KMM 4

41 2 0
                                    

MELIHATKAN dia berada di hadapanku, serba-sedikit melepaskan rasa rindu yang terbuku di dada. Boleh dikatakan sudah beberapa minggu kami tak bersua muka dek kesibukan dia menguruskan kerjanya yang menimbun tiada kesudahan. Malam ini, dia mengajak aku makan malam bersama di sebuah restoran makanan laut. Aku seperti biasa memang berselera kalau diajak makan. Tolak batu dengan kayu saja.

"Sayang okey? Lately ni abang tengok sayang macam tertekan saja. Makan pun boleh tahan banyak."

Senyuman aku mati dek pertanyaan yang menyentap tangkai hatiku. Dia orang kedua yang menegur mood makanku selepas ayah. Aku dah tak tahu nak bagi jawapan apa. Soalan yang sama sering aku dapat sehinggakan sudah lelah mahu menjawabnya.

"Biasa saja. Lately ni memang selera makan tinggi. Tak tahulah kenapa. Perut ni asyik lapar aje."

Aku lihat Fakhri menayangkan senyumannya. Dia menganggukkan kepala. "Tak apa, sayang. Abang faham yang sayang stres duduk dekat rumah tu, kan? Sekarang memang susah nak cari kerja. Janganlah fikirkan sangat. Nanti sayang sakit. Abang tak nak buah hati abang ni sakit. Kan sayang dah janji nak jaga diri untuk abang."

Bibirku kembali tersenyum mendengar tutur katanya yang manis itu. Tercuit sedikit hatiku mendengarnya. Dia sememangnya seorang yang sangat mengambil berat tentangku. Selepas satu kesilapan yang pernah dia buat dulu, dia betul-betul tekad untuk berubah. Dia tunaikan janjinya untuk berubah kepada yang lebih baik. Dan sekarang, dia sudah membuktikannya.

"Ya, abang. Jangan risau. Haura akan jaga diri Haura. Abang tu pun jaga diri jugak. Kerja pun kerja jugak. Jangan sampai terabai diri tu."

Fakhri menganggukkan kepalanya. Udang yang sudah siap dikopek, dicucuk menggunakan garpu sebelum disuakan kepadaku. Aku tersipu malu sebelum mengangakan mulut.

"Sedap?"

Aku menganggukkan kepala. "Sedap sangat. Terima kasih sebab sudi belanja Haura malam ni."

"Sama-sama, sayang. Abang rindu sangat dekat sayang. Setiap malam, abang akan tenung gambar kenangan kita dulu. Abang janji yang abang takkan biarkan sayang tunggu abang lama-lama lagi. Insya-Allah abang akan tunaikan janji abang dalam masa beberapa bulan saja lagi. Abang dah fikir masak-masak. Kita terus adakan majlis pernikahan. Tak perlu bertunang."

Semakin lebar senyumanku ketika ini. Doaku selama ini sudah dimakbulkan oleh Allah SWT. Akhirnya tak lama lagi aku akan melangkah ke alam perkahwinan. Tak sabar pula mahu beritahu berita gembira ini kepada ibu dan ayah.

"Terima kasih abang sebab tunaikan janji abang. Haura gembira sangat. Haura sayang sangat dekat abang."

"Abang sejuta kali sayang pada Haura. Haura cinta pertama abang."

Sepanjang kami menikmati makan malam bersama, aku hanya tersenyum. Senyuman yang menunjukkan aku bakal menggapai kebahagiaanku tidak lama lagi. Semoga Allah mempermudahkan segala urusanku dan Fakhri. Rasa tak sabar mahu menjadi isterinya. Mahu mendirikan masjid yang dirahmati Allah SWT. Aku kena belajar dan biasakan diri dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Sayang...."

Aku mendongakkan kepala bersama senyuman yang tak lekang dari bibir.

"Abang lupa nak beritahu sayang yang abang kena outstation dekat Sabah dalam tiga hari. Lepas tu, abang dah tak sibuk sangat. Sayang boleh tunggu abang, kan?"

Aku menganggukkan kepala. Faham dengan kerja hakikinya sebagai seorang arkitek. Kena banyak menjelajah sana sini. Aku dah biasa dengan pekerjaannya. Dan selama itu juga aku akan terus setia bersama dengannya. Tak pernah terfikir untuk aku menduakan dia walaupun kami jarang berjumpa. Selalu berjauhan.

Kerana dia adalah cinta pertama aku.

"Abang jaga diri, ya. Apa-apa chat la Haura."

"Baik, sayang. Jangan risau. Macam biasa. Abang akan chat Haura. Nanti abang belikan Haura oleh-oleh dari Sabah."

Aku hanya senyum. Fakhri memang rajin beli buah tangan sekiranya dia bekerja di luar negeri. Dia sememangnya tak pernah lupakan aku. Lihat dari segi percakapan dan tindakannya memang menunjukkan yang dia sangat mencintaiku. Sesibuk mana pun, dia tetap bertanya khabar tentangku.




9:00 MALAM.
Barulah aku sampai ke rumah. Suasana sekitar ruang tamu sunyi dan sepi. Tahulah yang semua orang sudah menghuni bilik masing-masing. Cik Za rasanya masih belum balik dari kerjanya. Biasanya dia akan balik pada jam 10:00 atau 11:00 malam. Kerja di butik baju berjenama kadangkala memang tak tentu waktu baliknya.

Tombol pintu bilik aku pulas dengan perlahan. Takut-takut yang Nafla sudah dibuai mimpi. Tak nak mengejutkan dia dari lena. Mesti penat sebab baru saja balik dari kerja. Aku aje yang tak kerja-kerja lagi. Nak dekat sebulan dah aku menunggu. Masih tidak dapat sebarang panggilan dari pihak mereka. Tak apalah. Allah nak uji kesabaran aku. Insya-Allah, aku akan cuba untuk bersabar. Kendatipun, kadangkala aku tewas dengan perasaan aku sendiri.

"Haura... kau dah balik ke?"

Aku terkejut sehingga terenjut kedua-dua belah bahuku. Fikirkan dia sudah tidur. Rupanya belum. Lampu siling sudah dipadamkan. Yang menyala hanya lampu tidur.

"Eh, aku ingat kau dah tidur. Sorry la kalau aku terkejutkan kau. Kenapa suara kau serak macam tu? Kau tak sihat ke?"

Nafla hanya tersenyum nipis. Aku tenung seraut wajahnya. Pucat.

"Aku kena period pain la, weh. Sakit gila. Tak boleh nak bangun."

Segera aku melabuhkan punggung bersebelahan dengannya. Aku tak boleh tengok dia sakit macam ni. Hati aku akan berasa sebak tak tentu pasal.

"Ya Allah, nak pergi klinik tak? Aku boleh bawakan. Klinik pun buka lagi ni."

Nafla menggelengkan kepalanya. "Aku dah telan ubat tadi. Kejap lagi kuranglah ni. Janganlah tayang wajah cuak macam tu. Aku okey ajelah."

"Okey, okey pun. Tengok muka kau tu. Pucat. Bibir kering. Ni dah makan belum?"

"Makan sikit aje. Aku tak selera. Perut aku memulas-mulas."

Aku masih lagi risau melihat keadaannya. Selimutnya aku betulkan sehingga ke paras pinggang. Kedua-dua belah kakinya aku picit dengan penuh lemah-lembut. Kalau dah kena period pain, memang tak boleh nak bawa bincang sakitnya macam mana.

Dan aku baru sedar yang aku dah enam bulan tak datang period. Aku ni memang susah betul nak datang period. Dalam setahun tu, hanya sekali dua saja datang period. Pernah sekali aku buat check up dengan doktor. Selamba saja doktor itu menuduh yang aku sedang hamil. Aku belum berkahwin lagi, dia kata aku mengandung. Siapa aje yang tak tersentap? Check up la dulu, baru beritahu keputusannya. Ini tidak. Tak sempat nak labuhkan punggung dekat kerusi, dah kena cup mengandung tak tentu pasal.

Lepas dah buat check up tu, baru doktor cakap yang keputusan kesihatan aku semuanya okey saja. Cuma berat aku yang bermasalah. Obesiti. Sebab tu menganggu kitaran haid aku. Doktor suruh aku turunkan berat badan aku dengan pengambilan gaya hidup sihat. Makan makanan yang seimbang. Rajin bersenam dan sedengannya.

Dalam beberapa bulan saja, aku berjaya ikut arahan doktor. Lepas tu, lesap. Tak ada mood. Kembali tertekan dan mood makan aku semakin menjadi-jadi. Aku pun tak faham dengan diri aku sendiri. Nak paksa diri pun, belum tentu berjaya turunkan berat badan. Semuanya aku dah pernah buat tapi itulah, sekejap saja. Lepas tu, aku dah tak buat lagi dah. Bukan senang nak disiplinkan diri.

Kalau ada sokongan dan dorongan daripada yang pakar, mesti aku boleh kawal selera makan aku ni sekali turunkan berat badan, kan? Hmmm....

Kuntuman Mawar Milikku (TERBITAN FAJAR PAKEER 2023)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang