SEGERA aku menapak ke arah meja makan semula. Sekuntum bunga mawar yang terletak cantik di dalam plastik bercorak itu, aku bawa dekat ke hidung. Wanginya!
Ada sekeping nota kecil terselit di sebalik bunga tersebut. Dengan penuh debaran aku mengambil nota tersebut lalu dibelek-belek bahagian depan dan belakang. Sudah beberapa kali belek, barulah aku perasan ada tulisan di bahagian belakang kad tersebut. Macam mana nak perasan, kalau tulisan itu berwarna kelabu.
Jangan biar diri terus dihanyut dalam arus kesedihan. Percayalah, ada hadiah terbaik yang sedang menanti kau. Anugerah daripada Allah buat kau.
- Gizemli Adam
Berkerut-kerut dahi aku membaca nota tersebut. Setahu aku, aku tak ada kenalan lelaki selain Fakhri. Aku memang tak berapa pandai sangat nak bergaul dengan lelaki. Pertemuan antara aku dan Fakhri dulu pun, ambil masa yang lama untuk aku sesuaikan diri dengan dia.
Siapa gerangan bernama Gizemli Adam ni? Nama dia bukan main rare. Nak menyebut pun berbelit lidah. Tapi... bunga ni memang untuk aku ke apa? Dia tak tulis pula nama aku atau mana-mana nama penghuni dalam rumah ni. Tapi bila baca ayatnya yang ditulis di dalam kad ini sepertinya untuk aku. Misteri sungguh si pengirim bunga ni!
Tak nak membuang masa fikir siapa si pengirim bunga ini. Aku letakkan saja bunga itu di dalam bilik. Jam yang terletak di atas almari, aku pandang sekilas.
9:00 pagi.
Ada baiknya aku keluar mencari ketenangan. Sekali gus, mencari pekerjaan. Wajib. Biarlah aku penat sekalipun mencari kerja sehingga ke hujung dunia. Asalkan suatu hari nanti, ayah tidak akan memerli aku lagi. Siapa saja yang sanggup hari-hari disindir sebegitu rupa? Dengan ayah kandung sendiri pulak tu. Hati tu ibarat dihiris-hiris halus dengan pisau, setiap kali mendengar sindiran ayah.
Seperti biasa, tudung sarung dan kardigan membuatkan aku pantas dan mudah saja bersiap untuk ke mana-mana saja.
"Ibu, Haura nak keluar sekejap. Nak cari kerja. Ibu doakan Haura dapat kerja, ya."
Itulah ayat aku setiap kali mahu keluar. Sentiasa dan tanpa jemu meminta doa daripada ibu. Kerana Allah telah meletakkan seseorang ibu di peringkat yang paling tinggi doanya untuk dimakbulkan. Disebabkan itulah reda dan restu daripada ibu sangat penting dalam kehidupan anak-anak. Doa seorang ibu untuk anaknya akan membawa keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
"Baik, sayang. Hati-hati memandu tu, ya," pesan ibu sambil mengucup kedua-dua belah pipi labuhku.
Aku menganggukkan kepala bersama dengan senyuman. Tangan ibu aku kucup sekali sebelum memakai topeng mulut dan juga gel pembasmi kuman. Topeng mulut sudah menjadi satu kewajipan setiap kali keluar. Penting!
Aku perlu bersemangat hari ini. Moga ada rezeki untuk aku mendapatkan pekerjaan.
Amin!
CARI punya cari sampai tak sedar matahari pun sudah hampir terbenam. Tangan pun sudah naik lenguh duk mengisi borang permohonan jawatan tak sudah-sudah. Telinga pun asyik mendengar omongan yang sama. Sampai naik jemu dah rasanya. Buat benda yang berulang-ulang kali."Nanti pihak kami akan call dalam masa terdekat."
"Nanti saya akan chat awak melalui WhatsApp."
Dua ayat ini yang berulang-ulang kali aku dengar sebaik saja borang permohonan itu diserahkan kepada mereka. Nak tak nak, kenalah hadap. Ujian yang aku kena tempuhi ini sebenarnya kecil sahaja nak dibandingkan dengan ujian orang lain yang lagi hidup susah daripada aku. Makan dan minum aku masih cukup. Ada rumah yang boleh berteduh. Ada kereta yang boleh bergerak ke sana sini.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kuntuman Mawar Milikku (TERBITAN FAJAR PAKEER 2023)
Romance✿ KUNTUMAN MAWAR MILIKKU ✿ Dia percaya kesetiaan membawa maksud ketulusan untuk menyimpan satu hati dan berjanji untuk tidak mengkhianati. "Abang sayangkan Haura. Abang tak tipu...." - ZAWWAR FAKHRI Ternyata kesetiaannya bagaikan bertepuk sebelah ta...