KMM 1

246 8 0
                                    

KOSONG.

Jiwaku kosong setiap kali duduk berseorangan di kerusi meja makan ini. Makanan yang terhidang di hadapan mata, hanya dimakan tanpa perasaan. Dikunyah dan ditelan tanpa menikmatinya. Entah apa yang bermain di fikiranku ketika ini sehingga membuatkan kepalaku terasa berat sangat. Ubat sudah aku telan. Minyak angin aromaterapi sudah aku sapu berkali-kali sehingga isinya sudah tinggal separuh botol.

"Takkanlah dah habis? Aku suruh kau jimat, kan? Kau beli apa, hah?"

Suara lantang itu membuatkan suapan terakhir aku menjadi semakin perlahan. Mata dipejam rapat. Menarik dan menghembus nafas dengan penuh rasa resah-gelisah. Ketika mendengar lengkingan itu membuatkan darahku berderau hebat. Aku benci. Cukup benci setiap kali suara lantang itu menggemakan suasana rumah.

"Hari ni, dah satu hari bulan abang. Selalunya abang dah bagi duit. Barang semuanya bukan semakin murah, semuanya semakin mahal. Abang juga nak makan sedap-sedap." Kedengaran suara ibu cuba membela dirinya. Tapi, aku tahu sangat pembelaannya takkan didengar oleh ayah. Sedikit pun ayah takkan pandang. Begitulah setiap kali mereka bertelingkah. Pastinya soal kewangan.

"Kau tahu tak, yang aku ni malas nak ambil duit dekat bank tu. Dengan ramai orang macam tu. Kau tahukan kes covid ni takkan pernah turun!"

Aku mencebikkan bibirku. Itulah alasan yang direkacipta oleh ayah sejak wabak penyakit Covid-19 hadir ke negara Malaysia. Ayat itu sajalah yang dia duk ulang berkali-kali sehinggakan aku sendiri naik jemu mendengarnya. Malas nak ambil duit dekat bank disebabkan covid. Ya Allah....

"Aku nak rehat pun tak tenanglah. Ada aje yang menaikkan darah aku!"

Ayah terus-menerus menghentak ibu dengan kata-kata makiannya. Sedikit pun, perasaan dan hati ibu tidak diambil peduli. Entahlah... aku pun tak tahu macam mana ibu boleh bersabar dengan ayah sehingga aku meningkat dewasa kini. Sikap baran ayah bukannya semalam baru tercetus, malah sejak aku masih bayi lagi.

Bila aku tanya ibu, apa yang membuatkan ibu terus bersabar? Jawapan ibu sangat meruntunkan hatiku. Aku sendiri pun tak mampu nak menjadi seorang yang penyabar seperti ibu. Dirinya dibuat seperti orang gaji. Disuruh itu dan ini. Dimarah dan dicaci sesuka hati.

Eh, aku rasa kalau robot pun boleh rosak sistem dia hari-hari kena sergah aje. Aku sendiri yang menjadi saksi pertelingkahan mereka sejak kecil lagi. Lama-lama aku rasa, boleh jadi gila duduk dalam rumah ni.

"Haura... dah habis makan, sayang?"

Lamunan pendek aku terputus dek terasa tangan ibu menyentuh bahuku. Aku sendiri pun tak perasan bila ibu muncul dekat dapur ni.

"Sudah, ibu. Ibu okey ke? Ayah mana?" Anak mataku meliar melihat suasana ruang tamu yang kembali sunyi.

"Okey, sayang. Dia keluar, nak ambil duit. Haura, jangan lupa hari ni Cik Za nak datang rumah. Ambil dia dekat Terminal Bas Seksyen 17, ya."

Aku tersengih. Kepala dibawa angguk sekali. Mujur ibu ingatkan aku tentang kedatangan Cik Za ke rumah. Cik Za ni mak cik kesayangan aku dan juga merupakan adik bongsu ibu. Aku hanya muda tiga tahun saja daripada dia. Dah macam kakak dan adik, setiap kali kami keluar bersama.

"Allah, nasib baik ibu ingatkan. Terima kasih, ibu. Cik Za ada chat Haura tadi. Dia kata dalam pukul 5:00 petang dia sampai dekat terminal tu. Tak sabarnya nak jumpa Cik Za!" Segera aku bangkit dari duduk lalu memeluk tubuh ibu buat seketika. Pinggan yang aku guna tadi dibawa ke singki. Dicuci sehingga bersih sebelum dilap menggunakan kain yang terletak di rak pinggan-mangkuk.

"Hati-hati memandu tu. Ni, Haura ada duit tak?"

Itulah sikap ibu. Dia sendiri pun sudah kehabisan duit. Tapi masih lagi boleh memikirkan tentang aku. Aku sendiri malu dengan ibu. Sudahlah tidak bekerja sejak dua tahun yang lepas. Duduk di rumah hanya membantu apa yang mana aku mampu. Aku bukan berhenti kerja tetapi aku diberhentikan dek keadaan syarikat yang semakin merundum angkara Covid-19. Nak tak nak, kenalah terima dengan hati terbuka.

Bukan aku tak nak memohon pekerjaan lain. Sudah berpuluh-puluh permohonan yang aku buat, tapi tiada satu pun yang diterima. Lagi-lagi kes Covid-19 ketika itu sedang mendadak secara drastik. Ramai yang kena buang kerja. Hilang punca pendapatan. Sama seperti aku.

"Insya-Allah, ada ibu. Duit yang Abang Fakhri bagi tu, Haura simpan. Guna bila perlu saja."

Ibu menganggukkan kepalanya. Bahuku diusapnya lembut bersama dengan senyuman manis yang diukirkan pada dua ulas bibirnya.

"Ibu sayang Haura. Ibu harap Haura boleh terus bersabar bersama dengan ibu ya, sayang. Ibu tahu yang Haura tertekan. Tengok cara Haura makan pun, ibu risau sebenarnya. Kawal emosi tu, sayang. Ibu tak nak anak ibu sakit disebabkan ibu dan ayah."

Aku mengigit bibir. Ibu suka tau buat aku sebak macam ni. Aku akui yang sejak dua tahun lepas, aku terlalu banyak makan. Kalau diikutkan sebenarnya, setiap masa aku nak makan. Aku bukan buat-buat rasa lapar tu. Tapi rasa lapar itu datang dengan sendiri. Walhal, aku baru aje makan beberapa jam yang lalu. Selera makan aku semakin lama semakin naik. Mungkin aku terlalu ikutkan emosi. Tekanan yang aku lalui.

"Ya, ibu. Haura minta maaf kalau buat ibu risau. Entahlah Haura asyik rasa lapar aje. Dah makan pun. Tak sampai beberapa jam, lapar lagi. Haura tak tahulah kenapa diri Haura ni."

Ibu menarik tubuhku masuk ke dalam dakapannya. Erat. Sepertinya dia tahu apa yang aku rasai ketika ini. Aku tak boleh nak sembunyikan perasaan sedihku. Ibu pasti dapat mengesannya. Walaupun, aku jarang meluah kepadanya.

"Tak apa, sayang. Ibu faham. Ibu tak larang pun Haura nak makan. Tapi kena kawal, sayang. Nanti memudaratkan kesihatan Haura. Haura sendiri yang tanggung sakit."

Aku hanya menganggukkan kepala. Jam yang tergantung pada dinding, aku pandang sekilas. Lagi sejam saja Cik Za akan sampai di terminal. Aku kena gerak sekaranglah nampak gayanya. Belum tahu keadaan jalan raya tu macam mana. Entah sesak ke apa. Satu hal pula nanti aku tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Tak payah nak susahkan diri. Pakai kardigan dengan tudung sarung saja. Lebih mudah dan pantas.

"Ibu, Haura gerak dulu. Nanti Cik Za tertunggu-tunggu Haura dekat terminal pula. Mana tahu bas tu sampai awal dari waktunya, kan?" Aku mengukirkan senyuman yang paling manis buat ibu. Tubuhnya aku peluk sekejap sebelum melangkah ke arah kabinet yang terletak di sudut ruang tamu.

"Hati-hati, Haura. Pelitup muka jangan lupa pakai. Hand sanitizer sekali. Jaga diri ya, sayang."

Aku angguk sekali. Pelitup muka jenis kain itu aku pakai pada wajah. Botol gel pembersih tangan yang terletak di atas kabinet itu, aku picit sekali di atas telapak tangan. Disapu pada kedua-dua belah tangan. Sudah memastikan, dua perkara penting itu sudah dibuat. Barulah aku mencapai kunci kereta yang tergantung pada rak cangkuk.

"Assalamualaikum, ibu." Aku melambaikan tangan ke arah ibu yang sudah mahu melangkah ke dapur.

"Waalaikumussalam, sayang." Ibu membalas lambaianku dengan senyuman sebelum dia menyambung langkahnya ke dapur.

Fuh... boleh tahan terik juga cahaya mentari pada petang ini. Sampai silau penglihatan aku dibuatnya. Segera aku menapak ke arah Myvi kesayangan aku. Myvi ni baru aje ayah belikan untuk aku, tahun lepas. Itu pun kena hadap fiil dia dulu, baru aku dapat merasa nak memandu kereta Myvi keluaran terbaru ni. Selain keyless, Myvi terbaru ni juga ada built in Touch N Go reader. Tak perlu nak bersusah-payah turunkan tingkap dan imbas kad tersebut.

Zaman semakin canggih, macam-macam yang wujud!

Kuntuman Mawar Milikku (TERBITAN FAJAR PAKEER 2023)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang