EPISOD 1

22.2K 728 90
                                    

SINAR mentari mula naik di atas kepala. Bayu laut yang menghembus atmosfera membuatkan pepohon meliuk mengikut arah angin. Dada langit kelihatan cerah pada pagi itu bersama kepulan awan yang berarak. Sesekali, bunyi ombak menghempas gigi air menyapa halwa. Cuaca yang kelihatan baik pada pagi itu seakan membawa rahmat kepada pencari rezeki di lautan.

Kelihatan para nelayan sudah turun ke laut bersama jala dan pukat. Ada juga para peniaga yang berurusan dengan nelayan untuk menjual hasil tangkapan nelayan di pasar. Bau hanyir ikan kering bersusun di atas buluh yang dijemur di bawah mentari menusuk rongga hidung.

"Tok Mat dah sihat ke nak turun laut hari ni?"

Romy yang baru pulang dari memukat ikan menghampiri Tok Mat yang berada di atas bot nelayan. Resah melihat warga emas yang diserang asthma seminggu yang lalu kembali turun ke laut.

"Haahlah Tok Mat. Risau pula tengok tok turun laut seorang ni. Kalau tak larat jangan paksa diri. Mahunya Nek Ton tembak kita orang dengan mulut cili dia tu hah kita orang naya, Tok Mat sekali naya kena piat dengan Nek Ton," tambah Aziz lagi.

Mendengar hal itu, Tok Mat memandang wajah dua pemuda kampung itu silih berganti. Dia tertawa kecil sambil menepuk bahu Aziz dan Romy. Memberikan ketenangan kepada mereka bahawa dia sudah kembali sembuh.

"Ah kau orang ni. Tak payahlah dilayankan sangat mulut Nek Ton kau orang tu. Tahulah aku nak menjawab macam mana nanti. Kau orang macam tak tahu laut ni dah macam rumah kedua aku. Boleh mati tanggung rindu aku kat rumah kalau tak turun laut."

"Yalah Tok Mat. Mentang-mentang ada doktor peribadi, segar terus ye nak kembali hadap ikan-ikan kat laut tu. Ni mesti banyak benda dia bebel dekat Tok Mat kan sampai tok cepat sihat. Boleh tahan juga mulut cucu Tok Mat tu kalau dah buka mulut. Rasa kena tonyoh cili padi pun ada juga."

"Tapi walaupun mulut dia macam Nek Ton tapi cucu Tok Mat tu cantik juga orangnya. Ada kesantunan. Berani pula tu."

Tiba-tiba, Romy memuji. Terimbas figura si cantik yang sebaya dengannya di ruang fikiran. Seleret senyuman terukir di bibir pemuda berkulit hitam manis itu. Sejak gadis itu pulang ke kampung halaman, Romy semakin rajin mencari rezeki dengan harapan cucu Tok Mat memandangnya sebagai pemuda yang bertanggungjawab.

"Kenapa? Berkenan dengan cucu aku?"

Sontak, wajah Romy membahang panas dengan soalan spontan Tok Mat. Dia hanya tersengih sambil menggaru pelipis yang tak gatal. Segan tika lelaki tua itu membaca gelodak jiwanya.

"Tok Mat sudi ke nak jadikan saya sebagai cucu..."

"Oh kau ni! Melebih sangat dah. Tok Mat, kita orang minta diri dulu. Kalau Tok Mat melayan budak ni alamatnya sampai ke malam Tok Mat tak dapat ikan," pintas Aziz seraya memaut leher Romy dan berpamit pergi.

"Kau ni apahal nak kacau line aku? Kau nak Fairah juga? Kau jangan macam-macam. Bini dah dua orang tak cukup lagi ke?"

Romy menggerutu seraya menepis kasar lengan Aziz. Geram tika sahabatnya menganggu perbualannya bersama Tok Mat.

"Bukan kacau daun! Aku cuma nak kau berpijak di bumi nyata lepas Fairah reject kau dua hari lepas. Haih! Aku sebagai sahabat sejati tak naklah kau letak harapan dekat cucu Tok Mat tu lagi. Carilah gadis lain yang setaraf dengan kau," pesan Aziz seraya menyeluk poket seluarnya. Mencapai sekotak Dunhill seraya melabuhkan duduk di atas sebuah pondok.

Melihat wajah mendung Romy dari jauh, Tok Mat hanya mampu menggeleng kepala. Simpati dengan si pemuda yang tak jemu meraih cinta cucunya sejak berada di bangku sekolah menengah lagi. Apa boleh buat. Ufairah itu hatinya sangat beku seperti bongkah ais di antartika. Diberikan kata-kata semanis gula pun takkan cairkan gadis yang berpendirian kukuh itu.

KERANA KAU YANG KUPILIH (TERBIT PBAKL 2024)Where stories live. Discover now