BAGASI ditarik keluar daripada bonet kereta sambil bersiul. Hud di kepala dipegang, lalu kaca mata hitam dibetulkan supaya terletak kemas di atas hidung. Kaki melangkah perlahan, mendekati rumah yang gelap dan tidak berpenghuni. Sehelai kertas kecil berwarna putih dilekatkan pada bahagian pemegang bagasi.
Pagar yang berkunci, dibeleknya sebelum mencungkil kunci mangga menggunakan dawai besi. Sekejap-sekejap, dia tersenyum lalu tertawa perlahan. Kawasan yang selalu sunyi ketika waktu begini, memudahkan kerjanya. Apabila kunci sudah terbuka, mangga tersebut ditarik keluar dan diletakkan di tepi pagar.
Bagasi hitam itu dibawa masuk ke dalam. Diletakkan bersebelahan pokok mawar milik tuan rumah. Ditarik zip hingga separuh terbuka di bahagian atas. Pemandangan di dalam beg tersebut membuatkan dia kembali ketawa bahagia.
"Papa, adik akan jadi seorang yang terkenal tak lama lagi. Macam yang papa mahukan," cakapnya seorang diri. Lantas, dia kembali ketawa seperti orang kurang siuman.
Dia meninggalkan bagasi tersebut di situ. Mangga yang dibukanya, diambil semula untuk disangkut pada pagar. Selesai urusannya di rumah itu, kaki melangkah pergi. Sarung tangan getah yang dipakai, dicabut.
Pintu kereta dibuka. Sarung tangan itu dilempar pada kerusi sebelah. Plastik yang elok tergantung pada penyangkut di bawah dashboard, diambil dan dibuka. Matanya bersinar-sinar memandang trofi barunya yang ketiga.
Dia akan susun di dalam almari kaca di rumah. Mesti papa akan bangga!
Tanpa melengahkan masa, minyak ditekan dan berlalu pergi dari kawasan perumahan itu. Dipandang sekilas hadapan rumah yang baru dimasukinya sebentar tadi. Mesti gadis itu akan menyukai hadiah yang baru dihantarnya.
Tak sabar mahu melihat reaksi gadis tersebut. Ha ha ha!
Bahagia dia malam ini. Rancangannya berjaya lagi. Akan dikhabarkan berita ini kepada ibunya di rumah nanti. Ibu pun mesti bangga.
"TERIMA KASIH pak cik, mak cik sebab jemput saya makan sekali." Ikhlas Seroja ucapkan. Dia berasa gembira kerana mereka melayannya seperti anak sendiri. Tak lokek senyuman yang diberikan Seroja kepada Haji Manaf dan Hajah Aminah.
"Sama-sama. Nanti Seroja datanglah lagi nah. Boleh umi masak special sikit." Hajah Aminah berkata sambil memegang tangan Seroja. Tangan kecil itu diusap penuh kasih.
Seroja membalas semula usapan tersebut. Dia meletakkan tangan kanannya di atas tangan Hajah Aminah yang sedang mengusap tangan kirinya.
"Insyaallah. Nanti kalau Seroja ada masa, Seroja datang lagi."
"Amboi, umi! Anak umi balik rumah, umi tak cakap lagu tu pun," (Amboi, umi! Anak umi balik rumah, tak cakap macam tu pun,) celah Afif.
"Seroja tengoklah Afif ni. Macam budak-budak ja," tutur Hajah Aminah kepada Seroja sebelum mereka berdua ketawa bersama.
"Seroja dah selalu tengok Afif yang hensem ni. Kan Seroja kan?"
Seroja mengalihkan pandangan apabila matanya bertemu dengan mata Afif. Dia tidak menjawab soalan itu. Dia tunduk menyalami Hajah Aminah. "Saya balik dulu ya, mak cik pakcik."
"Aii, awat panggei mak cik pak cik lagi. Panggei ja umi dengan abah. Kan senang," (Aii, kenapa panggil mak cik pak cik lagi. Panggil je umi dan abah. Kan senang,) celah Haji Manaf yang hanya berdiam sejak tadi.
"Ha, betul kata abah tu. Cuba kamu sebut umi abah." Hajah Aminah pula mencelah.
Seroja mencari muka Afif untuk meminta pertolongan. Tapi, Afif buat-buat tidak tahu dan memandang ke arah lain.
Aduh, segannya dia sekarang ini!
"Err... umi, abah Seroja balik dulu ya," tutur Seroja dengan perlahan dan menahan debar di dada.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...