MUTIARA jernih yang mengalir laju membasahi pipi Seroja, dilap Afif. Tisu yang diberikan oleh Afifah digunakan Afif untuk menghentikan air mata isterinya. Gadis itu tiba-tiba sahaja menangis setelah Syabil selesai melafazkan akad nikah sebentar tadi.
Syabil mendekati Seroja. Dia memegang bahu adiknya itu.
"Adik... janganlah menangis. Lepas ni kan kita boleh jumpa selalu. Kenapa nak sedih pula ni?" soal Syabil. Buntu. Sudah tidak tahu bagaimana lagi cara untuk memujuk adik manjanya itu untuk berhenti menangis.
Haji Manaf dan Hajah Aminah pula risau melihat menantu perempuannya itu menangis teresak-esak.
"Adik sedih. Ibu tak sempat pun nak tengok abang menikah. Dulu, hampir setiap hari ibu membebel pasal abang dekat Seroja sebab tak bawa balik calon menantu dekat rumah. Kalau ibu ada sekarang ni, mesti dia gembira sangat-sangat. Bukan dapat menantu saja, tapi pakej sekali dengan seorang cucu lelaki."
Seroja memeluk Syabil. Dia menangis tersedu-sedan sambil memeluk leher abangnya. Mereka yang berada di situ hanya mampu berpandangan antara satu sama lain. Tiada apa yang mampu mereka katakan.
Belakang badan Seroja diusap. Dia tersenyum kecil apabila anak matanya terarah kepada wanita yang baru sahaja dinikahinya itu. Dapat dia lihat mata Afifah sudah berkaca.
"Adik... tak baik cakap macam tu. Jangan sebut perkataan 'kalau' tu lagi. Allah dan Rasulullah larang, kan? Kalau kita selalu berkata 'kalau', itu maksudnya kita tak berpuas hati dengan tadir yang telah ditetapkan untuk kita. Kita tak boleh menolak qadar Allah. Setiap yang berlaku, semuanya kuasa Allah. Mesti ada sebab kenapa Allah tarik nyawa ibu dan ayah lebih awal daripada kita. Allah tahu yang terbaik untuk kita. Dia yang menyusun hidup kita, di dunia dan di sana. Adik faham kan apa yang abang cakap?" soal Syabil.
Dapat dia rasakan kepala Seroja bergerak perlahan pada dadanya, mengangguk.
"Dah, jangan sedih-sedih. Kesian dekat Afif kena layan dua budak cengeng nanti," tegurnya. Syabil tergelak ketika Seroja menamparnya dengan kuat.
Tahu pun nak marah. Siapa suruh mudah menangis? Kena usik sikit pun nak melenting.
"Mana ada orang cengenglah! Abang yang kuat mengusik," balas Seroja. Tak mahu kalah.
Dia menjauhi Syabil dan bergerak ke arah Afifah. Kakak iparnya itu ditarik keluar daripada masjid.
"Adik culik isteri abang. Biar abang merana harini. Hahaha!" gelak Seroja.
Afif sudah penat mahu berkata apa-apa. Dia hanya mengangkat kedua-dua bahunya ketika Syabil meminta pertolongan.
"Adik!" Syabil mengejar mereka berdua yang sudah jauh meninggalkan ruang solat itu. Adib yang ralit bermain dengan Arif di tiang masjid, ditarik ke dalam dukungan sebelum menyambung mengejar isteri dan adiknya.
"Ayah, kita tengah main kejar-kejar ke?" tanya Adib. Matanya terkelip-kelip memandang Syabil.
Sampai sahaja di tempat letak kereta, Syabil menjawab, "Ya, kita tengah kejar penculik ibu. Tengok perempuan buncit sebelah ibu tu. Tak sedar diri tengah bawa manusia lain dalam perut. Ada hati nak main lari-lari dengan ayah. Mestilah ayah menang."
Adib yang kurang jelas dengan jawaban Syabil itu hanya menepuk tangan setelah mendengar perkataan menang.
Syabil ketawa sambil memandang wajah cemberut Seroja yang baru tiba di sisi kereta. Gadis itu baru mahu berlumba dengan abangnya tetapi Afifah sudah menahan tangannya tadi. Kakak iparnya itu melarang dirinya daripada berlari kerana risaukan bayi di dalam kandungan.
Seketika Seroja terlupa bahawa dia sedang 'membawa perut'.
'Maaf baby, sayang terlupa dekat anak sayang seorang ni,' tuturnya sendirian sambil membelai perut.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...