BAB 16

1.5K 66 11
                                    

7 tahun kemudian...

SUASANA Kafe Anggerik ketika ini riuh-rendah dengan suara manusia. Ada yang sedang bergelak tawa bersama rakan-rakan, ada yang sedang membuat perbincangan dan ada juga yang sedang menikmati hidangan. Kafe ini tidak pernah sunyi. Selalu penuh dengan manusia.

Seroja menghampiri kaunter untuk membuat pesanan. Dia baru mahu makan tengah hari. Hari ni terlalu sibuk dengan kemasukan pelajar baru. Sehinggakan, pukul 8 malam baru dia teringat untuk memesan makanan.

Kepala yang agak pening, dipicit perlahan. Bukan boleh makan lambat, mesti sakit kepala akan menyerang. Mungkin kerana stres dan menghadap skrin terlalu lama. Leher diurut perlahan untuk menghilangkan rasa sengal.

"Hai, Seroja. Pening kepala lagi? Ini mesti makan lambat." Mak Ti menegurnya.

Seroja mengangkat kepala dan tersengih, "sibuk sikit hari ni, sebab tu terlambat makan."

"Ada ke hari yang kamu tak sibuk, Seroja? Kamu tu Mak Ti tengok, tiap-tiap hari pukul 8 malam baru nak muncul dekat sini. Entah-entah sarapan pun tidak," perli Mak Ti

Mak Cik Wati atau lebih dikenali sebagai Mak Ti itu merupakan pemilik kafe utama di universiti ini. Dia amat ramah dan seorang yang disenangi ramai. Tak kira pelajar ataupun pensyarah, semuanya suka berurusan dengannya.

"Saya sarapan. Mak Ti jangan risau. Kalau saya tak makan langsung seharian, saya rasa saya dah pengsan sekarang ni," balas Seroja.

Dia sudah menganggap Mak Ti seperti ibunya. Dari awal dia masuk ke universiti ini sehingga sekarang, Mak Ti selalu mengambil berat tentangnya. Mungkin sebab Mak Ti tidak mempunyai anak perempuan. Jadi, dia agak rapat dengan Seroja berbanding dengan pensyarah lain kerana kebanyakan pensyarah di sini sudah berumah tangga.

"Hari ni ada apa? Mak Ti tengok ramai pelajar yang serbu kafe pagi tadi. Petang pun ramai." Mak Ti menyoal. Hairan juga dia. Selalunya memang ramai orang di kafe ini, tapi mereka tidak menyerbu secara serentak.

"Itu mesti pelajar-pelajar ambilan kedua yang serbu. Maklumlah, pagi tadi saja kena duduk dalam dewan dengar taklimat hampir empat jam. Mahunya dia orang tak serbu," jelas Seroja. Dia pun turut terlibat dalam sesi suai kenal pelajar minggu ini. Lagi bertambah sibuk jadinya.

Sudahlah sekarang jabatannya kekurangan kakitangan kerana ada seorang rakannya yang sedang cuti bersalin. Alamatnya, Seroja yang harus mengambil peranan untuk melakukan tugasannya sebelum pensyarah yang baru tiba.

"Ohh, patutlah. Ha ni, makanan kamu dah siap." Mak Ti menyua plastik makanan kepada Seroja.

Dia mengambil plastik yang membungkus kuetiau ladna itu sebelum menyerahkan beberapa keping duit berwarna biru kepada Mak Ti. "Terima kasih, Mak Ti. Saya beli ya."

"Ya, Mak Ti jual. Nak balik tu hati-hati. Jalan dekat depan tu selalu sunyi," pesan Mak Ti sebelum berlalu masuk ke dapur.

Seroja turut beredar setelah pesanannya sudah siap diambil. Dia menuju ke tempat letak kenderaan untuk pulang ke rumah setelah hampir seharian berada di sini.


MOTOSIKAL dituntun ke tepi. Kemudian ditongkat. Helmet di kepala ditarik keluar. Panas pula rasa sekarang ni walaupun sudah malam. Kenapa lah dia boleh terlupa untuk mengisi minyak. Kesian 'isterinya' ini haus.

"Assalamualaikum Naufal. Tolong belikan minyak untuk aku." Belum sempat Naufal menjawab salam, dia sudah membuat pesanan.

"Eh, cuba kau cakap pelan-pelan sikit. Kau nak apa tadi? Minyak?" soal Naufal kembali. Kawannya itu selalu bercakap laju, kalah submesingan Beretta PMX 9 mm. Telinganya ini sudahlah selalu mendengar bunyi tembakan dan bom.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang