"NAK pergi mana?"
Kus semangat. Nasib baik aku tak melompat ataupun melatah. Tiba-tiba ada suara garau yang menyapa betul-betul belakang aku. Ini kalau ada penyakit lemah jantung, pasti sudah rebah di hadapan halaman rumah ini. Satu hal pula, ayah nak mengangkat anaknya yang boleh dikatakan sama berat dengan anak gajah. Macam menghina diri sendiri pula, kan?
"Nak ambil Cik Za dekat terminal. Lepas tu, ingatkan nak jalan-jalan sekejap." Sedaya-upaya aku mengukirkan senyuman buat si ayah. Tak mahu nanti dia naik angin secara tiba-tiba disebabkan wajahku yang mahu melayannya acuh tidak acuh saja.
"Jangan balik malam sangat. Ada duit ke?"
Soalan dia tu membuatkan aku serba sedikit tersentap. Nada dia bertanya tu seakan-akan mengejek aku. Yalah, aku dah dua tahun tak bekerja. Sumber pendapatan pun macam ada, tak ada saja. Itu pun Abang Fakhri yang baik sangat nak bagi aku duit belanja. Aku tak pernah minta pun dengan dia. Dia pun belum jadi suami aku lagi. Insya-Allah, bakal.
"Ada, ayah."
Ayah diam. Melihat dari wajahnya seakan-akan dia sedang memikirkan sesuatu. Janganlah dia nak marah aku tak tentu pasal. Karang tak pasal-pasal Cik Za kena bermalam dekat terminal tu. Haih....
"Dah alang-alang keluar tu. Pergilah cari kerja. Sampai bila tak nak bekerja? Nak duduk terperap dalam rumah macam tuan puteri ke? Jangan nak fikir yang ayah ni boleh suap kau duit setiap bulan, kau nak bermaharajalela dalam rumah nilah?"
Zup! Hati aku sepertinya kecut secara tiba-tiba sehingga membuatkan dada aku terasa sesak. Ayat-ayat yang keluar dari mulut ayah membuatkan aku tersentap. Sangat tersentap. Teruk sangat ke aku ni tak bekerja? Makan duit dia saja. Ya Allah... berdosakah aku?
"Baik, ayah. Haura akan cari sekali waktu keluar ni nanti. Ayah doakan yang Haura akan dapat kerja secepat yang mungkin."
Kedengaran ayah mendengus perlahan. Tangannya dibawa bersilang ke dada. Ya Allah... ayah salah pilih masa ni nak nasihat aku pun. Minta-mintalah Cik Za belum sampai lagi. Kasihan pula dia terpaksa menunggu anak saudara dia ni. Sudahlah kena sidai di bawah sinaran matahari yang menerik. Ditambah pula, terpaksa mendengar nasihat ayah yang mampu membuatkan hati aku ni terlepas dari tangkainya.
"Minta doa ayah buat apa? Tu minta ibu yang doakan. Doa ibu tu yang mujarab."
"Ya, ayah." Aku menundukkan pandanganku. Tak sanggup mahu bertentangan dengan mata helang ayah saat ini. Tajamnya ibarat mata pedang. Mampu menembusi sehingga ke jantung.
"Kau jangan nak memilih sangat kerja. Kau tu ada kelulusan sijil kemahiran. Takkanlah orang tak pandang kau. Mesti ada punya. Kau aje yang malas nak cari sebenarnya. Nak tak nak saja sebenarnya. Umur macam kau ni, sepatutnya tengah seronok rasa bekerja. Kalau dah tua macam aku ni, perasaan malas nak bekerja tu dah semakin menjalar. Kudrat pun dah tak berapa nak kuat. Kau muda lagi. Kudrat kau kuat. Kerjalah selagi mampu. Takkan nak harap aku saja, kan?"
Sungguh pedas kata-kata nasihat ayah. Aku sendiri pun tak tahu, itu nasihat ataupun perlian. Tapi, tak apalah. Berkat dari pesanan ibu. Aku sedaya-upaya untuk menerima dengan hati terbuka. Bersabar dan tabah menghadapi apa saja ujian yang Allah turunkan untukku. Salah aku juga kerana tidak bekerja. Menyusahkan ayah. Membebankan ayah. Ah, sama sajalah maksudnya itu. Aku memang membebankan pun sejak lahir lagi. Macam-macam masalah yang aku dah bawa masuk sehingga melibatkan ibu dan ayah.
"Baik, ayah. Maafkan Haura. Haura akan cari kerja...." Ayat itu sajalah yang aku mampu ungkapkan ketika ini. Apa lagi yang aku boleh katakan? Nak melawan? Jangan haraplah aku menang. Tambahan, dapat dosa percuma lagi. Baik aku mengalah. Ibu juga berpesan. Biarlah kita mengalah. Mengalah bukan bermaksud kita kalah. Tapi sebenarnya, tak mahu mengeruhkan lagi masalah yang ada.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kuntuman Mawar Milikku (TERBITAN FAJAR PAKEER 2023)
Romance✿ KUNTUMAN MAWAR MILIKKU ✿ Dia percaya kesetiaan membawa maksud ketulusan untuk menyimpan satu hati dan berjanji untuk tidak mengkhianati. "Abang sayangkan Haura. Abang tak tipu...." - ZAWWAR FAKHRI Ternyata kesetiaannya bagaikan bertepuk sebelah ta...