Ilham tanya sekali je. Tapi berulang kali, suara garaunya bergema dalam kepala aku. Ibarat pita rakaman yang rosak.
Who hurt you, girl?
Semua orang yang pernah muncul dalam hidup aku. Termasuk diri sendiri. Aku manusia yang gagal dalam menjaga kesihatan mental dan hati sendiri.
Dia senyum dan tunduk sedikit kepalanya pada aku. Lalu, dia bangun dan melangkah masuk ke dalam bilik. Mungkin dia tengah melarikan diri. Tinggal aku seorang diri yang sentiasa berperang dengan perasaan.
Aku tersenyum sinis.
Ini yang dia panggil sayang?
Baru kena provoke dengan aku tak sampai beberapa minit, dia dah angkat kaki. Macam mana nak hadap emosi seorang perempuan yang sentiasa ada pasang surut?
Mungkin kerana aku bukan Adrina yang sempurna serba-serbi. Latak belakang hidup aku pun menyedihkan. Jadi, tiada alasan untuk Ilham terus bertahan di ruang tamu ni.
"Imani..."
Baru aku berura-ura nak angkat punggung, suara parau dia kembali menyapa pada pendengaran. Tak sempat nak tarik nafas panjang, dia muncul bersama dua cawan ais krim berperisa vanila. Di atas cawan ais krim, ada sudu kayu.
"Life is short, so make it sweet."
Aku pandang muka dia yang sedang tersenyum manis. Sama manis dengan ais krim yang berada di kedua-dua belah tangan dia.
"Untuk awak." Dia hulur satu cawan ais krim pada aku.
Aku goyang kepala ke kanan dan ke kiri. Menolak pemberian dia yang pertama dalam hidup.
"Awak tak makan ais krim?" Soal Ilham sambil duduk bersila di atas lantai. Kedudukan dia sekarang, betul-betul di hujung kaki aku yang berjuntai ke bawah.
Aku masih gelengkan kepala sebagai jawapan. Bukan merajuk, tetapi ini memang perangai semula jadi aku. Lebih banyak bersuara melalui anggota kepala berbanding mulut. Sebab dekat rumah mama, aku tak pernah layak untuk bersuara.
"Awal pagi lagi untuk makan ais krim?"
Aku angguk. Tak pernah aku makan ais krim seawal pukul sembilan pagi.
"Dannnn... masih terlalu awal pagi untuk garang seperti singa. Untuk bad mood." Dia tayang barisan gigi. Tangan kanannya tetap setia menghulurkan ais krim.
Walaupun tak suka, aku ambil juga ais krim. Sebab nak mengelak mulut ramah Ilham mengomel yang bukan-bukan. Salah satunya, mengata aku secara terang-terangan.
"Makan sebelum ais krim tu makin cair. Hilang nikmat makan ais krim nanti." Dia bercakap dengan hujung sudu kayu berada di dalam mulut.
Dia lelaki, tetapi mulut seperti orang perempuan. Terlebih ramah. Tak berat mulut macam papa. Cuma sekali papa buka mulut, akan menusuk tepat ke dalam hati dan tinggal parut untuk jangka masa yang lama.
"Lainlah kalau awak yang cair dengan senyuman manis saya. Bukan setakat rasa nikmat, tapi awak akan jatuh cinta hingga ke hujung nyawa." Dia sengih sampai terpejam rapat kelopak mata.
Terangkat hujung bibir aku.
Lelaki ni memang jenis kuat perasan. Malas nak berbalah, aku sumbat ais krim laju-laju masuk ke dalam mulut. Main telan terus. Tak kemam dulu dalam mulut untuk seketika
"Walaupun awak tak tanya, tapi saya nak bercerita juga pada awak. Dalam bilik saya ada kedai runcit mini. Macam-macam jenis makanan ada. Termasuk ais krim." Dia tayang cawan ais krim yang dah kosong di tangannya.
"Hurmmm..." Bunyi yang muncul bersama dengan satu anggukan di kepala aku. Tindak balas sekadar untuk tunjuk rasa hormat sesama manusia.
Mungkin dalam bilik dia ada peti sejuk mini seperti bilik Adrina. Cuma peti sejuk Adrina untuk simpan produk penjagaan muka. Peti sejuk Ilham pula untuk simpan stok makanan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Dia - Ebook (Jampi Cinta Ilham)
RomanceTajuk baru Dia. Tajuk lama Jampi Cinta Ilham Harga RM 16.00 Ready file Blurb DIA Berbintikan Abdullah dan menumpang kasih dalam keluarga angkat yang membenci dirinya, bukan sesuatu yang mudah bagi Imani. Setiap hari, hanya air mata yang menjadi p...
