ANGIN bertiup sepoi-sepoi bahasa diiringi dengan pohon kelapa dan palma yang melambai-lambai mengikut rentak angin, menjadikan suasana cukup puitis dan romantis. Sekali-sekali, Seroja mengayunkan tangan mereka berdua yang bertaut ke depan dan ke belakang. Mereka menikmati bersama pemandangan yang serba biru di hadapan ini.
Ramai pelancong luar dan orang tempatan yang sedang meluangkan masa bersama keluarga tercinta pada waktu begini. Ada yang berkelah, ada yang sedang bermandi-manda dan ada juga yang sedang berjemur di tengah-tengah pantai.
Afif dan Seroja pula hanya bersantai di tepi pokok kelapa melihat berbagai-bagai ragam manusia. Bahu Afif menjadi tempat sandaran kepala Seroja. Mereka hanya duduk sahaja di situ kerana hari sudah hampir senja. Tiada apa sangat yang boleh mereka lakukan selain daripada berenang. Tapi, Seroja bukannya pandai berenang. Afif pula mahu menemani dia duduk bersantai. Takut hilang diculik orang, katanya.
Bagus juga. Tiadalah dia rasa berseorangan di sini. Ikon kamera di telefon dibuka. Dia menangkap gambar pantai yang sedang mengalunkan ombaknya. Beberapa video juga diambil. Lalu, Seroja mengambil gambar Afif yang sedang duduk memeluk lutut di sebelahnya. Walaupun rambut lelaki itu sedang serabut kerana ditolak angin, dia tetap segak bergaya.
Bukan seperti dirinya. Mesti tudungnya sudah herot-berot ketika ini.
Kamera depan dibuka. "Fifi, tengok sini."
Seroja membuat gaya bebas. Sekejap mengangkat dua jari, sekejap membuat mini love. Ada juga gayanya yang memuncungkan mulut kepada Afif. Afif pula ketawa suka melayan karenah isterinya ketika bergambar itu.
"Jom, kita jalan-jalan tepi pantai sementara tunggu matahari melabuh." Afif bangun. Dia menyapu seluarnya yang berpasir. Kemudian, menolong membersihkan baju isterinya. Seroja berlari-lari anak ke arah gigi pantai.
"Kegelapan di dalam lautan dalam yang meluas, ditutupi ombak-ombak yang diatasnya lagi ditutupi ombak-ombak."
Tiba-tiba, ayat itu disebut oleh Afif.
"Maksudnya apa?" soal Seroja.
"Maksudnya, ombak ni bukan ada di atas sahaja seperti yang kita semua nampak. Tapi, di dalam air pun ada pelbagai jenis ombak."
Afif menyambung lagi, "Di atasnya ditutupi awan gelap, kegelapan yang berlapis-lapis, satu di atas yang lain. Awan adalah penghadang. Bila dia menyerap sinaran matahari, ia menyebabkan lapisan gelap di bawah awan. Lapisan pertama kegelapan. Seterusnya, sinaran ini akan sampai ke permukaan laut. Sama ada dibiaskan atau dipantulkan oleh permukaan ombak. Sebab itu, di permukaan air ada sinar cahaya. Cahaya yang tidak dipantul pula akan menembusi lautan dalam yang menjadikan lautan mempunyai dua bahagian. Permukaan laut bercirikan cahaya dan laut dalam yang tiada cahaya, hanya kegelapan. Permukaannya dipisahkan daripada dalaman oleh ombak. Hebat kan ciptaan Yang Maha Kuasa?"
Seroja mengangguk bersetuju. Setiap yang dicipta oleh-Nya, tidak pernah ada cacat cela. Semakin kerap kau memandang ciptaan-Nya, kau akan semakin kagum tanpa perlu mempersoalkan apa-apa. Semuanya cukup sempurna.
Allah boleh menjadikan air yang tenang bertukar menjadi ombak yang ganas. Begitu juga dengan kehidupan. Kehidupan di dunia ini bukan sentiasa tidak bergelora. Pasti ada waktunya yang akan ditimpa bencana. Namun, itu bukanlah alasan untuk berputus asa. Jikalau makhluk air boleh menghadapi pelbagai jenis ombak di lautan, mengapa manusia mahu melarikan diri daripada secebis dugaan?
MALAM ini dikelilingi dengan suasana yang sungguh romantis. Sekarang mereka berada di khemah tepi pantai yang sudah ditempah khas oleh Afif untuk dirinya. Makan malam yang bertemankan cahaya lilin dan angin pantai menjadikan Seroja terharu dengan segala tindakan dan perancangan yang Afif lakukan.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...