EPISOD 2

14.3K 646 104
                                    

6 tahun kemudian...

SEBAIK saja mengenakan pakaian taktikal, balaclava dicapai seraya disarung ke kepala. Glock 19 disisip ke sarung kelopak senjata di bahagian kaki. Selaras Heckler&Koch diperiksa. Memastikan peluru di dalam senjata mencukupi.

Sebelum ke lapangan, doa pelindung diri dibaca. Meminta agar misi menyelamatkan tebusan pada malam itu dipermudah. Hanya kepada Allah mereka berserah selain berikhtiar agar semuanya berada dalam keadaan selamat. Apatah lagi mereka berhadapan dengan lanun yang sudah menjadikan lima orang tokoh korporat sebagai tebusan.

Sebuah helikopter model AW139 bersama juruterbang sudah menanti kehadiran Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat menuju ke kapal sasaran. Bintara Kanan Maritim Arham atau nama samaran Rhino yang menjadi penembak jitu sudah bersiap sedia di atas AW139 bagi melakukan serangan dari udara.

Manakala Laskar Kanan Maritim Badar atau nama samaran Bull, Bintara Muda Maritim Yusuf atau nama samaran Rex, Leftenan Muda Maritim Zafri atau nama samaran Viper dan Leftenan Maritim Umar atau nama samaran Knight menaiki RHIB menuju ke arah sasaran dibantu oleh pegawai yang sudah berada di menara tinjau sambil memerhatikan titik kordinat keberadaan kapal yang ditawan.

"All units moving!" Arahan dikeluarkan oleh Leftenan Komander Maritim Johan.

"Roger that."

Hanya dalam masa enam minit, AW139 sudah berlegar di ruang udara di atas sebuah kapal yang menjadi tawanan. Tiga orang lanun yang sedang bersantai di dek kapal sontak berubah cemas tika anggota keselamatan muncul.

Buru-buru, mereka mencapai raifal yang disandarkan di belakang dinding kapal seraya melilau memerhatikan AW139 yang memberikan ancaman kepada para lanun. Muncung raifal sudah dihalakan ke arah sasaran. Sontak, suasana mula cemas tika para lanun melepaskan berdas-das tembakan ke arah helikopter.

"Permission to enggage." Rhino meminta kebenaran tatkala hujan peluru seakan tiada penamatnya.

"Ready to fire."

"Copy that."

Sontak, AWM dihalakan ke arah sasaran. Dibantu dengan alat penjera skop untuk melihat titik koordinat musuh, picu ditarik sebelum tembakan dilepaskan. Jiwa Rhino semakin membuak-buak ingin menghapuskan riwayat musuh yang sudah menggugat ketenteraman perairan negara.

Sekelip mata, para lanun tergeletak di atas dek kapal dengan darah membuak-buak mengalir dari tubuh mereka. Namun, tiga orang musuh kelihatan keluar dari kapal sebaik saja bunyi tembakan membuatkan mereka terancam.

Bunyi berdas-das peluru yang dilepaskan daripada Rhino dan para musuh semakin menghangatkan suasana samudera. Dek ketangkasan Rhino, tiga orang musuh terkulai serta-merta. Lantas, Rhino turun ke dek kapal dengan teknik fast roping seraya mengambil posisi untuk membantu para anggota di dalam kapal.

Dalam masa yang sama, Umar dan lima orang pasukan yang sudah naik ke atas kapal melilau ke sekeliling luar kapal sambil menghalakan Heckler&Koch yang diangkat paras bahu ke hadapan. Jari diletak di picu sebagai langkah berjaga-jaga.

Viper yang merupakan penembak jitu berselindung di tingkat dua kapal sambil meniarap. Angin malam sesekali menyapa wajahnya yang ditutup dengan balaclava. AWM dihalakan ke hadapan dengan mata kanannya dipusatkan ke penjera skop.

Dengan langkah berhati-hati, mereka merempuh masuk ke dalam kapal. Suasana kelihatan hening. Tiada situasi yang mencurigakan setelah sebahagian para lanun yang berjaga di tingkat bawah telah ditembak mati oleh Rhino sebentar tadi.

Umar yang berada di barisan hadapan memberikan isyarat. Tangan kanan diangkat sebagai isyarat berhenti. Arahan dikeluarkan. Jari telunjuk dihalakan ke arah dua orang anggota yang berada di belakang seraya dihalakan ke arah Timur. Kemudian, Umar mengunjuk dirinya seraya melangkah ke arah Barat kapal.

KERANA KAU YANG KUPILIH (TERBIT PBAKL 2024)Where stories live. Discover now