BAB 49

1.2K 52 1
                                        

HAJAH Aminah mendekati bilik menantunya dan memanggil Seroja. Menantunya itu tersenyum hambar memandangnya. Dia sudah tahu kenapa wajah gadis itu cemberut sahaja. Tangan Seroja diraihnya. Lalu, mereka berdua sama-sama menuruni tangga untuk ke dapur.

Afif yang sedang kalut mengacau rendang di dalam kuali dipandang dengan wajah tidak percaya. Lelaki itu tidak menyalin pakaiannya dari tadi. Habis kotor terkena percikan minyak rendang.

Dia berasa bersalah pula kerana tidak menyahut panggilan Afif tadi. Mulalah dia mahu menangis di situ.

"Afif tu, dia bukannya tidak tahu cara nak masak rendang. Cuma, dia tak suka masak makanan yang renyah macam tu. Malas," bisik Hajah Aminah kepada Seroja.

Seroja ketawa kecil.

"Tapi, demi isteri tersayang dia masak juga. Janganlah marah anak umi tu lama-lama. Kesian bayi dalam perut tu rindu dekat ayah dia nanti." Sambung Hajah Aminah. Dia tidak mahu disebabkan perkara kecil mereka berdua bergaduh berpanjangan. Namun, dia tahu. Gadis yang telah lama menjadi menantunya itu tidak akan berbuat begitu. Seroja anak yang baik, yang taat dengan suami.

"Terima kasih umi sebab ingatkan Seroja. Seroja tak marah pun, merajuk sikit je tadi." Seroja tersengih. Hajah Aminah mengusap buku tangan miliknya.

"Kamu pergilah teman Afif. Umi dengan abah nak keluar pergi rumah mak lang dulu. Nanti kita jumpa kat sana."

Seroja menyalami ibu mentuanya. Lalu, mendekati Afif yang sedang merasa sesudu rendang yang dibuatnya. Dia memeluk pinggan Afif dari belakang. Pipi disandarkan di belakang badan lebar lelaki itu.

"Fifi... saya minta maaf sebab tak jawab waktu Fifi panggil tadi."

Afif menutup api dapur. Dia menghadap Seroja. Dagu tajam gadis itu diletakkan pula di atas dada bidangnya.

"Aku pun nak minta maaf sebab tak nak buat permintaan Bunga tadi. Kita kosong-kosong okey?" tanya Afif pula.

"Okey!"

"Sekarang, jom makan. Kesian anak kita ni, mesti dia lapar sebab mama dia merajuk." Afif mengelus perut hamil Seroja.

"Tak nak mama. Saya nak anak kita panggil saya sayang nanti lahir. Boleh kan?" pinta Seroja. Dia rasa tidak menarik pula memanggil mama.

Bersambung kening Afif mendengar permintaan Seroja. "Sayang? Dah tu, dia nak panggil apa dekat aku?"

"Erm... ikut suka Fifilah. Panggil babah pun comel!" Terbayang-bayang Seroja wajah dan suara anak mereka ketika memanggil Afif dengan panggilan babah. Mesti comel saja mulut itu berceloteh nanti. Tak sabarnya nak tunggu dia lahir!

"Ikut Bungalah. Aku tak kisah nak panggil apa-apa pun," tuturnya. Seroja ditarik untuk duduk di kerusi. Dia mengambil sepinggan rendang yang sudah siap dihidangkan. Lemang dan beberapa ketul ketupat diletakkan di dalam mangkuk.

"Wah, bau pun dah sedap!" ujar Seroja.

Satu ketul ketupat dibuka lalu sedikit ayam dicubit dan mencicah kuah rendang yang agak kering. Suapan pertama dikunyah dengan penuh nikmat. Memang sedap!

Lemang pula diambil dan dimasukkan ke dalam mulut. Hampir sepuluh ketul ketupat dan beberapa potong lemang dia melahap. Seroja tidak melupakan Afif yang setia menunggunya di sisi. Dia menyuap Afif ketupat beserta rendang dengan berhati-hati. Tidak mahu mengotorkan baju Melayu itu lagi.

"Bunga tinggal je pinggan tu dalam singki. Nanti aku basuh." Afif menuntun Seroja untuk ke singki.

"Fifi, saya boleh jalan sendirilah. Saya dah kuat nak jalan sendiri," tuturnya.

"Aku tak nak Bunga aku ni rebah lagi sekali. Jangan melawan cakap suami," pesan Afif. Dia sudah menggunakan kuasa vetonya. Terdiam Seroja di sisi. Bukannya dia sengaja mahu mengongkong isterinya, cuma dia risau kalau apa-apa berlaku.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang