CINCIN nikah yang diperbuat daripada emas bertatahkan dengan berlian putih, diusap lembut. Pandai kakak iparnya pilih. Afif yang melihat Seroja ralit mengusap jari manisnya, mencapai tangan kiri Seroja, lalu disulamkan dengan jari-jemari miliknya. Kecil sungguh tangan gadis itu.
Seroja mengangkat mukanya, memandang Afif. "Kenapa?"
"Saja. Nak pegang tangan isteri sendiri pun tak boleh ke?" soal Afif. Jari manis Seroja dikucup lembut. Mata turut dikenyitkan kepada Seroja sebelum dia tertawa kecil. Sengaja mahu menggoda Seroja.
Lucu benar reaksi isterinya. Wajah Seroja berubah menjadi merah padam.
"Ehem, hormat sikit orang-orang single dekat depan ni. Jangan nak menggeletis saja kerja," tegur Syabil yang sedang memandu kereta ketika itu. Naufal di sebelahnya turut mengangguk bersetuju.
"Betul. Nak termuntah aku tengok perangai kau yang gedik tu," tutur Naufal sambil menayangkan mimik muka seperti ingin termuntah.
Afif menggulingkan matanya. Cemburulah tu, tak ada bini. "Kalau geli, tak payah tengok. Aku tak suruh kau orang tengok pun."
"Ehh, tak ada makna aku nak tengok. Aku tengah memandu. Cuma, suara kau yang macam tertelan mikrofon tu mengganggu gegendang telinga aku. Nasib baik tak berdarah," ujar Syabil.
Tangan dengan cekap memulas stereng. Destinasi mereka sekarang ini ialah rumah sewa lama Seroja. Adiknya ingin mengemas dan mengambil barang-barang yang ditinggalkan sebelum mereka bertolak ke Kedah untuk membuat persiapan majlis perkahwinan bagi pihak lelaki dan perempuan.
Naufal di sebelah Syabil pula tidak henti-henti mengunyah biskut Kola Bear perisa strawberi yang diberikan Adib kepadanya.
Tiba sahaja di hadapan rumah Seroja, Afif melangkah keluar terlebih dahulu. Pintu Seroja dibuka, sebelum tangan kanan dihulurkan. "Nak kunci, biar aku buka pintu dulu. Bunga duduk dekat sini diam-diam."
Kunci bertukar tangan. Seroja mengangkat kaki kirinya yang cedera dengan berhati-hati. Dia mahu keluar.
Syabil yang baru sahaja keluar kereta, menjegilkan mata kepada adiknya. "Kenapalah degil sangat? Duduk diam-diam. Laki kau tak lari ke mana pun."
"Isy, kalut je abang ni. Orang nak betulkan kaki pun tak boleh." Seroja berdalih. Dia malas mahu mendengar bebelan panjang Syabil.
"Hmm, ya lah tu." Afif bersandar di pagar sambil menyilangkan tangannya. Bukannya dia tidak nampak, Seroja mahu turun dari kereta sebentar tadi. Memang degil betul budak ini.
"Hehe."
Afif mendekati Seroja lalu mencempung tubuh kecil isterinya.
"Argh!"
Terjerit kecil Seroja apabila Afif tiba-tiba mendukungnya sehingga ke kamar. Afif suka membuat perkara yang mengejutkan serta memalukan. Dia tak nampak ke yang Syabil dan Naufal sedang memerhati mereka berdua. Bahu Afif ditampar perlahan. "Isy. Saya boleh jalan pakai tongkatlah. Tak malu ke abang saya dengan Naufal tengok kita berdua?"
"Aku tak kisah. Siapa suruh degil, tak nak dengar cakap." Seroja diletakkan di atas katil dengan perlahan-lahan.
Seroja mencebik bibir. Geram apabila Afif endahkan saja kata-katanya tadi. Matanya memandang Afif dengan tajam.
"Afif!" Benda lembut yang baru sahaja menindih pucuk hidungnya buat seketika, membuatkan mata Seroja membesar.
Afif gelak. "Hahaha!"
Merah padam muka Afif ketawa. Seronok dia mengenakan Seroja.
Bantal kecil di atas katil, Seroja baling ke arah Afif. Boleh pula lelaki itu mencium hidungnya ketika dia sedang marah?
Afif mengutip bantal itu semula. Lalu, disusunkan kembali di atas katil. "Dahlah. Aku nak kemas barang. Bunga, duduk dekat sini. Kalau tak dengar cakap, aku denda."
Bahu Seroja dipegang sebelum menolak gadis itu berbaring dengan selesa. Diusap lembut kepala Seroja sebelum berkata, "Tidur. Dah siap nanti aku kejutkan."
Seroja menurut. Dia betulkan kepalanya untuk mencari posisi yang selesa. Badan diiringkan ke kanan. Dia mahu memerhati Afif mengemas almari bajunya. Tanpa dia sedar, dia terlelap ketika ralit melihat suaminya itu.
Hampir sejam Afif mengemas pakaian Seroja serta barang-barang di bilik lain. Nasib tidak banyak.
Apabila dia masuk semula ke dalam bilik Seroja, gadis itu sudah tidur lena. Afif tersenyum kecil. Dia duduk di birai katil. Satu kucupan dihadiahkan pada dahi bersih Seroja. Sekonyong-konyong, Seroja menggumam. "Hmm..."
Seroja menyuakan kedua-dua tangannya kepada Afif.
Afif yang melihat perangai Seroja itu, tergelak kecil. "Mengigaulah tu."
Tidak membuang masa, Afif mendukung Seroja masuk ke dalam kereta. Dia masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil beg-beg pakaian serta bantal kecil Seroja. Syabil dan Naufal yang hanya bersantai di meja batu sejak tadi, membantu Afif.
Siap sahaja barang dimasukkan ke dalam bonet, pagar rumah dikunci.
"Dah. Jom gerak," arah Afif kepada Naufal.
Giliran lelaki itu pula yang akan memandu kerana Syabil sudah seharian menjadi pemandu mereka.
Jangan lupa vote!

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...