MASA inilah paling seronok balik ke asrama. Mesti banyak cerita dari mereka. Begitulah apabila budak asrama sudah balik ke asrama. Bercerita saja tidak berhenti. Kadang-kadang, sampai warden naik asrama baru dia orang nak tidur.
"Dah, sampai."
Aku mengintai sedikit melihat asrama aku yang penghuninya baru beberapa ketul manusia. Jam G-SHOCK terlilit di pergelangan tangan dikerling. Oh, patutlah tak ramai lagi. Baru pukul 1:30 petang. Haih... awalnya aku balik. Itu pun sebab aku tidak mahu mengganggu jadual harian abah. Waktu ini, abah perlu bersiap pergi ke pasar malam untuk mencari sesuap nasi.
Tanpa membuang masa, aku keluar dari perut kereta dan aku menghalang abah yang sudah membawa barang aku di anjung asrama. Wajah letihnya jelas kelihatan. Tidak sampai hati aku melihat dia mengangkat barang aku yang berat. Memang selalunya barang aku menjadi banyak apabila aku balik ke sini semula.
Apabila sudah siap membawa barang aku keluar kereta, abah menghulurkan aku beberapa helai duit kertas dan syiling. Wajah aku yang ceria sedikit menjadi kendur apabila melihat abah meletakkan duit syiling dalam genggaman aku.
Dia masih nak cukupkan 20 ringgit sedangkan dia tiada duit ringgit. Ya Allah... tahan saja air mata ini. Jangan buat abah susah hati.
"Belajar elok-elok. Minggu depan abah datang bawa biskut, ya?"
Aku hanya senyum. Sedang berperang dengan perasaan sendiri. Sungguh aku tidak mahu dia nampak aku menangis. Aku takut dia berat hati meninggalkan aku di sini dengan duit syiling. Aku nak dia bahagia.
"Baik abah. Jaga diri."
Dia menghulurkan tangannya laju aku mengucup lama. Sungguh aku akan rindu bau yang ada pada tangan abah ini. Tangan ini yang sudah membelai aku dari kecil hingga sekarang. Tangan ini juga mencari rezeki untuk aku sekeluarga dan membayar segala tunggakan yuran.
Aku peluk tubuhnya pula. Tubuh gempal ini yang banyak berjasa pada orang. Tubuh gempal ini yang sentiasa kuat demi kami sekeluarga.
Pelukan dileraikan.
"Abah balik dulu, ya."
"Okey."
Abah kelihatan tergesa-gesa ingin keluar dari sini. Ya, dia nak cepat untuk menyiapkan barang perniagaannya. Aku menepuk poket jubah warna ungu yang tersarung elok di tubuh. Bunyi lagaan logam di dalam poket itu menghadirkan satu rasa yang membuatkan aku lemah.
Ya, aku memang cepat tersentuh jika sesuatu perkara itu melibatkan Ummi dan abah. Sangat sensitif.
Barang aku yang berlonggok di anjung asrama itu dibelek. Semua cukup nampaknya. Terus aku bawa semuanya naik ke asrama. Lengang... macam tiada tanda mahu balik penghuni asrama ni nampaknya.
"Hai, Kak Hawa."
Aku menoleh ke arah gadis yang menyapa aku tadi. Budak junior. Sesungguhnya, aku memang kurang berinteraksi dengan budak junior sampai dia orang kutuk aku kat belakang. Itu pun kawan aku yang bagitahu, ada yang kata aku garang. Kisah apa aku?
Aku menjuih. Dari layan budak-budak, lebih baik aku kemas barang aku. Lokar panjang aku buka. Baju yang aku bawa dari rumah aku susun cantik-cantik di dalamnya. Aku suka kemas lokar. Paling pantang kalau nampak benda yang tak kena.
Apabila aku sudah puas hati dengan susunan barang, aku mengambil tudung lalu aku sarungkan. Semakin lama, semakin ramai orang pulang ke asrama. Sesekali aku menjenguk juga di tingkap memerhati setiap manusia yang baru saja datang. Jangan kata aku seorang form 5 kat asrama ni.
Di koridor aku menongkat dagu. Memerhati setiap kereta dan kenderaan yang lalu lalang di depan asrama. Sepatutnya, boleh balik waktu maghrib. Tapi abah dan Ummi mesti sibuk. Sebab mereka buka bazar puasa. Tiada siapa yang boleh hantarkan aku nanti.

ANDA SEDANG MEMBACA
Hawa Untuk Sang Adam [E-book]√
Teen Fiction"Anti boleh ke handle ni? Ke nak ana yang handle Queen Dorm? Hmm?" - Adam. Tanpa sedar, kata-kata itu mengguris hati kecilnya. Jika dengan para puteri (pelajar perempuan), hatinya cepat saja cair. Tapi, jika dia dengan ketua para putera (pelajar lel...