"MATI kau hari ni!"
Tercampak tubuh kecil Eddy ditendang oleh seorang lelaki bertopeng. Sebilah belati dihunus keluar. Senyuman sinis menyeringai di balik topeng. Perlahan-lahan kaki lelaki itu menapak mendekati Eddy.
Terbuntang mata Eddy memandang belati di tangan lelaki keparat itu. Tajam berkilat! Dadanya berombak kencang. Eddy mahu melawan, namun kehendaknya itu tidak ubah seperti si cebol hendak mencapai bulan. Mustahil tubuh kerdilnya menang bergelut dengan tubuh yang berlipat kali ganda lebih sasa itu.
Keriangan bermain sorok-sorok tadi bertukar menjadi tragedi hitam. Dalam sekelip mata dia diheret masuk ke sebuah kereta. Segala-galanya berlaku sepantas kilat. Eddy diculik dan dibawa ke satu kawasan terbiar yang senyap sunyi.
"A-apa s-salah saya?" soal Eddy sambil mencongak, memandang lelaki bertubuh tinggi yang sedang berdiri di hadapannya. Terketar-ketar suaranya menahan ketakutan.
"Salah kau jadi anak dia! Bapak kau dah hancurkan hidup aku!" bentak lelaki bertopeng itu sambil belati di tangannya bergerak laju hendak menjamah batang leher Eddy.
Terpejam rapat mata si kecil itu menanti lehernya ditusuk. Mujurlah mata belati terhenti kurang sejengkal daripada lehernya.
Lelaki bertopeng itu ketawa besar memandang tampang Eddy kegerunan.
"A-ayah s-saya dah tak ada." Lidah Eddy masih berani menyimpulkan kata-kata meskipun seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan. Nyawanya benar-benar bagai telur di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja boleh melayang ke alam lain.
Lelaki itu membentak, "Aku tahu! Aku yang bunuh bapak kau! Sekarang.. Kau pun boleh pergi mampus ikut dia!"
Eddy terkejut beruk mendengar pengakuan si keparat itu. Ternyata pembunuh bapanya berada di depan mata. Sayangnya, Eddy hanyalah seorang kanak-kanak mentah. Daya kekuatannya masih belum cukup untuk menuntut bela kematian bapanya.
Setitis air mata pun tidak menitis dari mata si kecil itu. Padahal umurnya baru tujuh tahun. Sepatutnya, dia sudah meraung menangis dihimpit situasi sebegini. Mahu hairan apa, inikan Eddy Edrian, putera kepada Addin Adrian dan Bella Batrisyia.
"S-saya tak kenal pak cik.. P-pak cik ni s-siapa? Kenapa tiba-ti-"
"Diam!"
Sekali lagi tubuh Eddy terpelanting jauh ditendang oleh lelaki bertopeng itu. Badannya terhentak kuat pada dinding sebuah bangunan terbiar. 33 tulang vetebra terasa patah-riuk. Darah termuntah dari mulut. Habislah! Jika dia berteriak sehingga terkeluar anak tekak sekalipun, tidak ada sesiapa yang akan mendengarinya di kawasan sunyi sepi seperti negeri dialahkan garuda ini. Tiada siapa yang akan datang membantu.
Ah, parah! Tamatlah riwayat Eddy jikalau begini.
"Tak penting pun untuk kau tahu siapa aku!" tempik lelaki itu sambil kakinya berayun laju mendekati Eddy.
Pantas belati di tangannya meluru ke arah leher Eddy. Kali ini lelaki itu sememangnya berniat ingin membunuh. Tidak lagi beracah-acah seperti tadi.
"Jangan!" Tangan Eddy naik menghentikan belati daripada mendarat pada batang lehernya. Sedaya-upaya tangan kecilnya menggenggam mata belati. Bercucuran darah menitis ke atas jalan tar. Perit! Tidak tertanggung sakitnya.
"Eddy." Lembut tangan Bella menepuk pipi anak bujangnya.
"Ibu!" teriak Eddy tersedar dari mimpi. Tubuhnya berpeluh-peluh. Basah cadar tilam dibuatnya.
"Mengingau lagi?" tanya Bella sambil berpeluk tubuh berserta tatapan tajam.
Eddy hanya memandang ibunya tanpa sepatah kata sambil perlahan-lahan bangun dari baring. Nafasnya kencang sungguh. Ini bukan kali pertama dia bermimpi sebegitu. Sudah berulang kali mimpi buruk yang sama mengganggu lenanya.
"Itu la degil! Ibu dah pesan banyak kali. Sebelum tidur cuci kaki, ambil wuduk," bebel Bella.
"Ibu, jangan la membebel macam tu. Eddy bukan budak-budak," balas Eddy dengan suara serak basah. Digosok-gosok matanya sambil itu. Rambutnya kusut-masai bagaikan sarang burung.
Bella mendengus. "Bangun cepat, solat subuh, bersiap. Nanti lambat kena bebel dengan Si Danish pula," kata Bella lantas melangkah ke arah pintu.
Eddy hanya mengangguk kecil. Cemas dalam alam mimpi tadi terbawa-bawa hingga ke dunia realiti.
Bella berpaling memandang anak terunanya sebelum menutup pintu. Terlihat Eddy masih tidak berganjak daripada katil.
Mata si teruna itu tertumpu merenung torehan parut pada telapak tangan. Parut yang menjadi bukti bahawa mimpi buruk tadi merupakan peristiwa benar yang terkurung dalam kotak memori. Setelah 18 tahun berlalu, peristiwa hitam itu tetap sahaja menghantui dan pengakhirannya kekal misteri.
Ingatan Eddy hanya terbatas sehingga saat tangannya dimamah oleh mata belati. Selepas itu entah apa yang berlaku. Tatkala dia tersedar, dia sudah pun terbaring di atas katil hospital, disambut oleh senyuman berserta air mata ibunya.
Entah siapa si keparat bertopeng itu. Entah apa konflik antara si keparat itu dan ayahnya. Entah bagaimana pula Eddy boleh terselamat. Tiada siapa yang tahu walhal sudah hampir dua dekad peristiwa itu berlalu.
Apa yang Eddy tahu, lelaki itulah punca dia mendewasa tanpa kasih sayang dan perhatian seorang ayah. Tangan si keparat itulah yang merampas nyawa ayahnya.
YOU ARE READING
BAYANGAN EDRIAN • [C]
Mystery / Thriller(BOOK 2) ✅ COMPLETED~ 8/3/2024 [Kesinambungan kisah~ Dia Anak Polis, Gua Anak Mafia] "Ayah sanggup korbankan nyawa demi amanah yang dia pikul. Jadi sekarang, saya terpaksa korbankan cinta kita demi amanah yang saya pikul." - Eddy Edrian "Saya pula s...
![BAYANGAN EDRIAN • [C]](https://img.wattpad.com/cover/354976551-64-k377339.jpg)