"Sakit yang menyembuhkan."
KANAK-KANAK kecil yang terlena di tempat duduk penumpang sebelahnya dipandang lama. Tidak lama kemudian, bibirnya mengukir senyum manis.
Anak matanya jatuh pula pada rumah banglo setingkat di hadapannya kini. Jemarinya yang menggigil itu digenggam erat. Dingin mencengkam tubuh, masih teragak-agak dengan keputusannya.
Apa yang dia buat ini, betulkah?
Lima minit berperang dengan perasaan sendiri, akhirnya dia menghela nafas berat. Dia sudah sampai di sini, takkan dia mahu melepaskan peluangnya pula?
Enjin kereta tidak dimatikan. Suhu pendingin hawa dinaikkan sementelah dia melihat kanak-kanak lelaki kecil itu memeluk tubuh kesejukan. Hoodie miliknya yang berada pada tempat duduk belakang, dia capai sebelum diselimutkan pada tubuh kecil itu.
Baru sahaja dia mahu membuka pintu kereta, jemarinya digenggam erat oleh tangan kecil itu.
"Mommy nak pegi ane?" Soal budak lelaki itu sambil jemarinya yang sebelah lagi menggosok matanya.
Amour tersenyum sedikit.
"Mommy nak keluar kejap. Ifan nak ikut mommy?" Amour ambil tisu basah yang berada atas dashboard kereta lalu dia lap muka Lutfan yang masih mamai.
"Nak itut." Lutfan mendepakan kedua-dua belah tangannya meminta didukung.
"Sekejap, mommy keluar dulu. Nanti mommy dukung Ifan."
Amour mematikan enjin keretanya. Pintu kereta dibuka. Cermin mata yang terlorot di hidung sesekali dia betulkan. Awning tudung bawal dia betulkan supaya terletak elok. Baju kurung moden yang membaluti tubuh kecilnya itu ditepuk-tepuk menghilangkan kedutan dek terlalu lama duduk di dalam kereta.
Setelah itu, dia melangkah ke tempat duduk penumpang. Wajah blur Lutfan itu membuatkan Amour tersenyum lagi.
"Kita kat ane ni?"
"Kita kat rumah nek long." Amour menjawab tenang.
"Nek long tu shiape mommy?"
Amour menundukkan sedikit tubuhnya untuk mendukung Lutfan.
"Nek long tu keluarga kita, sayang." Ubun-ubun Lutfan, Amour kucup lembut.
"Keluarga tu, oyang yang kita shayang kan mommy?" Mulut kecil itu tak berhenti menyoal.
"Iya. Macam mana Ifan sayang mommy, macam tu jugalah Ifan kena sayang nek long." Amour balas mesra.
"Tapi Ifan shayang mommy paling banyak."
Amour ketawa mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Lutfan. Anak inilah kebahagiaannya. Kata-kata yang terbit dari Lutfan, tak sah kalau tak buatkan hatinya cair macam aiskrim magnum.
Langkahnya diatur menuju ke pintu utama rumah itu. Meskipun rasa gementar dan takut bercampur-baur, tetapi dia tetap kuatkan hati untuk menghadapi semuanya. Sampai bila lagi dia mahu melarikan diri?
"Mommy okey?" Terkedip-kedip mata Lutfan memandang wajah Amour saat itu.
"Mommy okey." Amour menipu. Tidak mahu hati kecil itu risau.
"Tak ape mommy. Ifan ade ngan mommy." Lutfan menjarakkan sedikit tubuhnya dengan Amour. Leher mommynya dipeluk dengan tangan montelnya. Bibir kecilnya pula mencium lembut dahi Amour sebelum kepalanya direhatkan pada bahu wanita itu.
Amour tersenyum sebak.
"Terima kasih, sayang."
Terima kasih sebab selalu ada dengan mommy. Sejak dulu lagi.
Aiden Amour,
281222

YOU ARE READING
Aiden Amour
RomanceBismillah. Semoga apa semua yang berlaku kini dan akan datang membuatkan kau mengerti erti hidup sekadar perjalanan di sini atau juga di Sana.