KMM 9

44 2 0
                                    

BINGKAI gambar yang berada di atas meja solek, aku capai perlahan. Dibawa dekat pada penglihatanku. Gambar aku bersama dengan Nafla ketika kami berada di tingkatan lima. Ketika itu, kami menghadiri majlis Hari Graduasi sebelum hari peperiksaan besar menjelang. Hanya dia saja yang sudi berkawan dengan aku ketika itu. Tatkala ramai yang menyisihkan aku. Membuli aku. Dialah insan yang ada dengan aku susah dan senang.

Air mata aku menitis ke pipi tanpa dipinta. Sakit itu masih lagi terasa dan aku tak rasa ia boleh pulih dalam kadar masa yang singkat. Tak pernah aku terfikir, kawan baik aku sendiri akan mengkhianati hubungan persahabatan kami hanya kerana cinta. Dia jatuh cinta pada lelaki yang aku cintai selama enam tahun lamanya.

Katakan pada aku, siapa saja yang boleh terima situasi seperti ini? Dalam satu masa, dua situasi yang penuh keperitan harus aku lalui. Dikhianati oleh sahabat dan juga teman lelaki sendiri.

Aku tak tahu apa kurangnya aku pada Fakhri? Dia dengan rasa tidak bersalah mengulangi kesilapan dia buat sekali lagi. Mempermainkan perasaan aku. Lebih tersakiti bila dia memilih sahabat aku sendiri menjadi teman sepermainannya.

Buk!

Aku sayangkan dia orang. Kenapa dia orang tergamak buat aku macam ni?

Buk!

Kenapa semua orang terlalu mudah mempermainkan perasaan aku? Sedangkan aku sendiri nak berbuat sesuatu pada orang, aku fikir lebih 10 kali. Aku tak nak orang terluka disebabkan aku.

Tapi....

Buk!

Orang tak pernah pun fikirkan hati dan perasaan aku. Dia orang selamba saja tikam belakang aku. Buat aku macam tak ada hati dan perasaan. Aku pun manusia macam dia orang jugalah. Ada hati. Ada perasaan.

Ya Allah, sakitnya. Macam mana aku nak terima semua ini? Cukuplah ayah menekan aku. Kenapa mesti Nafla dan Fakhri buat aku macam ni? Apa salah aku?

Aku melepaskan amarah dengan menumbuk bantal berkali-kali tanpa henti. Semakin lama tumbukan aku menjadi semakin kuat. Air mataku mencurah-curah bagaikan hujan lebat. Sungguh aku tak kuat untuk terima semua ini. Kalau aku ada salah, beritahu aku. Jangan buat aku macam ni. Jangan seksa hati dan perasaan aku.

Argh! Boleh pecah kepala otak aku bila fikirkan semua ini. Aku sudah tiada kudrat untuk menumbuk lagi. Sudahnya, tubuhku melorot jatuh dari katil ke atas karpet. Selimut tebal yang terjatuh di atas ribaku, aku genggam sekuat-kuat hati. Ingin sekali aku melepaskan jeritan.

Namun, aku mampu melepaskan jeritan melalui batin saja. Kalau aku lepaskan jeritan secara zahir. Bertambah-tambah lagi masalah aku dengan ayah. Mahu mengamuk dia dibuatnya.

Astaghfirullah.... Ya Allah... aku mohon berikanlah aku kekuatan. Tabahkanlah hati aku. Berikanlah aku kesabaran yang secukupnya untuk menempuhi segala dugaanMu selepas ini. Aku tak nak tersasar jauh lagi dari jalanMu, Ya Allah.

Tak mahu terus-menerus tenggelam dalam perasaan dan emosi sendiri, aku terus bangkit lalu mencapai tuala sebelum melangkah masuk ke dalam kamar mandi. Azan subuh bakal berkumandang tidak lama lagi. Lebih baik aku bersiap-siap untuk bertemu dengan Sang Pencipta. Mengadu pada Dia. Kalau aku berteriakan dan meraung seperti tadi, tidak akan ada kesudahannya. Balik-balik, sendiri yang semakin tersakiti.

Allahuakbar...

Allahuakbar...

Sesudah azan subuh berkumandang, doa selepas azan aku lafazkan dengan nada perlahan. Solat sunat subuh dua rakaat aku tunaikan sebelum menunaikan yang wajib. Banyak kelebihan sekiranya menunaikan solat qabliyah subuh ini. Bahkan, solat sunat subuh ini merupakan solat sunat yang paling disukai oleh Rasulullah di antara solat sunat rawatib yang lain.

Masih lagi aku ingat tazkirah seorang ustaz yang aku dengar melalui aplikasi YouTube. Beliau menerangkan segala kelebihan sekiranya menunaikan solat qabliyah subuh tersebut. Antara salah satu ayat yang diungkapnya....

Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.

Makanya, aku mula mempraktikkan diri untuk menunaikan solat sunat subuh sebelum menunaikan yang wajib. Sedaya upaya aku cuba untuk mengubah diriku kepada yang lebih baik. Tidak mahu terlalu mengikut kata hati yang boleh membawa ke jalan mati.





"HAURA..."

Suara lembut itu menyapa gegendang telingaku sebaik saja aku menutup pintu bilik. Senyuman paling ikhlas terlukis pada bibirku buat ibu tersayang. Aku tak mahu dia tahu yang anak perempuannya ini dalam keadaan terluka. Terluka kerana hubungan cinta dan persahabatannya dikhianati.

"Selamat pagi, ibu."

Tubuh ibu aku peluk dengan erat. Masa-masa macam ni juga, aku rasa sebak. Lagi-lagi bila tubuh aku dan tubuh ibu bersatu. Aura seorang ibu memang sangat unik.

"Selamat pagi, sayang. Anak ibu okey? Semalaman terperap dalam bilik. Sunyi ibu dengan Cik Za. Haura ada masalah ke? Tak nak share dengan ibu?" Tangan ibu ligat mengusap wajahku yang semakin membulat ini. Macam nak meletup dah muka aku ni. Dah, asyik makan saja kerjanya.

"Okey saja, ibu. Masalah kecil saja. Haura dah okey. Ibu jangan risau, ya."

Bahu ibu aku rangkul rapat ke sisi tubuhku. Menariknya perlahan menuju ke meja makan. Kelihatan Cik Za sedang duduk di atas kerusi meja makan sambil tersenyum memandang ke arah aku dan ibu. Kelibat ayah tidak kelihatan pada pagi ini. Mesti dia sudah bertolak ke tempat kerjanya.

"Hah, bangun dah kesayangan Cik Za ni. Jom sarapan sama-sama. Sekejap lagi Cik Za nak bergerak ke tempat kerja. Tak nak tersangkut dalam jam," ajak Cik Za.

Aku tersengih. Kepala dibawa angguk sekali. Punggung aku labuhkan di atas kerusi bersebelahan dengan Cik Za. Mataku meliar melihat hidangan pagi yang sudah tersedia di atas meja. Dan akhirnya, anak mataku terhenti pada sekuntum bunga mawar berwarna putih yang terletak di hujung meja berhampiran dengan ibu. Nampak macam bunga hidup. Bukan bunga plastik.

"Tu bunga siapa? Tak pernah-pernah ada bunga dekat atas meja ni?" soal aku. Jari telunjuk sudah menuding ke arah bunga mawar putih itu.

Serentak Cik Za dan ibu menoleh ke arah bunga mawar yang ditunjuk oleh aku itu sebelum mereka mengalihkan pandangan mereka ke arah aku. Ibu sudah menggelengkan kepalanya. Manakala Cik Za, mengangkat kedua-dua belah bahunya, tanda dia juga tidak tahu bunga tersebut kepunyaan siapa.

Aku fikirkan ayah yang tiba-tiba berubah menjadi romantis mahu memberikan ibu sekuntum bunga. Tapi, macam mustahil pula. Tak ada angin, tak ada ribut. Takkan ayah nak bagi ibu bunga kalau hari-hari kerjanya mahu mengamuk saja.

"Ibu yang jumpa bunga ni dekat atas tembok pagar tu, masa ibu tengah sapu halaman depan. Nanti Haura tengoklah siapa punya. Sebab ibu nampak macam ada kad kecil terselit."

Aku menjuihkan sedikit bibir sambil menganggukkan kepala. Tak sabar pula nak tahu pengirim dan pemilik si bunga itu. Inilah kali pertama dalam sejarah hidup, sekuntum bunga mawar putih hadir di dalam rumah. Mana pernah ada bunga dalam rumah ni.

Sepanjang makan, aku merenung saja ke arah bunga tersebut. Sampaikan aku tak sedar yang makanan di dalam pinggan sudah licin. Leka sangat merenung bunga tu. Seolah-olah bunga itu menarik perhatian aku.

"Haura, Cik Za pergi dulu tau. Apa-apa chat Cik Za."

Cik Za mengusap bahuku sebelum dia berlari anak ke arah sebuah kereta yang sedang menunggu di hadapan rumah. Mungkin kawan sekerjanya. Biasanya Cik Za akan pergi bekerja dengan menggunakan perkhidmatan Grab. Dia tak mahu aku menghantarnya ke tempat kerja. Lagipun, takut ayah aku banyak mengajukan soalan-soalan yang sukar dijawab. Macamlah tak kenal ayah tu macam mana.

"Hati-hati, Cik Za. Haura sayang Cik Za!"

"Love you too!"

Kami saling berbalas lambaian sehingga Cik Za hilang dari pandangan aku.

Kuntuman Mawar Milikku (TERBITAN FAJAR PAKEER 2023)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang