USAI saja memeriksa keadaan pesakit yang mengalami Pneumonia, Ufairah mengarahkan Staffnurse Rita untuk memindahkan pesakit ke wad wanita. Senyuman manis diberikan kepada pesakit. Sempat lagi Ufairah berikan kata-kata semangat agar pesakit cepat sembuh.
Sebaik saja kaki melangkah keluar dari unit kecemasan, nafas panjang dihela. Tengkuk yang lenguh diurut perlahan. Mata yang semakin layu membuatkan Ufairah semakin longlai.
Namun, melihat seorang doktor pelatih yang sedang menghulurkan sebekas makanan bersama Staffnurse Firzah membuatkan Ufairah sedikit segar.
Ini kegemarannya! Mengusik.
"Hah! Bercinta eh."
Sontak, Doktor Hadif terhinggut tatkala disergah dari belakang. Wajahnya serta-merta membahang dek usikan Ufairah. Kaki seakan terpasak di hadapan mesin makanan ringan. Kaca matanya dibetulkan.
"Doktor Ufairah... kita orang tak ada apa-apa..."
"Yelah tu. Ingat saya ni buta ke? Tak nampak apa yang berlaku kat sekeliling? Hari tu, Firzah siap back up awak lagi sebab kena marah dengan doktor pakar. Eleh. Nak menidakkan konon."
Ufairah menjungkit-jungkitkan kening tatkala pandangannya bertaut dengan Doktor Hadif. Senyuman mengejek terukir di bibir gadis itu.
"Doktor ni ada-ada je kan. Kita orang baru proses berkenalan. Tak ada apa-apa pun." Staffnurse Firzah pula mempertahankan diri tatkala Ufairah mula menghidu sesuatu yang janggal di antara mereka.
"Ish kau orang ni. Kalau tak ada apa-apa tu kita kenalah ada-adakan. Dari proses berkenalan lepas tu jumpa keserasian bolehlah melangkah ke alam yang penuh dengan mahligai cinta. So sweet!"
Nada suara Ufairah semakin kedengaran ceria. Membayangkan rakan sekerjanya melayari bahtera perkahwinan. Bahu Staffnurse Firzah ditepuk lembut. Senyuman semakin melebar sehingga menampakkan gusi.
Doktor Hadif dan Staffnurse Firzah sudah berpandangan. Masing-masing saling berbalas senyuman dengan wajah yang sudah memerah dek diusik oleh Ufairah. Akal sudah kematian diksi saat Ufairah berjaya menebak hubungan percintaan mereka.
"Jangan lama-lama tau Doktor Hadif. Staffnurse Firzah ni di antara jururawat paling cantik yang semua orang nak jadikan isteri. Hah, nanti melepas siapa merana?"
"Doakan kita orang..."
Tak semena-mena, Ufairah tertawa kecil mendengar omongan Doktor Hadif. Ibu jari diangkat sambil mengangguk.
"Mestilah saya akan doakan..."
Bunyi siren ambulans kedengaran. Perbualan tiga staf hospital itu terbejat. Lantas, langkah diatur menuju ke lobi hospital.
"Saya baru nak balik! Dugaan apakah ini..."
"Tak apa. Doktor baliklah dulu. Biar saya yang uruskan. Saya tengok dah lebih 24 jam doktor ada kat hospital ni." Doktor Hadif menawarkan diri untuk membantu. Kasihan melihat seniornya yang keletihan.
"Kita kurang doktor hari ni. Ramai yang tak balik lagi dari conferences. Sokay."
Melihatkan semangat Ufairah, Doktor Hadif kagum buat seketika. Gadis ini memang sentiasa kuat fizikal mentalnya. Dia sebagai doktor pelatih berharap agar bisa menjadi seperti Ufairah suatu hari nanti.
"Kes kali ni pergaduhan besar. Ada lima orang tercedera," lapor seorang paramedik sambil mengusung mangsa yang mengerang kesakitan. Ada juga yang dalam keadaan tak sedarkan diri.
Mendengarkan itu, Ufairah terkesima. Kenapalah sejak kebelakangan ini dia sering didatangi mangsa perkelahian. Apa pula punca perkelahian mereka kali ini?

YOU ARE READING
KERANA KAU YANG KUPILIH (TERBIT PBAKL 2024)
Romance𝔻𝕣 𝕌𝕗𝕒𝕚𝕣𝕒𝕙 𝕌𝕞𝕞𝕒𝕣𝕒 𝕃𝕖𝕗𝕥𝕖𝕟𝕒𝕟 𝕄𝕒𝕣𝕚𝕥𝕚𝕞 ℕ𝕦𝕒𝕚𝕞𝕒𝕟 𝕌𝕞𝕒𝕣 𝑲𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒊𝒏𝒊 𝒉𝒂𝒏𝒚𝒂𝒍𝒂𝒉 𝒓𝒆𝒌𝒂𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝒉𝒂𝒔𝒊𝒍 𝒊𝒎𝒂𝒈𝒊𝒏𝒂𝒔𝒊 𝒑𝒆𝒏𝒖𝒍𝒊𝒔 𝒔𝒆𝒎𝒂𝒕𝒂-𝒎𝒂𝒕𝒂. 𝑺𝒊𝒍𝒂 𝒉𝒐𝒓𝒎𝒂𝒕 𝒌𝒂𝒓𝒚𝒂 𝒑𝒆�...