KMM 8

39 3 0
                                    

 "HAURA...."

Lamunanku terputus apabila tangan Cik Za melekat pada tanganku yang berada di atas paha. Aku tidak sedar yang kami sudah pun sampai di halaman rumah. Cik Za yang memandu memandangkan aku tidak punya daya kekuatan. Takut perkara yang tidak diingini terjadi sekiranya aku yang memandu.

"Dah sampai, ya? Sorry. Haura tak sedar," ujarku. Senyuman aku cuba ukirkan walaupun kelihatan hambar. Lagi-lagi dengan wajahku yang sembap kerana menangis teruk tadi.

"Haura... Cik Za tahu sekarang ni Haura terluka. Dua orang yang Haura sayang tikam belakang Haura. Tapi... Cik Za nak Haura tahu yang Cik Za ada sentiasa dengan Haura sampai akhir nafas Cik Za. Cik Za tak nak Haura terlalu memikirkan perkara tadi. Nanti Haura akan jatuh sakit."

Kata-kata Cik Za membuatkan aku terasa mahu menangis kembali. Hatiku saat ini terlalu rapuh. Bayangan mesra di antara Nafla dan Fakhri bermain-main di dalam mindaku. Lebih-lebih lagi, setiap kali aku memejamkan mata. Semakin jelas bayangan tersebut.

"Haura tak tahu apa salah Haura sampai dia orang hukum Haura macam ni sekali? Haura sayangkan Nafla. Haura sayangkan Abang Fakhri. Tapi... kenapa? Janganlah hukum hati Haura teruk sebegini. Haura tak mampu nak laluinya. Sakit sangat, Cik Za." Aku memejamkan mataku buat sesaat. Pada masa yang sama, air mataku kembali mengalir deras seperti tadi.

"Sayang, jangan menangis. Nanti asma Haura datang semula. Haura sendiri yang terseksa. Tolonglah... buat masa ni jangan fikirkan tentang dia orang dulu. Nanti kita fikirkan sama-sama, ya?" pujuk Cik Za.

Aku menganggukkan kepala. Akur dengan permintaan Cik Za. Aku sendiri pun tak sanggup nak menanggung sakit sekiranya penyakit asma sekali lagi menyerang. Bukan mereka yang tolong tanggungkan untukku.

"Hah, baru balik? Dah dapat kerja belum? Ke kerja kau ni merayau saja? Guna alasan yang sama. Kononnya nak cari kerja, padahal nak berjalan!"

Tidak sempat aku hendak melangkah masuk ke dalam rumah, suara ayah sudah memetir. Seperti biasa, dia akan memerli aku. Terus-menerus memerli aku sampaikan aku tak tahu bila ayah nak berhenti dari mendesak aku. Sakit kepala otak aku memikirkan cara untuk terangkan kepada ayah lagi.

"Belum dapat lagi, ayah."

"Sebab kau tak cari. Memanglah tak dapat. Jangan fikir aku ni bodoh sangat. Kau memang tak nak kerja, kan? Dasar pemalas!"

Aku menggelengkan kepala. Pelupuk mataku kembali berkaca sehingga mengaburkan pandangan. Hujung baju aku genggam, dengan harapan dapat mengembalikan sedikit kekuatan untuk berhadapan dengan ayah.

"Haura tak malas, ayah. Haura dah berusaha cari kerja. Cuma rezeki Haura untuk dapat kerja belum sampai."

Aku dengar ayah melepaskan dengusan kasar. Ketika ini, aku serahkan segala-galanya kepada Allah SWT. Kalaulah ayah nak bunuh aku sekalipun, aku terima kalau itu yang membuatkan dia gembira. Tidak perlu lagi dia nak menanggung anak yang membebankan seperti aku ini. Sungguh, aku sudah tiada kekuatan lagi. Bila-bila masa saja aku boleh tewas dengan semua ini.

"Aku ingatkan ada anak boleh menyenangkan hidup aku. Boleh tolong aku. Tapi... aku dapat anak yang pemalas macam kau ni. Habuk pun tak ada. Baik aku tak payah ada anak macam ni. Makan hati saja!"

Tengkingan ayah sedikit pun tidak mengejutkan aku. Sudah terbiasa. Bukan baru hari ini, aku dengar dia tengking. Boleh dikatakan hari-hari dia meninggikan suaranya kepada aku dan ibu. Tak kesahlah depan orang ramai atau di mana-mana saja. Dia memang tak fikirkan perasaan dan hati orang lain. Hanya fikirkan diri sendiri saja.

Bam!

Pintu bilik ayah yang sudah tertutup rapat itu, aku pandang dengan linangan air mata. Ya Allah, beratnya ujianMu ini. Tolonglah, bagi aku kekuatan. Satu demi satu ujian terjadi dalam hidup aku.

Aku terus masuk ke dalam bilikku tanpa sebarang kata. Ibu dan Cik Za yang cuba memanggil aku, sama sekali aku tidak sahut. Aku dah tak kuat untuk berdiri teguh lagi. Terlalu lelah. Perlahan aku melorotkan tubuh pada belakang dedaun pintu setelah pintu bilik aku kunci. Tidak mahu sesiapa mengganggu aku ketika ini. Aku mahu bersendirian.

Dan sekali lagi, wajahku bermandi dengan air mata. Dada aku tumbuk berkali-kali tanpa henti. Sakitnya tak dapat aku ungkapkan dengan kata zahir. Bunyi deringan nyaring dari telefon bimbitku sama sekali aku tidak hiraukan. Aku sudah agak siapa pemanggilnya. Sama ada Fakhri ataupun Nafla. Buat masa ini, aku tidak mahu bertemu atau bercakap dengan sesiapa pun.

Aku hidup di dunia ini seakan-akan menjadi mangsa permainan manusia. Dulu di sekolah, aku dibuli habis-habisan oleh rakan sekelas aku. Bila bekerja, tenaga aku dikerah seperti kuli. Dan aku fikirkan dengan menyambung pengajian, dapat melarikan diri daripada semua masalah itu.

Namun, sangkaan aku meleset. Aku difitnah oleh rakan sekelas sendiri sehinggakan tiada siapa yang mempercayai aku. Termasuklah pensyarah-pensyarah yang mengajar aku. Dalam sekelip mata saja, kepercayaan mereka pada aku lesap. Tidak ada seorang pun yang sudi mendengar penjelasan yang keluar dari mulut aku sendiri.

Aku terkapai-kapai sendiri mencari pertolongan. Berjauhan daripada ibu dan ayah menambahkan kepiluan di dalam hati. Sudahnya, aku mengambil keputusan untuk pendam sendiri sehingga ke hari ini. Tiada siapa yang tahu keadaan aku sepanjang aku menyambung pengajian di Johor. Mahu mengadu pada ibu, ibu banyak lagi masalah yang hendak difikirkan. Aku tak mahu membebankan fikiran ibu dengan masalah aku.

Hari-hari aku hanya ditemani dengan air mata. Mereka hanya nampak aku tersenyum dan menjalankan rutin harian seperti biasa. Bagaikan tiada apa-apa masalah. Sedangkan dalaman aku, hanya Allah saja yang tahu.

Kadangkala aku mempersoalkan segala ujian yang Allah turunkan kepada aku. Walaupun aku tahu, tidak sepatutnya mempersoalkan apa yang Allah dah tentukan dalam kehidupanku. Tapi... aku hanya manusia biasa....

Kenapa aku kena hadap ujian-ujian seperti ini?

Allah tak sayang aku ke?

Aku ni tak layak nak rasa bahagia ke?

Tiga soalan itu sering menjadi tanda tanya. Aku pernah terjerumus ke dalam bisikan hati sendiri. Meninggalkan segala apa yang disuruhNya dan membiarkan diri aku ini dibaluti dengan dosa-dosa buatan sendiri. Konon-kononnya mahu memberontak pada diri sendiri dengan mengikut emosi.

Sampai ke satu tahap, aku tersedar yang aku semakin tersasar jauh dari jalan lurus. Segala apa yang aku buat, tidak merasakan apa-apa. Seperti kosong. Sia-sia. Yang aku dapat cuma dosa. Dari situ juga, aku terbayangkan wajah ibu sekiranya dia mendapat tahu perangai liar anaknya ketika berjauhan darinya.

Sedangkan sebelum ini, aku sudah menaburkan macam-macam janji pada ibu. Mahu jaga diri. Jaga iman. Tapi itu hanya sekadar janji dari bibir bukan dari hati. Aku terlalu mengikut emosi sehingga aku lupa diri yang sebenar. Aku fikirkan hiburan dapat menghilangkan tekanan aku. Tapi seketika cuma. Ia tidak berkekalan seperti yang aku sangkakan.

Dan sekarang aku sedar, Allah uji aku tatkala aku mahu berubah. Mahu mendekatkan diri kepadaNya. Kemungkinan selepas ini, aku akan terus diuji dengan macam-macam lagi situasi pada masa akan datang. Mungkin lebih berat ujiannya berbanding dari yang aku hadap sekarang ini.

Walau berat mana sekali ujian yang aku terima, akan aku tempuhi segala dugaan itu dengan hati yang kental. Aku tidak mahu mengulangi dosa yang pernah aku buat dulu.

Cukuplah sekali...

Kuntuman Mawar Milikku (TERBITAN FAJAR PAKEER 2023)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang