"HAURA!"
Aku memalingkan wajah ke arah kanan. Kelihatan Nafla bersungguh-sungguh melambaikan tangannya ke arah aku dan juga Cik Za yang baru saja melangkah masuk ke dalam Sushi King. Aku membalas senyumannya. Tapi, senyumanku tidak kekal lama apabila ternampak sebuah beg sederhana besar berada di atas bangku bersebelahan dengan Nafla. Ada apa masalah lagilah kawan baik aku seorang ni kena hadap?
"Hai, takkan nak makan susyi sampai bawa beg macam nak balik kampung ni?" soal Cik Za sambil melabuhkan punggungnya bertentangan dengan Nafla. Manakala aku mengambil tempat di sebelahnya.
Nafla tersengih. Kepala dibawa geleng sekali. "Tak adalah, Cik Za. Nafla sebenarnya nak tumpang tidur rumah Haura dalam dua tiga hari macam tu. Ada masalah sikit dengan keluarga Nafla. Macamlah Cik Za tak tahu keluarga Nafla tu macam mana."
Cik Za cuma senyum. Kepala diangguk sekali. "Faham. Faham."
Tanpa berlengah lagi, aku memesan makanan menggunakan tab yang sudah tersedia di atas meja. Sesekali aku mengerling ke arah Nafla yang tersengih-sengih sambil jari-jemarinya bermain pada skrin telefon bimbitnya. Bukan main kawan aku seorang ni. Tengah angau bercinta ke apa? Setahu aku, dia dah lama putus dengan bekas teman lelakinya itu empat tahun yang lepas. Tak tahu pula, kalau dia dah jumpa yang baru. Langsung tak nak share dengan aku. Ini boleh mengundang kemarahan.
"Amboi, Naf. Bukan main sengih kau tu. Kalau boleh sampai ke dahi dah, kau tersenyum. Tak nak share dengan aku ke?"
Nafla mengalihkan pandangannya ke arah aku seraya tersengih seperti kerang busuk. Nak aje aku tarik bibir dia tu. Suka sangat sengih macam tu. Kalau dah tersengih macam tu, mesti ada berita baik yang dia nak sampaikan.
"Ala... boyfriend akulah. Aku tak nak heboh sangat kali ni. Takut tak menjadi sendiri yang merana. Aku nak beritahu kau pun, macam yakin tak yakin."
Aku mencebikkan bibir. Alasan dia tu langsung tak boleh terima. Tapi disebabkan dia kawan baik akulah, aku mengalah. Kalau tak lama dah aku merajuk dengan dia. Kata kawan baik, tapi berita macam tu pun tak nak beritahu. Kalau dah kahwin agaknya, langsung sunyi-sepi.
"Janganlah merajuk. Aku sayang kau. Aku dengan dia baru aje. Aku pun tak nak bagi apa-apa harapan." Nafla menarik tanganku sebelum diusapnya lembut.
Ya, ya aje baru kenal. Entah-entah dah lama. Suka sangat berahsia. Hmm....
"Yalah. Aku hormat keputusan kau. Hak kau. Kalau nak kahwin nanti, jangan sembunyikan pulak."
Laju Nafla menggelengkan kepalanya. "Tak adanya aku nak sembunyikan. Sebabkan dulu aku dah janji, nak jadikan kau flower girl aku bila aku kahwin nanti."
"Nasib baik kau ingat lagi janji kita dekat sekolah. Kalau tak, aku tadah air mata aku ni."
Nafla meledakkan tawanya. Kepala dibawa angguk beberapa kali. "Jangan takutlah, sayangku. Mesti kau orang pertama yang akan tahu aku berkahwin."
Aku mengangkat ibu jari. Tersenyum lebar. "Bagus. Itu yang aku nak dengar."
"Eh, kau jangan cakap aku aje. Kau tu pun sama. Dah kahwin nanti, aku orang pertama kena tahu. Nak jadi flower girl kau."
"Cik Za pun nak jugak. Jangan lupakan Cik Za." Cik Za mencelah sambil memuncungkan bibirnya. Dia dari tadi duk menatap telefon bimbit sampai tak sedar suasana sekeliling dia. Tup-tup saja dia menyampuk.
"Mestilah. Cik Za, mak cik kesayangan Haura."
Hidung Cik Za sudah kembang kuncup. Bibirnya sudah tersenyum-senyum. Kembanglah tu.
"Lepas makan ni, kita pergi jalan-jalan. Sambil tu, Haura nak cari kerja. Ayah dah asyik duk perli Haura aje suruh cari kerja. Sampai tersentap-sentap hati ni." Riak wajah yang tadinya gembira berubah sedih. Bila aku teringatkan insiden pagi tadi membuatkan hati aku seperti ditumbuk-tumbuk dengan batu lesung. Kata-kata pedas ayah terngiang-ngiang di gegendang telingaku.
"Ya, aku faham. Aku pun nak cari kerja juga ni. Alang-alang kerajaan dah bagi kelonggaran, kan? Alhamdullilah, kes covid pun dah semakin menurun. Cumanya kita kenalah jaga diri kita sendiri," ujar Nafla. Dia satu-satunya yang tahu bagaimana sikap ayah aku. Dari mula kenal lagi, dia beritahu yang dia dah boleh baca air muka ayah aku itu seorang yang panas baran.
Aku menganggukkan kepala. Tanda setuju dengan apa yang Nafla katakan itu. Wabak penyakit Covid-19 ini sudah menjadi penyakit endemik. Sama seperti wabak penyakit denggi. Kita kena bersedia untuk hidup bersama dengan penyakit-penyakit endemik ini. Usaha untuk mencegah diri dari terkena wabak penyakit itu. Kalau sudah terkena juga, itu semua aturan Allah. Dari Allah kita datang dan kepadaNya jua kita kembali. Allahualam....
"Kau nak cari kerja yang macam mana, Haura?"
"Aku tak kesah. Asalkan aku dapat kerja. Gaji dan kelebihan aku tak kesah. Apa yang ada dan sesuai untuk aku. Aku akan terima dengan hati terbuka."
Nafla tersenyum seraya menganggukkan kepalanya. "Kalau macam tu, aku nak kerja dengan kaulah sekali. Senang satu tempat kerja, tak adalah aku kekok sangat."
Aku tersenyum lebar. Ada juga kawan aku nanti. Tak adalah aku rasa janggal bila masuk kerja seorang diri. Aku ni nampak saja happy-go-lucky. Mudah terhibur dan boleh dikatakan banyak juga bercakap. Tapi, itu semua terjadi setelah aku rapat dengan seseorang. Kalau tak, aku akan menjadi seorang yang pendiam. Kalau tak ada kawan, aku akan jadi introvert. Tak pandai sangat nak bergaul-sapa dengan orang.
Aku ni bukannya tak nak bekerja. Siapa yang tak nak bekerja, kan? Pegang duit sendiri. Beli apa yang kita mahukan tanpa menggunakan duit sesiapa pun. Cumanya aku dah lelah nak hadap ragam manusia. Bukan senang nak bertemu dengan orang yang boleh menerima baik buruk kita. Sebenarnya mental yang lebih penat daripada fizikal sekiranya bekerja dengan orang yang belum tentu semuanya dapat menerima kehadiran kita.
Tak tahulah kenapa nasib aku begini. Sebolehnya aku tidak mahu menyoalkan takdir yang sudah tertulis. Namun aku hanya manusia biasa. Banyak memikir tentang nasib aku yang selalu ditindas. Dibuli dan dicaci oleh para pekerja di situ. Setiap hari, aku kena hadap situasi itu. Siapa yang boleh bertahan?
Itu sebab aku banyak kali berhenti kerja sampaikan satu masa, aku rasa malas sangat nak bekerja. Ayah pun dulu, sewaktu aku bekerja. Ada aje yang tak kena. Banyak yang dia persoalkan tentang pekerjaan aku. Bila aku tak bekerja pun kena soal, bila aku bekerja pun kena soal. Semuanya tak kena pada pandangan matanya. Aku sendiri pun naik buntu. Tak tahu dah nak buat apa. Semua orang sekeliling memberikan tekanan yang hebat dekat aku.
Ibu hanya menyuruh aku untuk terus bersabar. Allah berikan aku ujian-ujian itu kerana Dia tahu aku mampu menempuhinya. Dia takkan uji hambaNya melebihi kemampuan seseorang. Dan akan ada hikmah di sebalik semua kejadian yang berlaku.
Aku cuba dan terus cuba untuk bersabar seperti yang dipesan oleh ibu. Cumanya kadangkala aku tewas. Aku tak kuat. Bila aku menangis, mulalah orang label aku seorang yang lemah. Cengeng. Hati tisu. Cepat sangat tersentap. Habis tu, apa lagi yang aku mampu buat?
Kalau aku melawan sekalipun, aku jamin seratus peratus yang aku takkan pernah menang. Kalau aku bela diri sekalipun, takkan ada orang yang akan dengar. Mereka tetap akan terus-menerus mencari kesalahan aku. Yang tak wujud, diwujudkan. Kalau orang lain dekat tempat aku, apa yang mereka akan lakukan?
Aku toleh ke arah pintu masuk. Dan masa tu juga, aku terpandang seorang lelaki yang berdiri di kaunter pembayaran. Macam lelaki yang aku jumpa dekat terminal tu aje. Imbas penampilannya pula, memang sama dengan lelaki tadi tu. Mungkin dia kut. Tak sangka terserempak dengan dia lagi. Sushi King dengan terminal bas tu bukan jauh sangat pun. Dekat-dekat aje. Sebab tulah boleh terserempak. Kebetulan. Dia pun nak makan dekat sini ke?
Tak lama itu, ada seorang lagi lelaki mendekatinya sebelum mereka mengambil tempat duduk tidak jauh dariku. Aku masih lagi memerhatikan mereka. Terutama lelaki yang memakai baju kemeja berwarna hitam itu. Mesti kerja ofis ni. Tengok dari penampilan dah boleh cam. Biasanya kerja segak-segak ni, orang kerja bawah penyaman udara.
Anak mata lelaki itu terhenti ke arahku membuatkan bibirku spontan tersenyum. Aku dah turunkan mask ke bawah dagu. Mestilah dia nampak senyuman aku. Tapi sayangnya, dia tak balas pun senyuman aku. Sadis sungguh! Aku sorang aje yang beria-ria senyum dekat dia. Kenapa muka hang ketat sangat cik abang, oi? Bukan nak mengurat pun. Senyum aje. Haih....
Dah orang tak sudi nak senyum dengan aku. Aku pun buatlah kerja sendiri. Buat apa nak perhatikan lelaki tu lama-lama. Karang dicup menggatal pulak. Marah Abang Fakhri nanti.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kuntuman Mawar Milikku (TERBITAN FAJAR PAKEER 2023)
Romance✿ KUNTUMAN MAWAR MILIKKU ✿ Dia percaya kesetiaan membawa maksud ketulusan untuk menyimpan satu hati dan berjanji untuk tidak mengkhianati. "Abang sayangkan Haura. Abang tak tipu...." - ZAWWAR FAKHRI Ternyata kesetiaannya bagaikan bertepuk sebelah ta...