Mentari mula memancarkan sinarnya ke segenap sudut Baitul Jannah. Bunyi Tuwu bersahutan menandakan tirai pagi bakal berlabuh tak lama lagi. Dari kejauhan, suara anak-anak Baitul Jannah dapat ditangkap jelas oleh pendengaran Bonda di pejabat pengurusan tak jauh dari surau as-Syakirin.
Melalui celahan jendela yang terbuka, Hajjah Hafsah mengintai keadaan anak-anak perempuannya. Ada yang gigih menyental lantai seramik, ada juga yang tekun membuang habuk dari rak penyimpanan telekung dan al-Quran. Tak ketinggalan, yang pura-pura sibuk mengelap tiang kayu jati berulang kali seperti Iman.
"Tengok tu, bang. Entah apa yang Iman lap dekat tiang tu daripada tadi. Ada saja akal budak tu nak mengelat daripada buat kerja." Hajjah Hafsah menapak semula ke arah suaminya yang tampak leka menyelak helaian muka surat pada fail biodata pelajar.
Dia mengambil tempat di hadapan suaminya. Keningnya hampir bertaut memikirkan sebab Haji Azraei membuka fail itu. Perhatiannya teralih apabila derapan kaki seseorang mendaki anak tangga menyapa pendengaran. Hajjah Hafsah menoleh mahu melihat siapa yang datang.
"Assalamualaikum Bonda, abah..."
Air muka Hajjah Hafsah terus berubah. Sepenggal senyuman menghiasi wajahnya. Salam tadi dijawab lembut seraya mendekati anak perempuan yang sedang berdiri di muka pintu pejabat pengurusan itu. Haji Azraei mengangkat wajah. Melihat siapa yang datang.
"Zaris, bang." Hajjah Hafsah membawa Zaris ke meja suaminya. Pasti ada perkara mustahak yang membawa gadis itu ke pejabat pengurusan Baitul Jannah. Tempat yang paling dielak para penghuninya. Kerana yang dipanggil ke situ pasti akan keluar bersama air mata. Entah kerana keluarga sendiri menolak daripada menjemput atau mereka baru mendapat hukuman daripada Bonda dan Haji Azraei.
"Ha, Zaris. Ada apa ke mari? Rasanya abah tak ada panggil Zaris."
Hajjah Hafsah menilik reaksi Zaris. Memang betul suaminya tidak memanggil sesiapa ke pejabat urusan hari ini memandangkan mereka bakal menerima tetamu selepas zohor. Air muka Zaris tampak sendu. Seakan sedang menyimpan luka yang tak dizahirkan.
Tangan gadis itu ditarik ke sofa berdekatan. Genggamannya dieratkan. Memujuk Zaris untuk luahkan apa saja yang mengganggunya. Haji Azraei sekadar memerhati dari jauh. Bimbang kehadirannya akan membuat Zaris tak selesa.
"Zaris ada masalah?" Hajjah Hafsah terus membuat tekaan sebaik mereka sama-sama melabuhkan punggung. Zaris akhirnya membalas tatapan bonda. Bersedia untuk suarakan apa yang disimpan. Dia terpujuk dengan anggukan wanita itu. Seolah mengalukan apa saja cerita yang dibawa.
Zaris menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan. Kesakitan yang dipendam sejak beberapa bulan lalu mula menjadi beban yang tak tertanggung. Dia terumbang-ambing bagai daun ditiup angin. Menanti saat rebah ke bumi atau terus melawan dan berpaut pada ranting yang mula rapuh.
"Zaris?"
Panggilan Hajjah Hafsah menyentakkannya. Mengembalikan dia pada niat asalnya ke pejabat urusan Baitul Jannah. Kebaikan wanita itu mengalukan kedatangannya sedikit sebanyak memujuk sedikit lara yang membelenggu sanubari. Wajah bonda ditatap dalam. Kau kena berani... Bisik hatinya memberi semangat pada diri sendiri.
"Kalau saya nak tinggalkan tempat ni, Bonda dengan abah izinkan tak?" Terluah jua kerisauan yang membelit jiwa sejak lama. Namun, hadir rasa sendu sebaik terpandangkan wajah Bonda dan abah yang seolah-olah kecewa dengan apa yang baru disuarakan. Zaris diusik rasa bersalah tak semena-mena.
"Zaris dah tak suka tinggal sini ya? Atau Zaris dah jumpa tempat baru untuk Zaris belajar ilmu agama?" Soal Bonda sayu hendak melepaskan satu-satunya anak Baitul Jannah yang 'menyerah' diri tanpa penjaga.
Zaris menggeleng laju. Menidakkan tekaan rambang Hajjah Hafsah yang terlalu jauh dari hakikat sebenar. Bagaimana dia hendak menyusun kata supaya tak mengguris hati tua itu? Zaris buntu. Tapi tak mungkin juga dia berdiam tanpa menjawab. Zaris mengumpul kekuatan. Kali ini tangan Hajjah Hafsah dibawa dalam genggaman.
"Bonda sayang saya?" Hajjah Hafsah mengangguk.
"Doakan saya, Bonda. Saya dah tak ada ibu untuk minta doa. Orang kata, doa seorang ibu tak ada hijab..." Kata ditutur bersama senyuman yang dibuat manis. Hati yang dipaksa kental tetap kalah setiap kali perihal ibu dibicarakan.
Dagunya terasa dicuit. Dia mendongak dalam tak mahu. Risau sekiranya empangan yang ditahan pecah di hadapan Hajjah Hafsah dan Haji Azraei. Sekuat hati dia menahan rasa syahdu yang memberontak ingin dilepaskan.
"Apa yang buatkan Zaris terasa, sayang? Bonda tahu Zaris takkan nekad buat keputusan tanpa sebab. Beritahu Bonda. Kalau anak-anak Baitul Jannah jadi punca, biar Bonda hukum mereka selayaknya seorang ibu mendidik anak. Zaris tak perlu pendamkan semuanya sendiri sedangkan Bonda, abah dan ramai orang dekat sini sudi bantu Zaris."
Setegar mana pun dia menahan, air matanya tetap tumpah mendengar pujukan tulus bonda. Sekelip mata dia tenggelam dalam dakapan wanita itu.
Akhirnya dia dapat merasa hangatnya pelukan seorang ibu. Semakin deras air matanya mengalir. Tak peduli lagi dengan batasan yang ditetapkan Haji Azraei dimana tenaga pengajar dan penghuni Baitul Jannah harus menjarakkan diri supaya tak hilang rasa hormat.
Belakang badannya terasa dielus. Ya Allah, kuatkan hatiku untuk teguh pada pendirian... Rintihnya dalam hati. Bersama kekuatan yang bersisa, dia meleraikan pelukan bonda. Tangannya masih erat menggenggam tangan Hajjah Hafsah.
"Saya hargai setiap ilmu yang saya dapat sepanjang tinggal dekat sini. Apa yang berlaku antara saya dengan pelajar Baitul Jannah yang lain biarlah saya jadikan pengajaran. Izinkan saya simpan semuanya sendiri sebab itu khilaf kami. Cukup Bonda tahu yang saya dah maafkan apa saja perlakuan mereka. Saya juga dah minta maaf pada mereka. Untuk maafkan saya ataupun tidak, itu urusan mereka."
Hajjah Hafsah mengangguk. Zaris mencapai tangan bonda lalu dikucup penuh kasih dan hormat.
"Terima kasih Bonda untuk kasih sayang Bonda selama ni. Semua kebaikan Bonda dan Abah akan saya bawa ke liang lahad. Baitul Jannah merupakan syurga dunia yang saya temui dengan izin-Nya. Ikutkan hati, saya tak mahu tinggalkan Baitul Jannah, berpisah dengan Bonda dan kawan-kawan tapi saya sedar, tak mungkin selamanya saya bersembunyi di sini. Lari daripada bayang-bayang sendiri. InshaaALLAH saya dah cukup kuat untuk berjalan sendiri..."
Lapan belas bulan dia berlindung di Baitul Jannah. Menyelit di antara jiwa-jiwa yang terdesak perlukan ketenangan. Mencari secebis harapan untuk dia teruskan kehidupan tanpa dibayangi kelamnya masa lalu.
Biarlah dia tinggalkan episod dukanya di situ. Bersama jiwanya yang telah mati dibunuh pengkhianatan. Pandangannya diarah pada pintu gerbang yang tertulis Baitul Jannah.
Biar ku kuburkan noda semalam di sini.
BINABASA MO ANG
[OG] SANGKAR RENJANA
Romance"Awak tahu kan, saya sanggup lepaskan apa saja tapi bukan Ihana? Jangan cabar saya, Ezar." - ZARIS DYNARA "Sayang nak lawan abang?" - EZAR RAYYAN "Tak pernah terdetik pun dekat hati saya ni untuk lawan awak. Tapi, kalau awak biarkan orang luar hancu...
![[OG] SANGKAR RENJANA](https://img.wattpad.com/cover/345808153-64-k553366.jpg)