"MINTA maaf umi, abah. Sebab Seroja, kita orang kena balik KL hari ni. Sudahlah tak ikut pun umi dan abah ziarah pak su semalam di Baling," ujar Seroja. Tangan Hajah Aminah dikucup lama. Begitu juga Haji Manaf. Dia rasa serba salah. Disebabkan dia, Afif harus pulang ke Kuala Lumpur seminggu awal. Padahal lelaki itu masih lagi bercuti. Syabil dan Naufal turut mengikuti mereka pulang hari ini.
"Tak apalah. Benda tak boleh nak elak. Nanti cuti baliklah sini. Suruh Afif tu kerap balik Kedah. Dia tu kalau dah mula bekerja, tak ingat dah dekat kami yang di sini." Hajah Aminah menjeling Afif yang tersengih di sebelah Seroja itu.
"Mana ada tak ingat. Cuma tak sempat. Insyaallah, lepasni setiap bulan Afif akan balik," balas Afif.
"Ya lah tu," kata Arif.
"Adik diam. Hang tu pun sama. Waktu cuti sem bukan nak melekat dekat rumah, tapi melepak dengan kawan-kawan." Afifah bersuara. Hanya dia dan Adib sahaja yang selalu menemani Haji Manaf dan Hajah Aminah di sini. Nak harapkan adik-adiknya itu, memang tidaklah.
Arif mengangkat tangan ke atas, tanda mengalah. Kalau anak sulung buka mulut, dia sudah malas mahu bercakap.
Seroja dan Syabil ketawa kecil melihat perbalahan keluarga itu. Sama sahaja dengan perangai mereka berdua yang kuat bergaduh jikalau bertemu. Tetapi, itulah yang merapatkan lagi hubungan mereka.
Naufal pula, ralit memandang petak sawah padi di hadapan rumah. Tenang saja rasanya apabila angin menampar lembut pipi itu.
Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi esakan. Makin lama, makin kuat pula tangisannya. Syabil menghampiri Adib yang hanya diam sejak tadi memeluk kaki Afifah. Dia rasa seperti tidak mahu pulang pula kerana kasihan akan anak kecil itu. Tapi, masih banyak kerja yang perlu dia siapkan.
Syabil melutut. Tangan Adib ditariknya. "Hai Adib, kenapa menangis ni?"
"A-ayah tak sayang Adib. Kenapa ayah nak kena balik sana ikut pak ngah?" soal Adib sambil teresak-esak.
Syabil memandang Afifah seketika, Lalu, melihat semua orang yang sedang menanti responnya. Kepala yang tidak gatal digaru. Macam mana ini? Dia tidak pandai mahu memujuk budak kecil.
"Siapa kata ayah tak sayang Adib? Ayah sayanglah. Ayah kena balik sebab ayah ada kerja. Nanti kalau ada masa lapang, ayah buat video call setiap hari. Kalau cuti panjang, ayah datang jenguk Adib kat sini. Okey?" Syabil mengelus lembut belakang tubuh Adib dan menariknya ke dalam pelukan. Dia pasti akan merindui anak kecil di hadapannya ini.
Adib mengangguk kecil. "Janji?"
"Ya, ayah janji. Nanti ayah telefon ibu setiap hari untuk bercakap dengan Adib," katanya lagi.
"Betul ke kau nak bercakap dengan Adib? Bukan ibu Adib?" Afif mengusiknya.
Jelingan maut diberikan oleh Afifah dan Syabil kepada Afif. Seroja dan Afif ketawa serentak. Mereka itu malu, tapi mahu.
"Sudahlah Afif. Mengusik saja kerja kamu. Naik kereta cepat, nanti lambat pula sampai KL," tegur Haji Manaf.
"Baik abah. Kami gerak dulu. Assalamualaikum," tutur Afif sebelum mereka berempat sama-sama menaiki kereta.
Syabil melambai Adib dan Afifah. Seroja dan Afif juga turut memandang Haji Manaf dan Hajah Aminah sebelum mereka tidak kelihatan lagi. Naufal pula hanya tenang memandu membelah jalan.
"KAU hantar aku dengan Seroja dulu, baru hantar Syabil." Afif bersuara. Lagi 30 minit sahaja mereka akan tiba di Kuala Lumpur. Dia mahu Naufal menghantarnya dan Seroja terlebih dahulu kerana jalan untuk ke rumahnya tidak sesak seperti laluan ke rumah Syabil.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...