DARI jauh Afif sudah nampak kelibat Darren yang sedang duduk di bangku hadapan pejabatnya. Batang lolipop dipegangnya sambil membelek semula maklumat mangsa kedua yang sudah diperolehi. Darren tidak menghiraukan keadaan sekelilingnya. Sampaikan Afif yang sedang berjalan ke arahnya pun dia tidak sedar.
"Ren, masuk bilik aku." Afif menolak pintu biliknya dan menunggu Darren masuk. Pintu ditutup rapat sebelum duduk di sofa yang terletak di tengah biliknya. Masing-masing menayangkan wajah serius.
Laporan terbaharu diserahkan. "Mangsa kedua, pelajar medik. Dan, dia belajar di UniOne. Macam Jelita. Cuma, aku tak pasti dua orang ni ada kaitan atau tak."
Lama Afif membaca beberapa helai kertas yang dipegangnya. Satu demi satu perkataan yang tercetak di kertas tersebut dibaca dengan tekun. Afif tidak mahu tertinggal satu pun maklumat penting. Lampiran keputusan DNA, diselak. Keputusan DNA pada bagasi tersebut, milik Nur Aufa iaitu mangsa kedua. Tapak kejadian primer pembunuhannya masih belum dikesan. Boleh jadi, lokasi pertama atau primer berada di UniOne. Sama seperti tempat pembunuhan Tihani.
"Kau kena tangkap pembunuh tu cepat. Kau tahu kan, kalau berlaku pembunuhan kali ketiga, kes ini akan dilabel sebagai pembunuhan bersiri."
Kepala dipanggung. "Aku tahu. Terima kasih tolong aku."
"No problem. Kalau ada apa-apa yang kau perlukan lagi, telefon je aku." Darren bangun dari duduknya.
"Aku pergi dulu," katanya sebelum menutup kembali pintu bilik Afif.
Kertas tadi disusun satu per satu di atas mejanya bersama laporan kematian Jelita. Afif mahu membandingkan cara dan masa pembunuhan yang dilakukan oleh pencuri cerebellum itu. Tinggi, berat, umur, tempat belajar, bidang, masa dan tempat pembunuhan, semuanya Afif catat pada papan putih di sebelah meja. Gambar pasport kepunyaan Jelita Tihani dan Nur Aufa dilekat pada papan tersebut.
Tok! Tok!
Kepala terangkat ketika pintu diketuk. Manusia yang sedang melangkah ke arahnya diberikan senyuman ringkas sebelum kembali menumpukan perhatian.
"Busy?" soal Syabil. Dia baru sampai di Pahang pukul satu tadi. Diambil cuti selama dua hari untuk menjenguk Seroja di sini.
Tiada respons. Afif memegang pen marker sambil menatap semula semua maklumat yang ditulisnya itu. Satu anak panah dilakar panjang dari gambar Jelita begitu juga pada gambar Aufa ke tengah papan putih.
Cerebellum. The Cerebellum Stealer.
Itu persamaan yang paling ketara setakat ini. Nama Sarjan Kamal di dalam senarai kontaknya ditekan. Beberapa minit kemudian, sudah muncul subordinatnya di pejabatnya. Kamal dipanggil masuk.
"Letak atas ni," arah Afif. Kertas laporan yang Semak di atas mejanya, disusun tepi. Segala fail dan dokumen yang dibawa Kamal, diletakkan di atas meja itu. Sarjan Marina yang baru tiba, turut meletakkan fail-fail di atas meja Afif.
"Aku nak kau berdua semak semua profil penjenayah dan bekas penjenayah yang belajar atau pernah bekerja dekat UniOne. Kalau ada ahli keluarga yang ada kaitan dengan universiti tu pun, bagitahu aku."
Kamal dan Marina mengangguk serentak. Arahan Afif dituruti.
"Kau nak aku tolong?" celah Syabil.
"Tak apa, aku boleh buat dengan dia orang nanti. Kita sembang dekat luar." Afif menapak keluar. Bangku di hadapan biliknya menjadi tempat perbincangan mereka berdua.
"Kenapa adik aku jadi sasaran dia?" tanya Syabil.
"Aku tak pasti. Tapi, aku yakin Seroja dalam bahaya sebab pembunuh tu dah tahu rumah dia. Sama ada, dia memang nak adik kau atau dia sengaja mahu bermain-main dengan pihak polis. That's all." Itu saja telahannya ketika ini. Tidak terlintas sebab-sebab yang lain.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...