Aku keluar dari bilik sesudah sembahyang subuh. Dan orang pertama yang aku nampak, Ilham. Dia sedang duduk di meja pulau dengan muka yang menghadap ke arah pintu bilik aku.
"Good morning," tegur dia ramah sambil mengangkat separuh tangan kanannya sampai ke paras bahu. Bibir tersenyum lebar hingga ke telinga.
Aku tak menyahut. Malah, aku pusing badan untuk masuk ke dalam bilik kembali. Terbantut terus niat nak minum air suam. Sehabis boleh aku akan cuba mengelak daripada sebarang masalah baru dalam hidup.
"Ehhh! Kenapa U-turn? Saya bukan polis trafik. Saya suami awak, Imani."
Awalnya, suara dia gabra. Tapi bila sampai pada penghujung ayat, intonasi suara dia berubah ceria. Seolah-olah dia sedang mengusik aku.
Aku genyeh hidung sebelum mengeluh panjang. Kerana dia suami, aku U-turn. Aku lebih rela berhadapan dengan polis trafik daripada tunang Adrina.
"Awak pilih antara dua. Sama ada awak duduk di sini bersama saya."
Muncung mulut Ilham tunjuk ke arah bar stool di depan dia yang masih kosong tanpa penghuni.
"Atau kita sama-sama berkurung dalam bilik awak. Yang mana lebih menarik, Imani?"
Sambungan ayat yang buat seluruh badan aku kaku untuk seketika. Termasuk tangan kanan yang berada di tombol pintu. Sebelum lambat-lambat, aku pusing dan seret kaki ke arah meja pulau.
"Good girl. Isteri saya ni patuh orangnya." Ilham tersenyum simpul. Tangan kirinya bermain dengan sudu teh yang berada dalam muk.
Setiap kali sebutan 'isteri' meniti di bibir dia, hati aku rasa ngilu. Ibarat kena toreh dengan pisau lipat yang dah berkarat.
"Jemput makan Imani," pelawa dia sebaik saja punggung aku berlabuh di bar stool yang berwarna hitam. Satu rona dengan meja pulau.
Aku rasa macam berada di bufet makan pagi hotel. Macam-macam jenis makanan ada di atas meja. Agak kejutan budaya untuk aku yang setiap pagi makan biskut kering cicah Milo panas.
"Walaupun masih belum cukup 48 jam, tapi saya harap, awak sudi makan pagi ni. Lagipun, sekarang awak dah jadi isteri saya." Dia tenung muka aku sesaat lalu meneguk air di dalam muk.
Kasar aku telan air liur.
Kenapa cukup mudah Ilham sebut perkataan 'isteri'? Dia tak rasa terseksa seperti aku? Atau rasa ibarat dia curang dengan Adrina?
"Dulu awak single. Tak makan sampai dua hari pun, tak ada masalah. Cuma bila jadi isteri saya, awak wajib makan. Selang tiga jam sekali, Imani." Nada suara dia tak garang dan tak juga lembut. Lebih pada orang yang sedang memberi arahan dalam bentuk sembang kosong.
Aku sekadar angguk. Mulut tetap terkunci rapat. Tiada sebarang bunyi yang keluar. Aku lebih selesa jadi pendengar daripada pihak yang bercakap. Sebab dah terbiasa dari dulu lagi. Bersuara bila perlu saja.
"Kenapa tak makan? Atau awak nak saya suap awak?"
Tak sampai lima saat dia habis tanya soalan, laju tangan dia bergerak dan tolong buka bungkusan nasi lemak. Dah bersiap sedia untuk suap aku.
"Saya boleh makan sendiri." Selepas sekian lama, baru ada bunyi yang datang daripada pihak aku.
Ilham sambut suara aku dengan tayang barisan gigi sambil ibu jarinya buat isyarat bagus.
Aku tarik bungkusan nasi lemak yang berada di tengah meja. Dan ketika tangan mula pegang sudu, dia bangun dan tolak bar stool masuk ke bawah meja pulau.
"Awak makan dulu. Saya nak masuk bilik sekejap. Awak jangan rindu saya pula."
Belum sempat aku tanya, dia terlebih dahulu bersuara. Cakap ayat perah santan pula tu. Terbantut terus selera makan aku.
"Awak tak makan sekali?" Soal aku berbahasa. Sebagai tanda penghargaan dia tolong beli sarapan pagi.
"Saya dah kenyang tengok muka cantik awak." Dia kenyit mata kanan.
Lelaki ni bukan setakat kuat perasan, tapi bermulut manis. Patut Adrina tangkap cinta sangat dengan Ahmad Ilham. Pandai mengayat kaum Hawa rupanya.
"Lagi satu, saya tak nak selera makan awak terbantut lepas tengok muka hensem saya lama-lama."
Ya, dia handsome. Sangat sesuai dengan Adrina yang cantik rupawan. Bagai pinang dibelah dua.
"Awak tak selesa dengan saya kan, Imani?" Soal dia tanpa sebarang signal.
Aku cuma duduk diam. Tiada sebarang respons sebagai tindak balas.
"Saya tahu awak tak selesa dengan saya."
Spontan, dia ketuk tangan kiri aku yang menggeletar sejak tadi guna hujung sudu. Kemudian, dia gelengkan kepalanya seraya tersenyum nipis.
Aku tertunduk malu.
Setiap kali berhadapan dengan orang baru, memang tangan kiri aku akan menggeletar. Tangan kanan tak ada reaksi yang luar biasa.
Aku bukan Parkinson, tetapi kesan biasa tubuh badan bila perasaan takut dan cemas mula menguasai diri. Semuanya gara-gara status aku sebagai anak luar nikah. Akan sentiasa terbawa-bawa biarpun umur dah makin bertambah.
"Sebelum makan, jangan lupa baca doa makan. Dannnn jangan lupa doa, agar jodoh awak dan saya berkekalan sampai ke syurga." Pesanan nakal yang datang bersama satu gosokan di kepala aku.
Bila aku tepis tangan Ilham, dia sambut dengan gelak bahagia sebelum bergerak keluar dari kawasan dapur. Langsung dia tak marah atau mengomel yang bukan-bukan dengan respons kasar aku.
Lelaki ni manusia atau robot?
Kenapa dia masih mampu kekal tenang dan gembira walaupun kena tinggal dengan Adrina?
Dia tak sayang Adrina?
ANDA SEDANG MEMBACA
Dia - Ebook (Jampi Cinta Ilham)
RomanceTajuk baru Dia. Tajuk lama Jampi Cinta Ilham Harga RM 16.00 Ready file Blurb DIA Berbintikan Abdullah dan menumpang kasih dalam keluarga angkat yang membenci dirinya, bukan sesuatu yang mudah bagi Imani. Setiap hari, hanya air mata yang menjadi p...
