TEPAT jam 4 petang, pelajar Sekolah Menengah Sri Jaya tiba di Campvrill Beach Resort, Pantai Kempadang. Seramai 120 pelajar telah mengikuti kem ini dan lima orang guru pembimbing terlibat. Sebanyak empat buah bas telah disewa oleh pihak sekolah. Para pelajar turun dari bas dan mengambil beg pakaian masing-masing di dalam bonet.
Setelah itu, mereka diarahkan untuk beratur mengikut kelas dan dibahagikan kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan mendapat dua kunci bilik yang boleh menempatkan seramai 10 orang. Chalet yang berada bertentangan dengan padang yang mereka berdiri menjadi destinasi yang selanjutnya.
Seroja yang sedang membawa satu beg kecil dan menggalas satu beg besar di bahunya disentuh dari belakang. Senyuman kecil diberikan kepada Alisha.
"Sedihnya. Kenapa kita tak satu kumpulan?" adu Alisha. Jurulatih telah membahagikan kumpulan secara rawak. Dia tidak mahu semua peserta berada dalam satu kumpulan yang sama dengan rakan rapat.
Sebabnya, jurulatih ingin mereka mengenali rakan-rakan yang lain dan menguatkan ikatan silaturahim sebelum menamatkan sesi persekolahan.
Seroja yang sedang mendengar keluhan Alisha, menyimpan senyum. Nasib dia tidak berada dalam kumpulan yang sama dengan rakannya itu. Kalau tidak, mesti Seroja akan dikawal lagi. Waktu beginilah dia boleh membuat kawan baru.
"Ala kau ni, cuba cari kawan baru. Mana tahu ada yang sekepala dengan kau." Seroja tidak faham kenapa Alisha mahu berkepit dengan dirinya sahaja. Tak pernah Seroja lihat Alisha beramah-mesra dengan orang lain di sekolah.
Alisha yang kelihatan muram, Seroja abaikan.
Bilik A11 didekatinya.
"Alisha, aku nak masuk bilik aku dulu. Pergilah cari bilik kau pula," kata Seroja. Alisha yang masih tidak berpuas hati, melangkah pergi dari situ tanpa berkata apa-apa. Biliknya yang bernombor A02 dicari.
Seroja mengangkat bahu, mulutnya pula dimuncungkan. Malas nak ambil kisah tentang hal tadi. Pintu bilik dibuka. Salam diucapkan secara perlahan sebelum masuk ke dalam.
Segenap ruang bilik diperhatikan. Terdapat dua katil bersaiz queen yang terletak di tengah-tengah bilik. Tandas pula berada di sebelah pintu masuk. Terdapat juga penyaman udara dan meja solek.
Seorang gadis yang sedang membuka bagasi kecilnya, Seroja sapa. Mungkin ini ketua bilik yang diarahkan untuk menjaga kunci.
"Hai!"
Kepala gadis itu terkalih ke arah suara yang sedang menyapa.
"Hai!" Dia bangun dan bersalaman dengan Seroja.
"Apa nama kau?"
"Aku Seroja daripada kelas 5 Aman. Kau?" jawab Seroja, ringkas.
"Aku Anees, kelas 5 Bakti."
Seroja mengangguk dan tersenyum kecil. Budak sains tulen rupanya. Patutlah nampak macam ada aura seorang doktor.
"Kau sorang je ke yang baru sampai bilik?" soal Seroja. Sewaktu masuk ke sini, dia hanya melihat Anees seorang sahaja yang sedang mengambil barang di dalam beg.
"Tak, ada sorang lagi dalam tandas. Nama dia Haura." Anees menjawab pertanyaan Seroja sambil tangan sibuk menggeledah beg sendiri.
"Oh."
Tanpa membuang masa, Seroja meletakkan begnya dan disusun rapi di tepi almari bersebelahan tandas. Telekung dicapai dan dikeluarkan daripada beg galasnya. Mereka perlu berkumpul semula di dewan untuk solat asar berjemaah pada pukul 4:30 petang.
Ahli biliknya yang lain tiba sewaktu Anees dan Seroja berborak kosong dan menegur mereka.
Haura yang sudah keluar dari tandas, mendekati semua ahli bilik yang sedang membuat sesi suai kenal antara sama lain di katil. Setelah itu, Seroja pula yang masuk ke tandas untuk mengambil air wuduk.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...