di kelab malam. Pernah juga pergaduhan berlaku antara Fauzan dengan kawan-kawannya kerana lelaki gatal itu tidak pernah berputus asa.
"Apa yang awak nak daripada saya, Fauzan?!"
"Aku nak segala-galanya. Semuanya. Kau dengan harta-harta kau." Fauzan pandang Kayla dari hujung kaki sampai hujung rambut.
Gadis itu buat naluri lelakinya meronta saban hari. Sejujurnya, sekarang juga dia mahu membaham tubuh indah milik gadis cantik itu, namun dia dihalang memilikinya sebelum waktu yang dibenarkan.
"Dulu, aku ingatkan senang saja nak dapat kau. Tapi, kau terlalu keras hati sampai aku terpaksa guna cara ni. Aku minta maaf, Kayla. Aku tak suka kalah."
Bibir Kayla dicubit geram.
Kayla menjerit.
Memang selama ini Fauzan mendambakan Kayla. Gadis yang bukan sahaja memiliki paras rupa dan bentuk badan yang menawan, malah memiliki kekayaan yang tidak terhitung. Lelaki mana tidak mahu memilikinya?
"Lepaskan saya, Fauzan. Awak dah gila ke?" bentak Kayla.
Fauzan menerpa, menyebabkan belakang kepala Kayla terhantuk ke dinding. Turun naik nafas kasarnya menampar pipi Kayla walaupun Kayla berusaha untuk mengelak.
"Memang aku gila!" bentak Fauzan.
Tangisan Kayla menyelubungi suasana.
"Aku gilakan kau! Pertama kali aku pandang kau pun kau dah buat aku gila! Tapi, kau sombong! Kau hina aku!"
Tangan Fauzan mula menjalar ke kaki, kemudian ke paha Kayla yang terdedah. Kayla meronta-ronta dalam tangisan yang tidak siapa pun mampu dengar.
"Lepaskan! Tolong!"
"Jeritlah sekuat hati!" Fauzan ketawa kuat, kemudian keluar dari bilik kurungan apabila telefon bimbitnya berbunyi.
Tangisan Kayla semakin menjadi-jadi.
Kejadian sebulan yang lalu terlayar kembali dalam benak fikirannya. Fauzan adalah sepertinya, pelanggan di kelab malam milik Tauke Lim. Malam pertama Fauzan berkunjung ke situ lagi dia sudah cuba mendekati Kayla.
Percubaan Fauzan mempelawanya menari ditolak kasar di hadapan sahabat yang lain. Malah, penolakan itu dibarakan lagi dengan kata-kata kesat akibat pengaruh alkohol dan kini, Kayla sedang menerima balasan atas kekasaran itu.
"FAUZAN! Lepaskan saya!" Kayla melaung kuat dalam kegelapan dan kesejukan yang menggigit.
"Kau nak aku lepaskan kau?"
"Tolong, Fauzan. Saya akan bagi berapa pun yang awak nak. Tolong lepaskan saya!"
Permintaan mendesak Kayla buat Fauzan ketawa sinis.
"Aku takkan lepaskan kau selagi aku tak dapat apa yang aku nak! Aku akan lepaskan kau lepas aku dah muak!"
Kepala Kayla ditunjal kasar.
Fauzan senyum. Yakin kemenangan akan berpihak kepadanya. Kayla sudah dalam genggaman, hanya menunggu masa untuk diratah sahaja. Fauzan bangun. Dia pandang Kayla dengan keinginan yang menggila.
"Papa, tolong Kay!"
"Panggillah dia sekuat hati kau. Dia takkan datang. Dia takkan peduli. Mari. Kita kena pergi dari sini!"
Tubuh Kayla diangkat dan diletak diatas bahunya.
YOU ARE READING
HER SAVIOR
RomanceTajuk: HER SAVIOR Penulis: NINA SWANTAN Mengikat hati kerana janji, mengukuh sejati dengan ikatan suci. Siapa bilang menjadi jutawan muda semudah disangka? Tidak bagi Kayla Kirana Xin. Dia jelita dan kaya-raya, namun hidupnya dikelilingi kesunyian...