Oleh: Kelly Telly
Han Ji-pyeong masih kekal dalam pelukan Won-deok, nenek yang sangat disayanginya. Mereka berdua terus berdiam dalam sedu-sedan sendiri.
Entah bagaimana dalam sedu-sedan itu, tiba-tiba Yong-sil bersuara. Entah apa yang Yong-sil dengar sehingga ia bersuara,
"Kerana takutkan kegagalan, anda ragu-ragu untuk melangkah ke hadapan.
Tetapi jika sentiasa dalam keraguan, anda akan kalah."
Ji-pyeong meleraikan pelukan. Dia menghela nafas berat. Dia menyangka kemas kini terbaharu Yong-sil akan membaiki responnya yang rawak lagi tak kena tempat itu. Dia baru sahaja mahu kembali suka menggunakan Yong-sil.
"Eh, kenapa dengan Yong-sil tu? Kita tak ada tanya dia apa-apa pun?" tanya Won-deok.
"Entah, dia memang macam tu. Yong-sil, diamlah!"
Kata-kata Ji-pyeong tidak didengarinya.
"Jadi melangkahlah dengan berani.
Boleh jadi anda gagal, boleh jadi anda berjaya."
Sudanya, Ji-pyeong hanya memandang kosong kepada Yong-sil. Bengang, geram, tapi sudah malas mahu membuang air liur.
Secara automatik juga, matanya tertancap pada pokok duit yang berada di belakang Yong-sil, di atas meja kayu kecil di sebelah tingkap. Pokok itu masih menjadi miliknya dan masih dia yang menjaganya. Betul-betul di sebelah pokok itu, kotak yang mengandungi surat-surat Dal-mi.
Tiga tahun sudah berlalu, dan surat-surat itu masih berada di situ. Sengaja dia letakkan di situ, senang untuk dia capai surat-surat tersebut apabila dia mahu membacanya. Bukannya apa, ada masa hatinya masih sakit mengenangkan apa yang telah berlaku, maka surat-surat itu dibaca untuk merawat luka.
Baginya, begitu sudah cukup. Itu yang pernah dia katakan pada diri sendiri, apabila melihat kedua-dua objek itu.
Cukuplah Dal-mi dalam ingatan dan hatinya begitu.
Atau sebenarnya tidak cukup? Hanya dia yang sibuk menyedapkan hati sendiri.
Di sebelah kotak surat itu, ada beberapa kertas kajang yang dia beli secara impulsif. Dia pernah berniat untuk menulis surat, kerana dia sendiri sedar mulutnya liat untuk membicarakan cerita hatinya. Niatnya hanya satu. Mungkin kali ini, apabila dia menulis daripada hati, sebagai Han Ji-pyeong dan bukannya Nam Do-san, akan berhasil menyentuh hati Dal-mi?
Namun niatnya itu hanya tinggal niat. Tidak pernah dilakukan. Kertas-kertas tersebut hanya mengumpul habuk sejak tiga tahun lalu, menunggu catatan.
"Sudah tiba masa untuk anda melangkah. Kejayaan akan datang kepada anda," Yong-sil bersuara lagi.
Ji-pyeong tidak tahu dan tidak faham apa yang Yong-sil dengar hingga membuatkan ia memberi respon begitu. Tetapi dahulu apabila dia bertanyakan Yong-sil tentang cuaca, Yong-sil menjawab dengan mengulang tilikan nasib juga.
"Pada hari ini, anda akan berjumpa seseorang yang pernah anda temui pada masa lalu, di luar jangkaan anda."
Hari itu, dia bertemu dengan Dal-mi buat pertama kalinya selepas 15 tahun.
Ji-pyeong memandang Won-deok. Mata wanita itu, walaupun tidak mampu melihat lagi, kekal redup seolah-olah memandangnya kembali juga.
"Nenek, saya nak minta tolong, boleh?"
***
Dal-mi tersenyum menjinjing beg kotak kopi keluar daripada kafeteria Sand Box. Tanda penghargaan dan sambutan atas kejayaan pasukannya mengendalikan wartawan yang asalnya dihantar untuk menjatuhkan mereka sebentar tadi.
ANDA SEDANG MEMBACA
Akhir Yang Kita Pilih
Fanfiction13 Pengakhiran Berbeza 13 Kisah Derita-Bahagia 13 Alternative Ending Karya ini menampilkan kisah penamat alternatif oleh 12 orang penulis bagi Krafesque Wattpad Challenge: K-Drama Alternative Ending.
