Dalam masa beberapa bulan, semuanya berubah. Yang bujang jadi isteri orang. Yang menderita, makin merana. Dan tunang si kakak angkat, tiba-tiba jadi suami aku.
Yang tak akan pernah berubah cuma satu...
Status aku sebagai anak tak sah taraf a.k.a anak haram. Anak yang lahir hasil daripada godaan nafsu manusia semata-mata. Kerana kesilapan orang tua, aku yang terpaksa tanggung akibatnya seumur hidup.
"Imani..."
Saat suara garau Ilham menyapa ke telinga, terpejam rapat kelopak mata aku. Sebelum lambat-lambat, aku dongak kepala dan pandang muka tenang dia.
Siapa sangka lelaki yang paling Adrina cinta dan puja selama bertahun-tahun akan jadi suami aku?
Tak pernah tercapai dek akal fikiran langsung!
Tapi sikit pun, aku tak rasa bangga. Jauh sekali bahagia. Kerana aku tahu, perkahwinan ni hanya sementara. Aku cuma penjaga jodoh Adrina. Bila tiba masanya nanti, Ilham bakal jadi masalah paling besar dalam hidup.
"Imani..." Seru dia untuk kali kedua sambil mengorak langkah ke arah aku yang sedang berdiri di tepi sofa. Sekarang jarak dia dengan aku tak sampai tiga keping jubin lantai.
"Yang mana satu, bilik saya?" Soal aku senada selepas tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan-lahan ikut mulut.
"Maksud awak... bilik kita?"
"Bilik saya." Aku tekan perkataan 'saya' dengan suara paling dalam. Biar Ilham lebih peka dan mula faham situasi kami berdua. Tak akan wujud perkataan 'kita' dalam hubungan kami berdua.
"Awak nak kita tidur asing-asing?"
Dia tunjuk diri sendiri terlebih dahulu sebelum jari telunjuknya terarah pada muka kering aku. Lalu, dia tersenyum manis.
Tak teragak-agak, aku angguk.
"Awak terpaksa kahwin dengan saya, Imani?"
Tersungging senyum sayu di bibir aku. Soalan bodoh untuk orang paling bangang dalam dunia. Sepatutnya dia tanya soalan ni tiga bulan yang lepas.Bukannya sekarang.
Dia tunang Adrina, tapi kahwin dengan aku kerana tunangnya menghilangkan diri ke luar negara. Padahal tak sampai tiga bulan lagi majlis kahwin.
Aku ni cuma mangsa keadaan. Terpaksa kahwin kerana takut pada ugutan mama. Dan dalam masa yang sama, tergoda dengan tawaran mama juga. Jadi memang terang lagi bersuluh, aku tak pernah ikhlas jadi isteri Ahmad Ilham bin Ahmad Ismail.
"Tapi pagi tadi, tak nampak macam awak terpaksa. Nampak yang awak ikhlas jadi isteri saya." Suara dan mimik muka Ilham sama-sama sadis.
"Memang saya berjalan sendiri ke pelamin. Tak kena tarik macam lembu. Saya senyum. Tapi hati saya, tak pernah terima dan reda awak sebagai suami." Monotone suara serak-serak basah aku.
Aku penat jadi pemungut masalah Adrina. Aku yang terpaksa tanggung semuanya sejak dulu. Harap sangat ini pengorbanan aku yang terakhir. Aku nak hidup bebas daripada Adrina dan mama.
"Saya minta maaf kerana awak terpaksa kahwin dengan saya, Imani."
Bila ucapan maaf Ilham yang menerobos masuk ke telinga, perasaan aku mula bercampar baur. Ini kali pertama orang minta maaf pada aku. Selalunya, aku yang kena minta maaf walaupun bukan salah sendiri.
"Mana bilik saya?" Aku patah balik pada soalan mula-mula tadi. Ucapan maaf dia biarlah terkubur begitu saja tanpa ada huraian yang lebih panjang.
"Awak boleh guna master bedroom. Selesa sikit untuk awak."
"Ada bilik lain yang lebih kecil? Saya tak nak master bedroom." Bukan cerewet. Namun ruang bilik yang besar, buat aku rasa sesak.
"Ada, tapi dekat dengan dapur. Awak okey?"
Laju aku angguk. Bilik aku di rumah mama pun dekat dengan dapur. Malah, sebelah stor. Jadi, aku dah terbiasa dengan keadaan macam tu.
"Boleh saya masuk bilik? Saya penat." Aku minta izin kerana hormat dia sebagai tuan rumah. Tak boleh biadap kerana aku cuma penumpang sementara di dalam rumah orang.
"Makan dulu sebelum masuk bilik. Awak tak makan lagi dari pagi tadi, Imani."
Ilham tunjuk ke arah meja makan yang ada bungkusan makanan. Sebelum sampai rumah tadi, dia ada singgah beli makanan dekat kedai masakan panas.
"Saya tak lapar. Awak makanlah." Sehabis boleh, aku cuba elak untuk sebut nama dia. Rasa tak layak sebab dia bukan milik aku sepenuhnya. Dia masih milik Adrina yang berada jauh di Kota Paris.
"Tak lapar?" Terjongket kening tebal dia. Mungkin dia susah nak terima jawapan ringkas aku.
"Setakat tak makan satu hari, perut saya masih mampu tahan. Saya pernah tak makan selama dua hari." Aku tersenyum nipis dan tunduk kepala sedikit ke bawah.
Tak tunggu balasan daripada Ilham, aku dah mula melangkah ke arah bilik yang berada di dapur. Sesungguhnya, badan dan mental aku sama-sama penat hari ni. Sejak semalam banyak benda aku kena hadam dan telan walaupun perit.
Entah sampai bila, aku mampu bertahan. Lebih-lebih lagi, selepas rahsia lama mula terbentang di depan mata. Selamanya aku akan jadi anak buangan orang tua sendiri. Itu fakta tentang hidup manusia bernama Imani binti Abdullah.
ANDA SEDANG MEMBACA
Dia - Ebook (Jampi Cinta Ilham)
RomanceTajuk baru Dia. Tajuk lama Jampi Cinta Ilham Harga RM 16.00 Ready file Blurb DIA Berbintikan Abdullah dan menumpang kasih dalam keluarga angkat yang membenci dirinya, bukan sesuatu yang mudah bagi Imani. Setiap hari, hanya air mata yang menjadi p...
