SYABIL bermundar-mandir di ruang tamu rumah. Dia keliru sama ada mahu menelefon atau tidak. Tapi, dia sudah berjanji. Rambut ditolak ke belakang. Nombor telefon wanita itu ditekan.
"Assalamualaikum. Awak nak cakap dengan Adib eh?" soal Afifah.
"Waalaikumussalam, haah. Kalau saya nak buat video call boleh ke?" tanya Syabil pula. Dia tidak mahu wanita itu rasa terganggu. Jadi, dia meminta kebenaran terlebih dahulu.
"Boleh tapi sekejap. Saya panggil Adib. Nanti saya telefon balik."
Telefon diletak. Beberapa minit kemudian, Afifah membuat panggilan semula. Apabila dia menekan butang hijau, sudah terpampang wajah bulat Adib di situ.
"Ayah! Ayah tengah buat apa tu?" Adib menyoal sambil menjilat aiskrim di tangannya.
Syabil ketawa kecil. Comel saja perangai anaknya itu.
"Ayah baru habis kerja. Sekarang tengah duduk saja dekat rumah sambil tengok Adib makan aiskrim. Adib tak bagi pun aiskrim dekat ayah, nak merajuklah." Syabil memuncungkan mulut. Dia saja mahu mengusik Adib.
Namun, tidak sangka pula dia mengambil serius tentang itu. Boleh dia mendengar Afifah bercakap dengan Adib di sebalik telefon. Budak itu memaksa ibunya untuk menghantar aiskrim buat dirinya.
"Eh, Adib. Ayah melawaklah. Janganlah paksa ibu. Tak kesian dekat ibu ke? Tak sayang ibu? Kalau Adib tak sayang ibu, maksudnya Adib tak sayang ayah jugalah sebab ayah sayang ibu." Syabil mencelah. Dia berdeham. Baru tersedar bahawa dia sudah terlanjur berbicara.
Afifah di sana pun turut terdiam. Adib sahaja yang bersuara.
"Sayang. Maaf ayah," tutur Adib.
Syabil mengangguk. "Minta maaf dekat ibu juga."
"Minta maaf ibu."
Syabil nampak tangan Afifah menggosok perlahan rambut Adib. Sepatah kata pun tidak keluar daripada mulutnya. Mungkin dia masih terkejut dengan kata-kata Syabil sebentar tadi. Namun, Syabil tidak berbohong. Dia memang memaksudkan apa yang telah diperkatakan tadi.
"Ayah, bila ayah nak datang sini lagi?" tanya Adib. Matanya dikelip-kelipkan. Menunggu jawapan daripada Syabil.
"Tak tahu lagilah Adib. Ayah ada kerja. Cuba Adib yang ajak ibu datang KL. Kalau ibu tak berani nak bawa kereta jauh-jauh, naik bas. Nanti ayah ambil dekat TBS," cadang Syabil. Dia bukannya tidak mahu ke Kedah, tetapi dia ada banyak kerja. Tak sempat nak ulang-alik.
Afifah berfikir panjang. Dia sedang mempertimbangkan cadangan Syabil. Alang-alang, boleh dia pergi ke rumah Afif dan Seroja. Dia berbisik kepada Adib.
Adib kemudiannya memanggil Syabil semula. "Ayah, ibu kata nanti dia bagitahu balik pasal pergi KL tu."
Syabil mengangkat ibu jari kepada Adib tanda okey. Maksudnya, Afifah tidak menolak cadangannya. Dia tersenyum. Lama dia berbual dengan Adib sehingga budak itu menguap kelelahan. Adib sudah mengantuk.
Afifah menyuruhnya masuk ke bilik setelah memberi salam kepada Syabil. Tetapi panggilan video itu belum dipadam Afifah. Begitu juga Syabil. Dia hanya menunggu wanita itu yang menamatkan panggilan terlebih dahulu.
"Err... awak ada nak cakap sesuatu ke?" soal Afifah. Dia pun sudah mahu masuk tidur. Esok pagi dia harus bekerja.
"Kalau awak jadi datang KL, jangan lupa bagitahu saya dulu."
"Okey, nanti saya mesej awak. Saya letak panggilan dulu. Selamat malam," kata Afifah.
"Selamat malam. Semoga awak mimpi pasal saya," tutur Syabil. Dia nampak Afifah menjatuhkan telefon menghadap syiling rumah sebelum menekan butang tamat. Syabil meletuskan tawa. Bahagianya rasa.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...