BAB 2

167 9 0
                                        

#unedited




"DAH tiga hari."

Bahu Daneen yang sedang mengira stok bahan mentah di stor sedikit terangkat apabila tanpa sebarang salam, ada suara yang berbunyi. Kepala laju terteleng ke tepi dengan mata yang dikecilkan.

"Terkejut saya, Mak Nah," gerutu Daneen dengan bibir yang dicebikkan ke hadapan sedikit. Kembali berpusing menghadap inventori semula. Belakang kepala yang terasa gatal dia garu sambil tangan sibuk mengasingkan satu demi satu barangan yang dipegang. "Apa yang tiga hari, Mak Nah?"

Orang tua itu mengeluh. Bernada khuatir. "Budak tu lah, dah tiga hari tak beli makanan."

Kening Daneen cunggit. Mak Nah dikerlingnya sekilas. Budak mana pula Mak Nah cakap ni?

"Yang selalu beli makanan tu. Kau yang pergi hantar dekat dia setiap hari kan?" Melihat riak wajah Daneen yang penuh persoalan, Mak Nah menjelaskan. Bahu Daneen ditepuk-tepuknya perlahan.

"Ramai yang saya hantar, Mak Nah. Bukan seorang dua." Daneen menjawab selamba. Langsung tidak pedulikan rasa risau Mak Nah. Kalau orang dewasa, pandai-pandailah dia hidup. Daneen tak kuasa nak ambil tahu.

"Yang selalu beli lauk sama tu. Duduk dekat taman rumah dua tingkat depan tu ha." Bibir Mak Nah terjuih ke hadapan, ke arah letak taman yang dikatakan.

Daneen angkat kepala, memandang ke arah kawasan yang ditunjukkan Mak Nah seolah-olah mampu dicapai retina. Padahal, berkilo meter juga dia perlu lalui untuk sampai ke taman itu.

Sambil tangan tak henti melakukan kerja, kepala ligat berputar memikirkan gerangan pelanggan yang manakah yang tinggal di kawasan yang dikatakan Mak Nah itu. Berkerut-kerut dahinya cuba mengingat senarai pelanggan yang seringkali dia temui setiap kali menghantar pesanan. Sehinggalah saat satu rumah yang kosong dan suram menghunjam ingatan.

Bila difikirkan semula, benar kata-kata Mak Nah itu. Sudah tiga hari mereka tidak menerima pesanan daripada penghuni rumah itu. Sedangkan, hampir setiap hari dia perlu pergi ke situ untuk menghantar pesanan. Paling tidak pun, selang dua hari.

Namun, tiga hari? Tak pernah!

"Mungkin dia orang pesan dekat tempat lain kot, Mak Nah," ujar Daneen lalu bangkit dari duduknya. Tangan bertepuk sesama sendiri menghilangkan kotoran yang melekat sebelum dia membilas seluar di bahagian punggung pula. Duduknya tadi di atas lantai, tidak berlapik.

"Hesy... Mak Nah risau!"

Daneen menjulingkan anak mata. Dah kenapa orang tua ini nak risau semacam. Bukan anak dia pun.

"Tiga hari tak makan tak mati pun."

Pap!

Menyeringai Daneen dibuatnya. Smash kencang Mak Nah yang mengena tepat di bahu kirinya bukan biasa-biasa sakitnya. Boleh lebam dua hari.

"Kalau apa-apa jadi, macam mana?"

Daneen mendengus. Sekali lagi anak matanya digolekkan ke atas. Tak habis lagi Mak Nah ini!

"Macam tu lah." Terus Daneen keluar daripada stor barangan itu. Tidak mahu tangan sebelah lagi pula lumpuh dipukul Mak Nah mendengar jawapannya yang langsung tidak membantu itu.






RASA musykil Daneen dan juga kata-kata Mak Nah pagi tadi membawa dia kepada rumah yang suram itu kembali. Entah kenapa, hati kuat menyuruh dia untuk pergi ke rumah itu walaupun asalnya, dia tidak mahu ambil peduli. Dan tanpa dia sedar, motosikalnya berhenti di situ, tidak mengikut jalan pulang ke rumahnya.

Semula Tentang Kita [TERBIT]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang