Selepas duduk serumah dengan Ilham, rutin hidup aku mula berubah. Lebih relaks dan tenang. Aku rasa seperti manusia biasa dan bukannya hamba abdi.
Dulu waktu hidup menumpang di rumah mama, aku tak pernah ada peluang untuk duduk santai di laman rumah. Setiap waktu, ada kerja nak kena buat. Sampai kadang-kadang, makan pun tak sempat. Tahu-tahu dah malam. Masa untuk tidur.
Tapi sekarang, aku ada banyak masa. Walaupun malam ni terpaksa teman Ilham basuh kereta, sekurang-kurangnya aku cuma duduk di kerusi batu. Tak join sekali dengan dia tonyoh tayar kereta. Kalau dekat rumah mama, sportrim kereta papa pun aku yang kena polish.
"Awaakkk..."
Berharakat panjang suara garau campur manja Ilham menyapa ke telinga aku. Tegak habis bulu roma. Hilang rasa tenang aku tadi. Janganlah dia merapu yang bukan-bukan.
"Lusa saya dah start kerja." Riak wajah dia berubah monyok. Sesekali dia kesat hujung matanya dengan kekura tangan yang basah.
Spontan, terbentuk segaris senyuman pada bibir aku. Hati terasa lapang. Ibarat dah langsai hutang berpuluh-puluh juta dengan ceti haram. Tapi bila dengar suara dia, senyuman kembali pudar. Aku tayang wajah tak berperasaan.
"Amboi, bahagianya muka isteri saya!"
Dia jeling aku tajam. Muka dia memang tak puas hati habis. Mungkin kerana aku tak pernah senyum. Itu yang dia sakit hati dan bengang sangat dengan aku.
"Perlu ke saya pindah rumah? Baru awak akan senyum bahagia macam tadi, Imani?" Soal dia dari tepi kereta.
Kalau angguk, serupa tengah lancar perang. Akhirnya, aku cuma tunduk dan pandang jari sendiri. Mulut terkunci rapat tanpa sebarang balasan.
"Walaupun awak tak sudi, saya tetap akan bersama dengan awak. Taat setia Ilham hanya untuk Imani."
Terpejam mata aku.
Tak, Ilham!
Taat setia dia bukan untuk aku, namun Adrina. Aku hanya tempat persinggahan sementara dia. Adrina yang bakal jadi destinasi dia yang terakhir.
"Esok saya rancang nak melawat mak mentua saya. Awak nak ikut?" Dia kembali bersuara selepas beberapa minit. Mungkin dia rasa hambar bila kami sama-sama senyap.
Pantas aku panggung kepala sebelum geleng berulang kali. Tangan dah mula berasa seram sejuk seperti orang nak demam.
"Why? Awak tak rindu mama? Tak rindu papa? Tak rindu keluarga awak?" Tanya dia seraya bergerak ke arah aku.
Tindak balas aku masih sama. Aku cuma geleng kepala bersama muka yang kian pucat. Tapi ini bukan reaksi, untuk soalan rindu. Ini reaksi untuk soalan dia yang tadi. Terlampau takut sampai respons aku tak berubah langsung.
"Imani sayanggg..." seru dia lembut lalu kedua-dua belah tangannya menyentuh sisi kepala aku.
"Kita tak payah ziarah famili awak. Kita cancel. Sooo please... jangan geleng kepala lagi, sayang."
Sedikit sebanyak pujukan Ilham bantu aku untuk kawal perasaan sendiri. Lambat-lambat aku pandang muka dia sebelum menghela nafas panjang.
Walaupun mama dan ahli keluarga yang lain layan aku seperti sampah, aku masih rindu dorang. Tapi untuk balik ke rumah mama, bukan perkara yang mudah. Aku terikat dengan janji dan larangan seorang wanita yang bergelar mama.
"Selepas hari ni...tolong hidup seperti orang mati. Atau suami ekspres kau yang akan mati, Imani."
Itu ayat yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga aku. Ayat yang mama bisik di telinga saat aku sah bergelar isteri pada Ilham.
ANDA SEDANG MEMBACA
Dia - Ebook (Jampi Cinta Ilham)
RomanceTajuk baru Dia. Tajuk lama Jampi Cinta Ilham Harga RM 16.00 Ready file Blurb DIA Berbintikan Abdullah dan menumpang kasih dalam keluarga angkat yang membenci dirinya, bukan sesuatu yang mudah bagi Imani. Setiap hari, hanya air mata yang menjadi p...
