"PUTRI, Kayla mana?"
Kalut orang gaji itu mahu menjawab. Putri sendiri terkejut melihat majikannya muncul tiba-tiba. Selalunya, usahkan tanya ke mana Kayla, mahu menatap wajah anak gadisnya itu selama lima minit pun susah. Ada sahaja alasan lelaki itu untuk mengelak.
"Kayla masih tidur, Datuk," jawab Putri perlahan sambil menuang jus oren ke dalam gelas Datuk Zain Omar yang sedang menghadap makan tengah hari.
"Pergi kejut dia. Ada perkara saya nak bincang dengan dia."
Putri terus ke tingkat atas. Masuk sahaja ke dalam bilik tidur Kayla, dia melepas keluhan berat. Matanya dijamu dengan pakaian dan majalah yang bertaburan di atas lantai. Segala aksesori juga berserabai di merata tempat sedangkan barang kemas milik Kayla semuanya daripada jenama terkenal dunia.
Puteri mengutip barang-barang kemas tersebut dan dimasukkan ke dalam kotak yang tersedia. Langsir bilik yang menyuramkan ruang kamar Kayla diselak kasar.
"Kayla, bangun. Entah bala apa nak datang, papa kamu tiba-tiba tanya pasal kamu," omel Putri sambil tangan laju mengutip dan menyusun majalah ke rak buku.
"Apa yang Kak Put bebelkan pagi-pagi ni?"
"Pagi kamu kata? Cuba tengok jam tu."
Jari telunjuk Putri tertuding pada jam di dinding.
Kayla pusing dan memandang jam. Memang patut pembantu rumahnya itu marah. Waktu sudah menunjukkan pukul 1.30 petang. Mahu tak mahu, Kayla paksa dirinya bangkit dan termenung seketika. Masih mamai.
"Tunggu apa lagi? Papa kamu dah tunggu kat bawah tu."
Mata Kayla membulat. "Ya."
Kayla selak selimut dan turun dari katil. Tiba-tiba rasa teruja, tetapi bila difikirkan semula, dia jadi tidak sedap hati.
"Apa mimpi dia tiba-tiba balik nak jumpa Kay?" soal Kayla dalam syak.
"Manalah Kak Put tahu. Pergilah jumpa dia. Sekurang-kurangnya dia ingat kamu masih hidup."
Kayla ketawa. Tubuh yang sedang membongkok mengutip dan menyusun itu dipeluk erat. Sayang kepada pembantu rumahnya itu.
"Selama ni pun kita tinggal berdua saja kan, jadi Kay tak kisah pun kalau dia kejap ada kejap tak ada macam ni. Dah lali."
Putri ternganga tidak percaya. Tetapi, dia tidak salahkan Kayla. Memang patut gadis itu semakin lali dengan sikap acuh tak acuh Datuk Zain Omar yang seakan-akan menidakkan siapa Kayla kepadanya.
SETELAH setengah jam Datuk Zain Omar menunggu, akhirnya Kayla turun. Jarang sekali dapat berjumpa, banyak yang dia tertinggal. Sedar tak sedar, anak gadisnya itu sudah meningkat dewasa dan semakin jelita. Kejelitaan yang diwarisi daripada arwah isterinya.
"Hai, papa." Kayla menyapa sepatah dan terus duduk.
"Apa yang kamu buat selama papa tak ada?" tanya Datuk Zain Omar, serius.
Tawa sinis Kayla terhambur.
Datuk Zain Omar angkat muka. Kaca mata yang dipakai ditanggalkan. Dia pandang Kayla serius.
"Kenapa ketawa? Sebab duit kamu masih banyak?"
Kayla tidak memberi sebarang reaksi pada soalan itu, sebaliknya meneguk jus.
"Papa balik berapa lama ni?"
Itulah yang sering Kayla tanya kerana papanya jarang pulang ke rumah. Pulang sehari, kemudian tiga hari menghilang.
"Lepas kamu balik dari London, kamu langsung tak buat apa-apa. Berfoya-foya tak tentu pasal, menghabiskan duit saja. Bila nak jemu?"
Jarang sekali bertemu dan duduk berhadapan begitu membuatkan Kayla tidak mengharapkan kritikan dari bibir lelaki itu. Bertanya khabar juga tidak, inikan pula bersalaman dan berpelukan mesra seperti ayah dan anak yang lain.
YOU ARE READING
HER SAVIOR
RomanceTajuk: HER SAVIOR Penulis: NINA SWANTAN Mengikat hati kerana janji, mengukuh sejati dengan ikatan suci. Siapa bilang menjadi jutawan muda semudah disangka? Tidak bagi Kayla Kirana Xin. Dia jelita dan kaya-raya, namun hidupnya dikelilingi kesunyian...