EPISOD 5

11.8K 524 50
                                    

BAU ubat-ubatan menusuk rongga hidung. Sayup-sayup kedengaran suara hiruk-pikuk di sekeliling. Perlahan-lahan, mata dicelikkan.

Lampu kalimantang di atas kepala menyilaukan pandangan. Ufairah berkerenyut tika kepalanya terasa berat. Pelipis dilurutkan sambil melilau ke sekeliling. Cuba mencerna keberadaannya saat ini.

"Fairah..."

"Aunty Fairah jangan tidur lama-lama. Yaya rindu."

Ufairah kalih ke sisi. Memandang dua figura yang memanggilnya. Seleret senyuman tawar terukir di bibir gadis itu tika wajah Wardah dan Yaya terpampang di depan mata.

Ufairah bangun dari pembaringan dibantu oleh sahabatnya. Tubuh disandarkan di belakang kepala katil.

"Kau ni workaholic sangatlah. Kan dah pitam. Kau tu ada anemia. Cubalah belajar jaga kesihatan diri. Ni aku bagi tahu mama kau padan muka. Biar mama kau tembak dengan bebelan dia."

Wardah menghulurkan segelas air kepada Ufairah. Kepalanya digelengkan. Tak puas hati dengan kedegilan Ufairah yang terlalu bekerja keras sehingga kesihatannya terjejas.

"Workaholic tu macam air Horlics ke?" soal Yaya sambil terkebil-kebil memandang wajah Wardah dan Ufairah silih berganti.

Mendengar itu, Ufairah tertawa kecil. Dicubitnya pipi gebu Yaya. Sungguh, celoteh si gadis kecil berusia empat tahun itu mencuit hati Ufairah. Hilang sakit kepala dibuatnya.

"Workaholic tu orang yang kuat kerja macam aunty Fairah. Yaya besar nanti jangan kerja kuat-kuat tau. Nanti cepat sakit."

"Ala, tapi kalau kerja kuat-kuat bukan banyak duit ke?"

Tawa Ufairah meledak lagi dengan soalan polos Yaya. Namun, hanya seketika tatkala menyedari keberadaannya saat itu. Mulut ditekup. Menahan tawa yang masih tersisa.

"Betul tu Yaya. Kalau nak banyak duit kena kerja kuat-kuat."

"Kau jangan nak mengajar anak aku yang bukan-bukan. Kau tak makan lagi kan. Ni, Staffnurse Anis kata orang yang hantar kau ke hospital bagi. Suruh kau makan."

Wardah membuka meja katil seraya meletakkan bungkusan makanan di atas meja. Risau melihat wajah Ufairah pucat tak berdarah. Apatah lagi sudah lima jam Ufairah tak sedarkan diri.

"Tak sangka doktor dengan lelaki yang hampir bertinju dengan doktor tu bercinta. Siap belikan makanan untuk doktor pula tu. Macam tahu-tahu je doktor suka makan nasi goreng kampung."

Staffnurse Anis menukar IV drip yang dimasukkan ke tubuh Ufairah. Sempat lagi dia mengusik dengan kening dijungkitkan.

Sungguh, betapa kagetnya mereka yang pernah menyaksikan pertelingkahan Ufairah dan Umar di unit kecemasan sebaik saja melihat figura Umar keluar dari ambulans. Apatah lagi wajah pemuda itu kelihatan cemas.

Mendengar itu, Ufairah tersentak buat seketika. Baru Ufairah ingat. Dia mengejar Umar yang sudah membayarkan barangannya sebelum pengsan di hadapan pemuda itu.

Oh Tuhan, teringatkan itu, wajah Ufairah serta-merta membahang. Pasti rakan sekerjanya sudah membuat spekulasi tak masuk akal.

"Tak... tak ada maknanya! Saya dengan mamat muka Shrek tu bercinta? Minta dijauhkan. Saya lebih rela bercinta dengan atok kerepot daripada mamat tu, tahu!"

Lambat-lambat, Ufairah membuka bungkusan makanan. Semerbak bau nasi goreng kampung menusuk rongga hidung.

Enak!

Tapi, kenapa pula Umar tiba-tiba prihatin dengannya walhal mereka sentiasa melancarkan perang dunia ketiga?

Lagi satu, dia sudah berhutang dengan Umar. Di mana dia mahu mencari pemuda itu untuk membayar hutang pun Ufairah tak tahu.

KERANA KAU YANG KUPILIH (TERBIT PBAKL 2024)Where stories live. Discover now