"Sakit yang menyembuhkan."
AMOUR menundukkan kepalanya daripada tadi apabila sebatang tubuh tua yang berada di hadapannya kini hanya berdiri kaku memandangnya tanpa lepas. Dia memejam erat matanya.
Sepatutnya dia lebih sedar diri, dia tak seharusnya munculkan diri di hadapan wanita ini. Sepatutnya, dia lebih tahu kedudukannya di mata mereka semua. Setelah mencalit arang di muka mereka semua, takkan senang-senang dia menerima kemaafan daripada mereka semua.
Amour hela nafas berat. Matanya dibuka apabila langsung tiada suara yang kedengaran. Dia sedar diri. Dia sudah tak layak berada di sini.
"Ma—maaf. Saya pergi dulu." Amour dah mula nak buka langkah. Hatinya sebu. Mengingatkan kembali memori lima tahun lalu membuatkan dirinya tak mampu memaafkan diri sendiri. Apatah lagi mereka semua.
"Mommy..." Lutfan yang berada dalam dukungan Amour mengusap lembut pipi mommynya. Walaupun bingung dengan apa yang berlaku di depan matanya, anak kecil itu lebih senang mahu memujuk mommynya. Mata mommynya berkaca, tapi lidah Lutfan kelu untuk bertanya.
"Berhenti." Kali ini, barulah suara wanita tua itu menyapa gegendang telinga Amour. Langkah kaki Amour kaku di lantai.
Amour menunduk. Dia dah bersedia menadah telinga mendengar maki hamun wanita itu. Dia dah bersedia untuk dipukul sebab memalukan keluarga. Dia dah sedia untuk dice—
Sekelip mata, Amour rasa tubuhnya didakap lembut oleh tubuh tua tadi. Matanya mula berkaca, menunggu mutiara jernih menimpa pipi dan seluruh wajahnya.
"Mak long..." Tak dapat ditahan, air mata Amour mengalir membasahi pipi. Tangan kiri mendukung Lutfan, manakala tangan kirinya naik membalas pelukan wanita yang digelar mak long itu.
Terkebil-kebil Lutfan. Tapi dia hanya mendiamkan diri, tidak mahu mengganggu mommynya.
Usai meleraikan pelukan, mata mak long terarah pada kanak-kanak kecil dalam dukungan Amour. Tak semena, matanya berkaca.
"Anak kamu?"
Amour kemam bibir menahan tangis. Perlahan-lahan kepalanya dianggukkan. Dia takut...dia takut anaknya ini tak diterima oleh mak long.
"Cucu neklong..." Tubuh montel Lutfan bertukar tangan. Mak long memeluk tubuh Lutfan lama. Bibirnya tidak henti-henti mengucup ubun-ubun anak itu. Tak semena, bibir Lutfan mengukir senyum. Tangan montelnya turut memeluk mak long dengan bibir mengucap sesuatu.
"Neklong?"
Serta-merta, bibir mak long mengukir senyum. Lebar.
"Ini neklong, sayang..."
Amour rasa hatinya bertambah sebu. Hati bergetar kecil melihat anaknya itu diterima mak long. Mak long tak marahkan dia kah? Mak long tak benci dia kah?
"Amour..." Pandangan mak long terarah pada Amour. Hati tuanya berasa gembira dengan kehadiran wanita itu.
"Ini Amour mak long, kan?" Soal mak long tidak percaya. Wanita di hadapannya ini sudah banyak berubah. Wajah cantik itu semakin manis apabila mengenakan sehelai tudung menutupi rambut yang selama ini terurai bebas.
Lima tahun berlalu. Sudah sebegini dapat merubah Amour. Hatinya dirundung perasaan sebak.
Amour menganggukkan kepalanya. Sedari tadi, lidahnya terasa kelu untuk berbicara. Seolah-olah bibirnya digam. Apabila dia mahu mengeluarkan suara, pasti bibirnya akan bergetar. Dia takut dengan masa lalunya.
Pulang semula ke sini, seolah-olah membuka semula ruang kesakitan yang dia hadapi.
"Mak long rindu kamu, nak. Mana kamu pergi selama ni? Kenapa tak balik?"
Esakan terlepas dari bibir Amour. Sebak suara mak long membuatkan hatinya bergetar kecil.
"A—Amour takut mak long benci Amour." Itu sahaja yang keluar dari bibir merah pucat itu.
"Allahu." Mak long menggelengkan kepalanya berkali-kali. "Mak long tak pernah benci kamu. Mak long cari kamu lepas kamu tinggalkan kami semua." Jujur. Wanita tua itu tak menipu.
Amour kepal erat jemarinya.
"Mungkin kekecewaan yang Amour tinggalkan buatkan mak long dan semua buatkan Amour ingat semua bencikan Amour." Wanita itu menunduk. Lima saat kemudian, Amour rasakan jemari kecil sedang mengusap pipinya.
"Don't cry, mommy." Lutfan usap air mata yang membasahi pipi Amour. "You hurt me." Anak kecil itu mengerutkan dahinya. Muka garang ditayang. Tanda tidak senang melihat orang yang dia sayang menangis.
"Neklong too. Don't cry." Lutfan tayang muka garang pada mak long pula.
"Mommy dengan neklong cry sebab kami happy, sayang." Amour lap air mata dia sampai kering. Dia ketawa kecil melihat tingkah Lutfan.
Bibir kecil itu senyum lebar.
"Comelnya cucu neklong ni, nama apa?"
"Nama kita, Ifan." Petah Lutfan menjawab.
"Muhammad Lutfan, mak long." Amour memberitahu nama penuh.
Mak long tersenyum seraya mengangguk. Cukuplah dengan kehadiran mereka berdua ini, dirinya sudah diulit bahagia.
Dia tahu, Amour masih terluka dengan peristiwa lalu. Tapi dia yakin, anak saudaranya itu kuat.
"Mak long, tadi Amour pergi rumah mama, mereka tak ada dekat rumah ke?" Pertanyaan Amour menghentikan lamunan mak long. Tubuhnya mengeras. Lama dia membiarkan soalan Amour berlalu.
Usai itu, dia hanya tersenyum.
"Mereka tak ada." Mak long tepuk bahu Amour lembut. "Masuklah, Amour." Jemput mak long. Tubuhnya dibawa ke tepi pintu, membenarkan Amour masuk.
Amour gariskan satu senyuman di bibir.
Mungkin mama dan abah dia tak ada dekat rumah. Lain kali sajalah dia berjumpa orang tuanya itu.
Tetapi...
mama dan abah,
boleh ke terima dia semula dalam hidup mereka?Senyuman di bibir Amour sirna.
Aiden Amour
280323Selamat berpuasa :)

YOU ARE READING
Aiden Amour
RomanceBismillah. Semoga apa semua yang berlaku kini dan akan datang membuatkan kau mengerti erti hidup sekadar perjalanan di sini atau juga di Sana.