HARI Isnin yang paling tidak dinantikan oleh semua pelajar sekolah telah tiba. Tetapi, lain bagi Seroja. Dia paling menyukai hari Isnin kerana kelas Sejarah pada hari tersebut hanya satu jam sahaja tidak seperti hari-hari lain yang dilakukan selama dua jam.
Seroja tidak faham betul dengan mereka yang membenci hari Isnin ini. Lagi pula hari ini merupakan hari kelahiran nabi kita, Muhammad S.A.W.
Hati dan fikiran dilapangkan dari segala perkara negatif supaya sesi pembelajarannya dimudahkan hari ini. Seroja yang selalu hadir ke sekolah awal 30 minit, membuka suis lampu. Manakala, suis kipas yang sudah terbuka dipandang pelik. Siapa yang tak tutup suis ni?
Tiba-tiba, Seroja berasa seram sejuk. Air liur diteguk beberapa kali sebelum kepala dipusingkan dengan perlahan untuk melihat ke belakang.
Siapa pula yang ada dekat belakang aku ni?
Makhluk yang sedang berdiri statik di belakangnya dipukul berkali-kali dengan kamus.
"Kau siapa?! Kalau kau hantu, baik kau pergi sekarang sebelum aku buka langkah silat." Seroja berkata sambil tangan tidak henti-henti memukul makhluk tersebut.
Dengan tidak disangka-sangka, tangannya dipegang.
"Hoi! Kau dah kenapa pukul aku? Aku rasa kau yang kena sampuk hantu sekarang ni," marah Arif yang baru sahaja bangun tidur. Niatnya yang ingin ke tandas untuk membasuh muka segarkan diri terus hilang setelah dipukul Seroja.
Tangan Seroja yang masih dipegang Arif, ditarik kasar. Nasib berlapik, kalau tak memang nak kena hempuk sekali lagi. Tudungnya yang sudah senget dibiarkan sebelum menutup muka dengan kamus ditangan lalu berjalan melepasi Arif yang masih lagi mengusap bahu yang berasa sengal.
Ya Allah, malunya! Kenapa setiap kali jumpa budak mata empat itu, akan terjadi perkara-perkara yang memalukan? Tapi, kesian pula aku tengok dia. Dekat rumah haritu, terbaling bawang terkena matanya. Hari ini pula, terpukul Arif dengan kamus yang tebal.
Kesalahan haritu pun aku belum minta maaf. Tambah lagi dengan kejadian tadi, dah dua kali aku belum minta maaf. Ah! Nanti sebelum balik kau kena mohon ampun daripada Arif, okey Seroja? Pesannya kepada diri sendiri.
Arif yang melihat Seroja membebel seorang diri, mengerutkan dahinya. Dah kenapa perempuan ni. Memang kena sampuk betul-betul agaknya.
Memandangkan hanya dia dan Seroja sahaja yang berada di kelas, Arif berlalu pergi dari kelas 5 Aman meninggalkan Seroja untuk mengelak daripada difitnah. Tak elok berdua-duaan begitu, nanti ada yang ketiga!
Alang-alang, boleh dia ronda melihat kawasan Sekolah Menengah Sri Jaya ini. Sejak hari pertama berada di sini, belum sempat lagi dia meninjau sekeliling kawasan sekolah tersebut. Lagi-lagi bangunan yang menempatkan makmal sains yang berada di bangunan paling hujung itu.
Iya lah, dia kan budak sastera. Mana ada keperluan untuk mereka mengadakan kelas di makmal. Bangunan makmal yang berada di hujung sekolah, menjadi sasarannya. Blok bangunan yang dinamakan Ibn Sina bersempena dengan nama tokoh islam yang pertama memperkenalkan prinsip perubatan moden itu hanya mempunyai dua tingkat. Di bawah tangga, terdapat stor yang menyimpan segala peralatan sukan. Aras atas blok tersebut ialah makmal biologi, kimia dan fizik bagi tingkatan 5. Manakala, aras bawah merupakan makmal bagi pelajar tingkatan 4.
Arif kemudiannya berjalan di belakang bangunan makmal. Terdapat garaj sederhana kecil untuk pelajar yang membonceng motosikal ke sekolah. Di sebalik pagar dawai yang mengelilingi kawasan sekolah terdapat juga satu bangsal kayu yang kelihatan usang dan rumput panjang mengelilingi kawasan sekitarnya. Tiada apa-apa yang pelik. Cuma, pagar dawai yang dipasang di situ sudah terdapat bahagian yang dipotong. Muat untuk seorang pelajar melaluinya. Mungkin ada yang memotongnya untuk ponteng dari sekolah.

ANDA SEDANG MEMBACA
SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]
Action"Nama aku Ahmad Arif, nama kau Seroja kan?" AHMAD ARIF. Baru sahaja kenal beberapa hari, Seroja sudah melakukan kesilapan terhadap rakan sekelasnya itu. Bukan sekali, tapi banyak kali! Namun, Arif tetap maafkan dia. Makin lama dia mengenali lelaki i...