BAB 2

2.8K 106 2
                                        

PAGI yang cerah, ku sangkakan indah. Rupanya punah. Kebingitan yang didengari dari dapur membuatkan Seroja pasrah. Bukan waktu pagi sahaja yang sebegitu rupa. Kalau boleh, dua puluh empat jam ayahnya mahu memarahi ibu. Ada saja perkara yang tak kena di mata ayah.

Ibu pula hanya mendengar dan menurut tanpa merungut sekalipun tentang perangai suaminya. Yang paling Seroja geram, ibu selalu tidak mempertahankan diri apabila dibalun oleh ayah dengan teruk. Bila perkara tersebut berlaku, Seroja dan abang sulungnya lah yang harus menghentikan ayahnya yang baran.

Seroja yang berada di dalam biliknya pada aras dua banglo itu, dengan laju berlari turun ke dapur untuk menghentikan ayah. Ibu yang berada di hujung meja makan yang dapat memuatkan lapan orang, hanya menunduk dan menahan air mata daripada terus mengalir.

"Ayah, kenapa pulak ni?" celah Seroja sambil menahan suaranya daripada meninggi.

Dato' Safwan yang sedang memarahi isterinya Puan Nadira terus memandang kepada Seroja dengan mata yang mencerlung tajam.

"Kau jangan sibuk hal orang tua. Pergi naik atas!" jerkah Dato' Safwan kepada anak bongsunya itu.

Seroja sudah hafal dengan ayat dan perangai ayahnya. Seroja tanpa menghiraukan ayahnya, mula mendekati ibu. Lalu dia menarik ibu, ingin pergi dari situ. Dato' Safwan yang melihat tingkah laku Seroja tersebut, mula bangun daripada duduk.

Dato' Safwan mendekatinya yang berada di sisi Puan Nadira. Dia berdiri di hadapan mereka berdua. "Aku cakap apa tadi, naik atas kan? Sejak bila kau pekak ni ha?!"

Seroja hanya berdiam diri di samping Puan Nadira. Puan Nadira yang tidak ingin pergaduhan ini berlanjutan terus menolak Seroja dengan lemah lembut supaya masuk ke dalam bilik semula. Akan tetapi, Seroja hanya mengeraskan tubuh.

"Nirmala, pergi masuk bilik. Ibu tak nak kamu berlawan mulut dengan ayah. Tolong dengar cakap ayah. Nirmala sayang ibu, kan?" bisik Puan Nadira di tepi telinga anak gadisnya.

"Sebab Nirmala sayang ibu lah, Nirmala dekat sini. Nirmala tak nak ayah pukul ibu lagi." Seroja menuturkan ayat itu sambil menatap tajam wajah Dato' Safwan. Seroja sudah tidak kisah jika ayahnya ingin memukulnya. Yang paling penting sekarang ini ialah ibunya, Puan Nadira.

Sejak dari Seroja masih kecil lagi Puan Nadira selalu menjadi tempat melepaskan geram Dato' Safwan. Kali ini, dia tidak akan biarkan.

"Kurang ajar!" Suara Dato' Safwan bergema satu rumah banglo dua tingkat itu. Tangan kanannya diangkat tinggi. Sedia untuk dilayangkan pada wajah Seroja.

Puan Nadira segera memeluk Seroja untuk melindunginya daripada pukulan tersebut. Belum sempat tangan Dato' Safwan hinggap di pipi Seroja, tangannya digenggam dengan kuat oleh seseorang.

Jeda.

Puan Nadira yang tidak merasakan apa-apa pukulan itu membuka mata. Seroja yang berada di dalam pelukan ibunya, segera mencelikkan mata untuk melihat apa yang terjadi. Ternyata, abangnya iaitu Syabil Niyaz sedang menggenggam tangan Dato' Safwan dengan kuat sehingga timbul urat hijau.

"Lepas!" Dato' Safwan mengarahkan anak sulungnya untuk melepaskan tangannya apabila pegangan Syabil semakin erat.

"Ingatkan kuat sangat tadi. Aku pegang macam ni pun kau tak boleh nak tarik ke, Dato' Safwan?" perli Syabil sebelum melepaskan tangan ayahnya dengan kasar. Syabil yang masih berpakaian kerja itu, mendekati ibu dan adiknya.

Dato' Safwan menjeling Syabil dengan tajam. Beg kerjanya yang berada di atas kerusi dicapai. Kunci kereta diatas meja makan turut diambil sebelum keluar dari rumahnya. Atau lebih tepat lagi, rumah Puan Nadira yang sudah menjadi miliknya setelah kematian bapa mentuanya.

SELAGI JASADKU BERNYAWA [COMPLETE]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang