Aku mampu bernafas secara tenang bila Ilham pilih untuk beli barang dapur di Giant. Bukannya di Jaya Grocer atau Village Grocer.
Dua tempat tu selalu jadi pilihan mama untuk beli barang dapur. Sehabis boleh aku nak mengelak daripada berjumpa dengan mama. Terutama sekali ketika keluar berdua dengan Ilham.
Memang aku kahwin dengan Ilham kerana mama paksa. Tapi, perangai mama sangat pelik. Lain daripada perangai golongan mak yang ada di atas muka bumi ni.
Kalau mama nampak aku keluar berdua dengan Ilham, hidup aku takkan aman. Sah mama akan ganggu rumah tangga kami berdua. Mama hanya akan bahagia bila aku hidup menderita. Tangisan aku menjadi sumber utama kegembiraan mama.
"Awak..." Hujung jari telunjuk dia mencuit manja lengan aku.
Spontan, aku berundur. Mencipta jarak selamat daripada Ilham. Sentuhan dia ibarat pisau tajam di tubuh aku.
"Tuala wanita." Selamba dia tunjuk ke arah bungkusan tuala wanita yang tersusun rapi di atas rak.
Aku geleng dengan dahi yang berkerut sedikit.
"Tuala wanita... Pad... Awak tak pakai?"
Makin laju aku gelengkan kepala bersama muka yang mula bertukar warna merah. Berbahang panas kedua-dua belah pipi. Kenapa dia perlu tanya soalan sensitif macam ni?
"Awak tak period, Imani?" Dia menyoal polos.
Kerana terlampau terkejut, mendadak aku gerakan kepala ke kanan dan ke kiri. Badan pula bergerak kian rapat dengan rak tuala wanita. Tindak balas spontan tubuh badan dan tak guna otak.
"Awak ada masalah dalaman? Atau awak perempuan jadian?" Bisik Ilham.
Huhhh?
"Nama awak memang Imani sejak lahir, kan? Bukan Ahmad Iman?"
Apa yang dia merapu ni?
"Asli?" Soal dia masih dalam bentuk bisikan. Anak matanya melilau pandang badan aku dari atas sehingga hujung kaki. Sebelum bebola mata dia, melekat lama pada bahagian dada aku.
Sepantas kilat aku silang tangan kanan ke bahagian dada. Manakala tangan kiri, bergerak untuk ambil tuala wanita yang berada di atas rak. Respons pantas untuk menutup mulut terlebih ramah Ahmad Ilham. Takut lama-lama aku yang jadi serigala jadian.
"Laurier. Night safe. 30 cm."
Itu yang menerpa ke telinga sewaktu aku letak tuala wanita dalam troli. Dia bukan setakat baca sekali lalu, tetapi dia hafal. Siap tangkap gambar untuk simpanan.
"Senang untuk masa depan. Bila awak kehabisan stok, boleh saya tolong beli." Dia bercakap sambil tayang simbol peace. Dan bersahaja, dia sambung tolak troli. Seolah-olah tiada perkara pelik yang telah berlaku.
Tak tahu sama ada dia lelaki yang green flag atau pervert. Aku mula rasa risau nak jadi penjaga jodoh Adrina.
"Haishhhh..."
Terlepas satu keluhan menyesal dari mulut sebelum kaki mula melangkah. Mengekori Ilham yang baru selesai memilih syampu rambut.
Bila sampai di lorong mi segera, baru dia mula bersuara kembali. Tadi selepas kes tuala wanita, lama juga dia senyap. Dia cuma tolong tolak troli sementara aku pilih barang dapur.
"Awak makan Maggi, Imani?"
Aku geleng.
Jawapan yang paling tepat... aku makan mi segera, tetapi jarang-jarang. Dalam setahun, mungkin sekali. Makan bila teringin.
"Saya pun tak makan!" Jerit dia serupa nak buat pengumuman. Biar semua pelanggan dalam Giant dengar.
"Hurmmm... Syhhhh..."
Dua bunyi yang berbeza datang daripada pihak aku. Satu untuk mengiyakan. Dan satu lagi, nak suruh dia perlahankan suara. Jangan terlampau teruja sangat.
"Nampak tak?" Soal Ilham dengan intonasi suara yang lebih rendah. Tapi mimik muka dan bahasa tubuhnya, masih teruja macam tadi.
"Nampak apa?" Aku pandang sekeliling. Tengah mencari sesuatu yang menarik pada pandangan mata.
"Nampak yang kita memang berjodoh. Sama-sama tak makan Maggi. Secocok sangat. Seperti pinang dibelah guna kacip."
Allah...
Dia mula dah!
Aku garu hujung kening sebelum mencapai tiga bungkusan mi segera. Kemudian, aku letak dalam troli dan bergerak ke lorong yang lain.
Aku lebih rela makan mi segera sampai muak setahun. Daripada secocok dengan cita rasa tunang Adrina. Aku kahwin dengan dia bukan untuk mencipta bahagia bersama. Cuma dia satu-satunya kunci untuk aku keluar dari neraka dunia a.k.a rumah mama.
Bila sampai di lorong biskut, aku lebih selesa jadi tukang pemerhati. Tengah perhati Ilham yang nampak ralit susun macam-macam jenis jenama biskut dalam troli. Kesimpulan yang boleh aku buat, dia hantu biskut.
"Awak tak nak biskut?" Soal dia selepas selesai susun bungkusan biskut dalam troli kami.
"Tak. Terima kasih."
"Awak suka makan biskut apa, Imani? Saya belanja awak." Dia cakap tanpa pandang aku. Anak matanya menghala ke arah rak biskut.
Memang jenis tak mudah mengalah sungguh lelaki ni.
Jenis keras kepala!
Tak sempat aku nak buka mulut, dia dah bersuara terlebih dahulu. Dengan suara yang lebih tegas. Ibarat tengah bagi amaran pada aku.
"Jangan tolak offer saya, Imani."
Dia tenung muka aku tanpa segaris senyuman. Ekspresi yang sangat garang dan aku mula rasa kecut perut.
"Oreo." Mungkin kerana takut, sebutan aku pun tak berapa jelas. Serupa orang mengomel dalam selimut.
"Apa? I love youuuu..."
Dalam sekelip mata, muka garang Ilham berubah nakal. Dia senyum penuh makna seraya jongket kening sebelah kanan.
"Bukannnn... Saya nak O-R-E-O." Kuat suara aku. Riak muka memang ketat habis. Aku paling pantang dengar perkataan sayang ataupun ayat-ayat yang berkaitan dengan perasaan. Emosi jadi tak stabil seperti perempuan datang bulan.
"Owhhhh, Oreo! Ingat awak sebut I love you tadi." Sambil mulut memberi komen, tangan dia mengambil beberapa bungkus Oreo dan letak di dalam troli.
"Saya baru nak balas..."
Ayat dia tergantung bila empunya suara berjalan menghampiri aku yang masih berdiri di tempat sama sejak tadi. Dia renung ke dalam mata aku sebelum tunduk separuh badan.
"...I love you too," bisik dia betul-betul di tepi telinga aku.
"Jangan jatuh cinta pada saya. Awak tak layak," balas aku tanpa perasaan.
Dan akhirnya, aku yang sambung tolak troli. Tinggal dia seorang yang sedang tersenyum nipis. Tapi renungan matanya, bagai tersimpan rasa hampa yang menggunung di dalam hati.
p/s: next update, minggu depan. Insya-Allah. Happy reading. Sebarang komen, amat dialu-alukan ❤️
ANDA SEDANG MEMBACA
Dia - Ebook (Jampi Cinta Ilham)
RomanceTajuk baru Dia. Tajuk lama Jampi Cinta Ilham Harga RM 16.00 Ready file Blurb DIA Berbintikan Abdullah dan menumpang kasih dalam keluarga angkat yang membenci dirinya, bukan sesuatu yang mudah bagi Imani. Setiap hari, hanya air mata yang menjadi p...
