BAB 50

1.2K 51 5
                                    

KEMEJA-T berwarna biru gelap milik Afif dipadankan bersama jaket kulit hitam kerana ia berlengan pendek. Tudung pula Seroja meminjam tudung sarung hitam kepunyaan Afifah kerana tudungnya belum kering.

Seluar? Satu badan dia basah tadi. Jadi, terpaksalah Afif meminta kain batik daripada mak lang untuk dipakainya. Nampak pelik, tapi nak buat macam mana kan? Bak kata Afif, bininya ini memang nakal. Tak reti duduk diam.

Keluar sahaja daripada bilik anak bongsu mak lang, Afif merenungnya dari atas hingga ke bawah. Lelaki itu seperti menahan bibir daripada tertawa.

"Jangan gelak," tegur Seroja.

Afif ini bukan boleh. Nanti ketawanya itu berjangkit dengan Adib. Seterusnya, Syabil akan menyambung. Malu dia nak keluar nanti.

Lelaki itu mengangkat kedua-kedua tangan ke atas. Afif merapatkan ibu jari dan jari telunjuknya di mulut. Kemudian ditarik ke tepi. Menandakan dia sudah mengunci bibir. Namun, senyuman kecil diberikan kepada isterinya.

"Sayang baby ni comellah. Geram babah tengok," tutur Afif. Seperti biasa, dia suka bercakap di hadapan perut Seroja walaupun tiada jawaban dari dalam itu.

Seroja turut tersenyum. Dia suka melihat Afif bercakap dengan bayi yang dikandungnya.

"Fifi..." panggil Seroja.

"Ya, sayang. Nak makanan ke?" soal Afif. Dia sudah hafal rentak suara isterinya itu. Kalau Seroja memanggilnya dengan lembut kemudian berdiam, tahulah dia bahawa isterinya itu mahukan sesuatu.

Seroja mengangguk. Sengihan diberikan kepada suaminya. Gigi putihnya ditayangkan kepada Afif.

Afif bangun daripada melutut. Tangan Seroja digenggamnya. "Jom."

"Eh, Fifi nak bawa saya pergi mana?" tanya Seroja. Dia belum habis cakap lagi.

Afif terhenti. Dia memandang Seroja.

"Nak pergi cari makanan dekat depanlah. Rasanya ada lagi mi kari," jawab Afif.

"Tapi, saya tak nak mi."

"Dah tu, nak apa?"

"Saya nak makan dekat Ohana Mart. Waktu nak balik nanti, boleh tak Fifi singgah dekat situ?" soal Seroja lagi.

"Boleh. Lepas isyak nanti kita pergi sana. Dah maghrib ke belum ni?" Afif yang baru pulang daripada surau sebelah menyoalnya.

"Dah, dengan kak long. Fifi kenapa balik rumah? Nak isyak dekat sini ke?" soalnya.

Pelik juga dia memandang Afif ketika keluar dari bilik tadi. Seingatnya lelaki itu kata mahu berjemaah di surau bersama Syabil dan orang kampung.

"Aku balik sebab nak bagi baju dekat Bungalah. Nanti demam pula bini aku ni." Lagipun, surau kampung ini hanya beberapa meter sahaja dari rumah mak lang. Jalan kaki lima minit pun sudah sampai.

Seroja membulatkan mulutnya. "Ohh, patutlah."

"Nak pergi surau sekali tak?"

"Nak, kejap saya nak pakai telekung. Malulah nak pergi surau dengan pakaian macam ni," katanya sebelum masuk ke bilik.


KEDAI moden 24 jam yang tidak berapa besar itu, menjadi tempat persinggahan mereka berdua pada tengah malam. Pulang sahaja dari Kulim, Afif terus memandu ke sini kerana Seroja mengidam hendak makan ban dan aiskrim matcha.

Rambang mata Seroja melihat semua makanan yang disusun rapi dan mengikut jenis di rak tinggi itu. Dia mengambil beberapa jenis ban seperti ban kacang merah, ban kelapa dan ban sambal ikan bilis untuk Afif. Dua botol air mineral turut dicapai sebelum ke kaunter.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang