KEESOKAN harinya, Seroja hanya berehat di rumah. Atas nasihat doktor, dia perlu memulihkan kaki sepenuhnya sebelum ke sekolah. Cutinya dipanjangkan selama seminggu. Makin bertambahlah kerja sekolahnya nanti.
Dia hanya duduk di dalam biliknya sepanjang hari. Makanan pula, Puan Nadira akan hantarkan ke bilik.
Ibunya tidak mahu dia menjejakkan kaki di bawah. Takut makin parah kaki kanan itu. Padahal, boleh saja kalau dia berjalan perlahan-lahan turun ke bawah. Puan Nadira suka memanjakannya. Habislah. Lemak dia akan semakin berkumpul selepas ini.
Ketika meletakkan kepala di atas bantal, dia teringat perbualan antara Arif dan seorang anggota polis kelmarin.
"Kenapa dia panggil Arif, 'tuan'?" Seroja bermonolog sendirian.
Dan...
"Kenapa, abang kata jumpa dia dekat pejabat? Apa yang Arif buat dekat sana?" Dia buntu. Siapa Arif yang sebenarnya?
Tok! Tok!
Ketukan pintu, mengejutkan lamunannya.
"Boleh ibu masuk?" Puan Nadira menyoal.
"Masuklah ibu." Seroja membenarkan ibunya masuk ke dalam. Puan Nadira seorang yang menghormati privasi orang. Walaupun itu merupakan bilik anaknya, dia tetap menyoal terlebih dahulu.
Dulang yang dibawa, Puan Nadira letakkan di atas meja kecil di sebelah katil Seroja. Hari ini, ibunya memasak sup telur dan tempe goreng. Dihidangkan bersama air putih, buah oren dan nasi putih.
Ada yang pernah mengatakan bahawa tidak boleh mengambil telur jika luka belum sembuh. Dikhuatiri akan bernanah, gatal dan lambat sembuh. Tetapi, itu semua hanyalah mitos. Telur merupakan sumber protein yang kaya dengan vitamin dan mineral. Tiada kajian yang menyatakan bahawa telur akan menyebabkan luka lambat sembuh, bernanah atau gatal. Cuma, bagi sesiapa yang mempunyai alahan terhadap telur harus dielakkan daripada mengambilnya.
Buah oren yang telah dipotong, dicucuk menggunakan garfu. Seroja makan sehingga habis.
Sup telur yang dimasak bersama sayur sawi disenduk ke dalam pinggan nasi putih yang telah disusun bersama empat keping tempe. Puan Nadira yang mahu menyuap Seroja, dihentikan. "Ibu... Nirmala sakit kaki, bukan tangan. Nirmala boleh makan sendiri. Kesian ibu, mesti penat memasak buat Nirmala. Meh pinggan tu."
"Biar ibu suapkan dulu. Nanti baru pergi basuh tangan, makan sendiri." Seroja hanya merelakan. Lagipun, sudah lama dia tidak disuap begini oleh Puan Nadira. Mulut Seroja yang comot, Puan Nadira lap.
"Dah. Biar Nirmala suap ibu pula. Mesti ibu belum makan kan?" Tanpa menunggu jawapan Puan Nadira, dia bangun ke tandas. Membasuh tangannya.
Pinggan di tangan Puan Nadira diambil. Seroja menyuapkan nasi ke dalam mulut Puan Nadira. Lalu, disuap pula ke dalam mulutnya sehingga licin pinggan. Pinggan kosong itu diletakkan semula di atas dulang. Gelas yang diisi air putih diambil, lalu diteguk perlahan.
"Alhamdulillah... Sedap ibu masak. Boleh gemuk Nirmala kalau tiap-tiap hari macam ni," seloroh Seroja sambil mengusap perutnya yang buncit kerana masakan ibunya.
"Hahaha! Ada-ada saja kamu ni. Sudah lah, ibu nak turun bawah dulu. Kemas dapur." Rambut anaknya itu diusap perlahan.
Seroja tersenyum diperlakukan begitu. Dia gembira melihat ibunya ketawa.
"Ibu... Nak turun, boleh?" Matanya dikedip-kedip, meminta simpati sang ibu.
"Tak boleh." Pantas saja Puan Nadira membalas.
"Bolehlah ibu, bosanlah duduk dalam bilik. Please?" Tangannya pula dicantumkan lalu diletakkan di bawah dagu. Dengan harapan, ibu akan memberi kebenaran untuknya turun ke bawah.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...