"HAH! Tengok apa tu?" Sergah Afif dengan kuat. Sengaja mahu memeranjatkan Seroja yang sedang termenung di gazebo halaman rumah.
Terhinjut bahu Seroja mendengar sergahan itu. Afif yang berdiri di depannya, direnung tajam. Suka saja menganggu ketenteraman jantungnya.
"Kau marahkan aku pasal petang tadi ke?" soal Afif. Diam saja gadis itu hari ini. Langsung tidak bercakap dengannya. Seperti mahu mengelak darinya pun ada.
"Marah? Marah pasal apa pula?" Sejak bila dia marahkan Afif?
"Abang kau kata, kau merajuk dengan aku sebab tak jawab call kau. Aku minta maaf pasal tu. Bateri telefon aku habis," ucapnya ikhlas. Bukan sengaja tidak mahu mengangkat panggilan-panggilan yang dibuat.
"Sejak bila pula saya marah awak? Saya bebel je tadi. Abang tu bohong saja." Boleh pula Syabil kata dia merajuk. Ini Serojalah. Hatinya kental. Buat apa nak merajuk dengan hal-hal yang kecil begitu.
"Betul ke? Dah tu, kenapa kau diam dan macam jauhkan diri dari aku tadi?" tanya Afif lagi. Dia tidak percaya.
"Sebab... Saya tak tahu nak cakap tentang apa. Lagi satu, kenapa pula saya kena dekatkan diri saya dengan awak? Tak boleh, haram."
Afif berjalan mendekati Seroja yang sedang menghayunkan kaki di gazebo. Selangkah demi selangkah dia menghampiri. Seroja mengangkat kakinya dan mengesot ke belakang, menjauhi Afif.
"Baik awak berhenti sebelum saya jerit panggil abang saya," tuturnya sambil mata digerakkan ke kiri dan ke kanan. Risau ada yang salah faham dengan mereka.
"Aku nak duduk dekat tepi ni je. Kau nak jerit tak tentu pasal dah kenapa?"
"Ish, kacau je awak ni. Saya nak 'me time' pun tak senang." Baru dia nak bersendirian, tiba-tiba saja lelaki itu datang.
Minggu depan, dia harus duduk di rumah Syabil selama seminggu. Abangnya tak mahu dia berada di sini, kerana pembunuh tersebut masih belum diberkas. Maknanya, dia harus mengajar dalam talian. Ahh, tak sukanya!
"Kau sedang fikirkan tentang apa tadi? Jauh termenung."
"Saya tak nak ikut abang balik. Hmm," keluhnya perlahan. Namun, apa yang Syabil lakukan, demi kebaikan dan keselamatan dirinya juga.
Afif mengubah kedudukannya menghadap ke kanan. Melihat Seroja. "Kau kena ikut Syabil. Dekat sini tak selamat."
"Bahaya... ada dekat mana-mana saja. Tak kira tempat dan masa. Jadi, sama saja. Kalau saya ikut balik KL, tak semestinya keselamatan saya terjamin kan?" Seroja tak mahu mengalah. Kalau boleh, dia tidak mahu ke sana.
"Memang bahaya boleh muncul dekat mana-mana saja, tapi sekurang-kurangnya ada yang boleh jaga kau kalau terjadi apa-apa. Kau faham tak?" Nada suaranya sudah bertukar tegas. Dia mahu, kali ini gadis itu mendengar kata.
"Saya boleh jaga diri saya sendiri. Selama ni, okey je saya hidup berseorangan. Tak ada yang teman. Hidup je sampai sekarang." Tak kurang tegas ayat yang diujarkan, sama seperti Afif. Seroja melompat turun dari gazebo dan mahu berlalu pergi.
"Seroja."
Panggilan itu tidak diendahkan. Kaki terus menapak laju.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...