Ilham duduk di bar stool ketika aku sedang menelaah resipi baru di Google. Masih tercari-cari menu yang sesuai untuk masak tengah hari nanti. Kalau di rumah mama, selalunya aku akan masak makanan barat. Mama dan papa tak suka makan nasi. Lebih suka roti, spageti dan mi.
Bila tengok pada selera makan Ilham selama dua hari ni, aku rasa dia lebih suka makan nasi. Jenis tekak asli orang Melayu. Walaupun dah telan roti canai, dia tetap juga makan nasi lemak pagi tadi. Ibarat nasi itu makanan wajib. Tak boleh tinggal.
"Awak tak kerja?"
Buat kali pertama, aku yang tanya soalan terlebih dahulu. Bukan peramah. Cuma rasa tak selesa bila sepasang mata hitam dia melekat pada muka aku. Dia pandang pula sambil tersenyum simpul.
Seram!
Meremang habis bulu roma aku.
"Kerja. Saya tengah kerja sekarang ni."
Berkerut lebat dahi aku.
Kerja apa macam ni? Tenung muka orang itu bukan satu pekerjaan, tetapi aktiviti yang boleh mendatangkan kemarahan dan rasa tak selesa.
"Jadi suami awak sepenuh masa. Kerja halal di sisi Allah." Jari telunjuk dia terangkat ke arah siling.
Jawapan dia buat aku terkedu, namun muka tetap kekal tak beriak.
"Walaupun tak masuk duit, tapi hati rasa tenang. Saya happy jadi suami awak, Imani." Dia menambah sambil dongak kepala dan mata terpejam. Bibir sengih tayang gigi. Sekali pandang dah lebih kurang macam gambar unta yang selalu aku nampak di internet.
Dia happy?
Kenapa aku tak bahagia?
Malah, zahir dan batin rasa terseksa. Aku kahwin untuk kebebasan. Tapi akhirnya, masih terkurung dalam sangkar buatan mama. Tak boleh tersilap meskipun satu langkah.
"Saya cuti kahwin seminggu. Pengantin perempuan bertukar pun, cuti masih on. Yang turn off sekarang, mood honeymoon."
Dengar saja perkataan 'honeymoon', terus meremang habis bulu roma di lengan. Tiba-tiba rasa seram.
"Eh, silap bukan turn off! Tapi tangguh dulu."
Aku angguk dan tunjuk tanda okey. Dan secara automatiknya, aku masuk dalam mood berat mulut. Semuanya gara-gara perkataan 'honeymoon' yang dua kali meniti di bibir Ilham.
Malangnya, dia masih dalam mood mulut murai. Dia tetap juga bercakap seperti biasa meskipun air muka aku tak mesra manusia.
"Awak nak bercuti dengan saya?"
Aku sambut soalan dia dengan mata yang mencerlung. Bercuti dengan menantu kesayangan mama ibarat aku sedang tempah keranda untuk diri sendiri.
"Kita bercuti makan angin. Melawat Malaysia. Bukan untuk honeymoon. Awak nak tak?"
Aku geleng bersama pandangan yang menghala ke bawah.
"Why?"
"Awak kerja apa?" Aku tukar topik dengan tanya soalan lain. Kalau tetap berada dalam topik yang sama, makin banyak soalan yang akan datang daripada pihak Ilham.
"Kerja rasmi saya doktor. Kerja tak rasmi pula... saya perompak." Serius intonasi suara dia. Tanda dia tak main-main.
"Perompak?" Terkejut beruk muka aku. Takkan menantu pilihan mama untuk Adrina, seorang perompak?
"Yupppp... perompak hati awak," balas dia selamba badak, namun mimik muka masih kekal serius.
Aku rasa nak tampar muka anak orang. Ingat aku dah cukup penyabar orangnya. Kena maki dengan mama setiap hari. Dapat layanan buruk daripada ahli keluarga pun masih mampu bertahan selama berpuluh-puluh tahun.
Tapi bila berhadapan dengan Ilham, tembok kesabaran aku seperti kena langgar dengan kereta kebal. Hancur berkecai. Tiada apa yang tinggal. Mungkin kerana dia orang luar. Penerimaan aku jadi agak berbeza.
"Saya nak masak. Nanti dah siap masak, saya panggil awak." Aku halau dia secara halus.
"Biar saya tolong awak masak." Dia bangun dan berdiri tegak di tepi meja pulau. Dah siap sedia nak menghulurkan bantuan pada aku.
"Awak memang pandai masak?" Teringat nasi goreng dia semalam. Rasa dia not bad. Sedap!
"Pandai!" Dia angguk kepala beria-ria.
"Awak paling pandai, masak apa?"
"Masak air." Ilham tayang muka bangga.
Terpejam kelopak mata dan kedua-dua belah tangan aku tergenggam erat saat jawapan angkuh dia menjengah pada pendengaran. Nak marah, tetapi kena sabar. Akhirnya, aku cuma angguk kepala seraya bangun dari bar stool.
"Tapi sejak wujud penapis air yang ada air panas sekali, kepakaran masak saya dah hambar." Suara dia berubah sayu. Konon-konon rasa sadis dengan kisah hidup sendiri.
Aku meraung sayu di dalam hati.
Bukan setakat kepakaran masak dia yang hambar. Tapi ayat dia, sama hambar sekali. Aku tak rasa kesian atau terhibur.
"Selain masak air, awak pandai masak?"
Potong aku laju sebaik saja nampak halkum dia bergerak ke atas dan ke bawah. Sebelum dia makin merapu, lebih baik cantas daripada awal.
"Saya pandai masak Maggi walaupun saya tak makan Maggi. Saya pandai masak nasi goreng. Dan paling penting... saya pandai masak bubur untuk bakal anak-anak kita." Suara garau Ilham meleret manja.
"Bubur apa?" Aku suruh dia ulang sambil tangan kanan bermain dengan pisau potong buah. Kebetulan ada pisau di atas meja pulau. Sah dia tak simpan balik dalam laci selepas guna pagi tadi.
"Bubur untuk anak-anak tekak kita makan. Tercicir perkataan tekak tadi. Hehehe." Tak cukup nafas dia bercakap sebelum dia tutup ayatnya dengan gelak gedik.
Aku angguk lalu tarik nafas dalam-dalam dan hembus ikut mulut. Sejujurnya, aku lebih suka kena hina dan marah. Sekurang-kurangnya, tahu orang memang benci aku.
Bila dapat layanan yang berbeza daripada Ilham, aku mula rasa waswas. Tak boleh agak. Sama ada layanan dan ayat manis dia ikhlas atau hanya propa. Takut tersilap ramal, hidup sendiri yang bakal bertambah sengsara.
ANDA SEDANG MEMBACA
Dia - Ebook (Jampi Cinta Ilham)
RomanceTajuk baru Dia. Tajuk lama Jampi Cinta Ilham Harga RM 16.00 Ready file Blurb DIA Berbintikan Abdullah dan menumpang kasih dalam keluarga angkat yang membenci dirinya, bukan sesuatu yang mudah bagi Imani. Setiap hari, hanya air mata yang menjadi p...
