Tombol lif ditekan, kepala tunduk meneroka beg tangan. Beg dia boleh kalahkan poket Doraemon. Selagi boleh masuk, sekali dengan peti sejuk dia masukkan agaknya. Tangan kiri memegang beg tangan dan tangan menyelup masuk meraba-raba mencari gincu. Setelah jarinya menyentuh batang gincu yang dicari, Nadiah tersenyum lantas mengeluarkannya dari beg tangan.
Penutup gincu dibuka.
Ting!
Bunyi lif buat dia angkat wajah. Hampir gincu menyentuh bibir, pintu lif terbuka dengan susuk seorang lelaki kemas bersut hitam di dalamnya. Nadiah senyum tipis dan mengatur langkah masuk ke dalam lif.
Dia kembali menyambung mencalit gincu di bibirnya. Tidak mempedulikan susuk lain dalam lif itu. Apa nak pelik? Normallah, perempuan memang tak boleh berpisah dengan gincu. Mujurlah lif pejabatnya mewah, ada cermin yang boleh dia tilik muka dan tubuh tiap kali naik dan turun dari pejabat.
"Which floor, miss?" Teguran lelaki itu buat Nadiah sedikit tersentak. Baru dia perasan dalam ralit mencalit lipstik sampai lupa mahu menekan lif.
"Oh, sorry. G floor." Mata Nadiah menangkap tombol G sudah ditekan lelaki itu. Mereka mungkin sama-sama mahu turun makan tengah hari.
Faisel memeluk tubuh menjeling perempuan yang berada sama di dalam lifnya. Gincu yang sedia ada tak luntur lagi, dia calit lagi gincu baru. Haih, perempuan.
Ting!
Bunyi lif buat Nadiah cepat-cepat ingin memasukkan lipstik ke dalam beg tangannya. Pintu lif terbuka dan mata terus melilau memandang sekeliling.
"Thank you." Sempat dia tunduk sedikit kepala menghulur senyum pada lelaki bersama di dalam lifnya tadi. Entah terima kasih untuk apa. Pandangan Faisel kosong memandang belakang tubuh perempuan bernama Nadiah itu terus berjalan meninggalkan lif.
Dari pandangannya, dia pasti perempuan itu tidak tahu siapa dia dalam syarikat itu. Tak pelik, dia pun jarang sekali ada di Malaysia. Itupun pekerja tertentu sahaja yang dapat bertemu dengan dia secara bersemuka.
Baru dia ingin melangkah keluar dari perut lif, kaki mengenakan kasut oxford terpijak sesuatu. Dengan sebelah tangan menekan tombol menahan pintu lif dari tertutup, dia tunduk mencapai sesuatu di lantai lif dengan kerutan wajah.
Gincu perempuan tadi.
Baru sahaja dia menegak, susuk perempuan bernama Nadiah itu sudah hilang. Faisel mengeluh sebelum dia masukkan gincu perempuan itu ke dalam poket seluar. Langkah kembali diatur keluar dari lif dan menuju ke arah sebuah kereta yang sudah luas terbuka pintunya dengan dua orang pengawal berdiri di sisi kereta.
"Hello, mama?" Masuk perut kereta, Faisel terus tekap telefon ke telinga.
"Faisel kat mana? Lunch balik rumah tak?"
"Mestilah balik. Mama dah masak ke? Nak suruh Faisel belikan apa-apa tak?" Lembut Faisel menyoal kembali ibunya.
"Tak payah beli apa-apa. Kita berdua je. Nanti membazir. Bukan ada Aysar yang kuat makan..." kata-kata Datin Noor terhenti. Sedar dia terlepas sesuatu yang menyakitkan.
Faisel mengeluh.
"Nanti Faisel sampai rumah. Mama tunggu." Faisel matikan talian sebelum tangannya naik mengurut pelipis.
Ini yang dia takutkan.
Sudah 3 tahun Aysar dan ayahnya meninggal, tapi cara Puan Noor bercakap seperti baru minggu lepas dia bertemu arwah.
______
Mengendur raut wajah Nadiah apabila dia menangkap susuk Farah dan Affan berborak dari jauh. Masing-masing sedang menjamu nasi yang sudah separuh di dalam pinggan. Borak dan tawa bersatu seperti hanya mereka berdua di dalam ruang restoran itu.
YOU ARE READING
NAD
RomanceNadiah | Faisel Saat Nadiah dikhianati kekasih dan teman baiknya sendiri, ada lelaki yang menemaninya. Nadiah tidak tahu lelaki itu siapa dan bagaimana selalu ada kebetulan di antara mereka. Dia yang memujuk. Dia juga yang membantu. Kebetulan demi...