Hijrah

15.7K 104 3
                                    

Hari demi hari hubungan Ina dan Adi semakin rapat. Adi dapat merasakan dirinya menjadi tempat Ina meluahkan perasaan dan masalahnya, terutamanya yang melibatkan suaminya. Adi tidak kisah dan sedia menjadi telinga yang setia mendengar dan menasihati apa yang perlu. Tetapi Ina langsung tidak melayannya jika Adi yang mengirim whatsapp bertanyakan khabarnya. Dihantar sepatah, dijawab sepatah. Adi tidak kisah pun kerana dia tahu, dia bukanlah satu-satunya lelaki yang menjadi teman Ina berbual. Selain dirinya, Murad dan Faris juga selalu berbual bersama Ina di dalam whatsapp.

Adi bukanlah lelaki yang suka serkap jarang. Dia lebih suka menjadi pemerhati, mengumpul data dan kemudian barulah datangnya kesimpulan. Bukan sehari dua dia memerhatikan status online di antara Ina dan kedua-dua lelaki itu. Hampir 3 bulan Adi mengumpul data untuk mendapat keputusannya.

Mudah saja caranya. Hanya perlu muat turun aplikasi pemberitahuan bilakah seseorang itu online. Hasilnya memang seperti yang dijangkakan. Setiap kali Murad online, Ina pasti online. Terutamanya sewaktu Malik bekerja. Jangkamasa mereka berdua sama-sama online juga sama hampir setiap hari. Terutama sekali jika suami Ina pulang dari kerja sekitar pukul 5 petang, Ina tidak akan online dan begitu juga Murad. Jika ianya berlaku sesekali, bolehlah ditakrifkan sebagai kebetulan. Tetapi jika setiap hari, jelas sekali ia satu skandal.

Sama juga kisahnya dengan Faris. Cuma apa yang mendatangkan rasa pelik adalah, tidakkah sikap Faris yang selalu berbual bersama Ina itu menganggu waktunya mengajar di sekolah? Paling ketara jika isteri Faris yang bekerja syif sebagai jururawat di hospital tiada dirumah kerana bertugas. Meriah sungguh bacaan aplikasi dengan data yang menunjukkan Ina dan Faris sama-sama online dan sama-sama offline hampir setiap masa. Adakah ianya kebetulan? Jika hampir 3 bulan begitulah bacaannya, pastinya tidak.

Adi hanya mampu tersenyum. Tidak sia-sia dia melayari forum di internet dan mengetahui bahawa situasi sebegitu rupa-rupanya berlaku di serata dunia. Ianya juga adalah pendekatan pertama bagi pasangan di seluruh dunia yang ingin tahu kecurangan pasangan sekiranya mereka kenal siapakah skandal pasangan mereka dengan mengambil bacaan online kedua-duanya dan memerhatikan kekerapan mereka online untuk berbual bersama.

Pendekatan kedua adalah dengan menyelinap masuk ke dalam handphone pasangan bagi mengumpul bukti-bukti kukuh dari segi rakaman perbualan. Namun pendekatan itu sudah terlalu jauh untuk Adi. Malah adalah menyalahi undang-undang untuk dia melakukan teknik itu kepada Ina kerana Ina bukanlah isterinya. Jika Ina isterinya sekali pun, belum tentu Adi mampu melakukannya kerana dia hanyalah seorang remiser, bukannya pakar IT. Komputer ribanya rosak sedikit pun dia sudah menggelabah kerana takut tidak dapat membuat pembentangan kepada pelabur.

Adi langsung tidak cemburu Ina gemar berbual mesra bersama lelaki lain. Walau pun dihatinya sudah berputik perasaan sayang meskipun Ina hanya mencarinya jika perlu. Kerana bagi Adi, yang patut cemburu adalah suami Ina iaitu abang Malik. Lagi pun Adi sedar, dia bukanlah siapa-siapa di mata Ina.

Adi tahu, Ina bukan sahaja inginkan seorang lelaki yang memahami keadaan dirinya, malah yang boleh diharap membantunya disaat memerlukan. Bagi Adi, dia tiada masalah untuk membantu Ina. Asalkan Ina sudi melayannya sebagai teman yang baik. Bukan yang hanya mencarinya sewaktu susah, tetapi sewaktu senang melayannya acuh tak acuh.

Ini kerana Adi sendiri pernah beberapa kali cuba berbual mesra dengan Ina namun dilayan bagai melepaskan batuk di tangga. Kerana itulah Adi tidak menghulurkan bantuan sewaktu kereta Ina ingin ditarik oleh bank dulu. Jika sejak dulu lagi Ina melayan Adi dengan baik, bukannya ditanya sepatah dijawab sepatah. Nescaya bukan setakat pinjam duit untuk bayar sebulan, langsaikan semua hutang tertunggak kereta Ina pun Adi tiada masalah. Adi lebih dari mampu, cuma dia bukan jenis orang yang suka menunjuk-nunjuk harta.

Namun siapa sangka, disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Bidalan ini bukanlah merujuk kepada hubungan antara Adi dan Ina, tetapi kepada rumah tangga Adi. Norlin yang selama bertahun-tahun menjadi isteri Adi akhirnya pergi menemui Pencipta. Kecederaan dalaman akibat kemalangan sewaktu keluar bertugas telah meragut nyawanya. Tinggal Adi sendirian tidak berteman. Bermurung duka berhari-hari sendirian meratapi nasib. Sudahlah perkahwinannya dengan Norlin tidak dikurniakan cahaya mata. 2 kali keguguran dan terus tiada sebarang tanda berita. Kini dirinya sendirian menghadap hari-hari mendatang.

Dalam keadaan begitu, Ina terus hilang dari radar. Seakan tidak wujud dalam hidup Adi sedangkan dia memerlukan seseorang untuk mendengar luahan hatinya. Sedangkan apa yang Adi lihat, Ina sedang sibuk online bersama Murad.

Perasaan cintanya kepada Ina membuatkan dia akur bahawa dirinya bukanlah yang terbaik untuk wanita pujaannya itu. Mungkin sikap Adi yang tidak gemar menunjuk-nunjuk harta membuatkan dia dipinggirkan Ina. Selain kesibukan Adi yang telah dinaikkan pangkat dan tidak dapat menjadi langau yang sering menghantar mesej puji-pujian penuh kemesraan kepada Ina seperti lelaki lain. Kerana Adi sedia maklum Ina mengahwini Malik dulu pun kerana harta, tanpa memikirkan bahawa hidup ini ibarat roda yang terbukti telah pun meletakkan mereka di bawah.

Akhirnya Adi memilih untuk menjual rumah yang dibeli atas dasar kasih sayang kepada arwah isterinya itu dan berhijrah ke tempat lain. Tindakannya itu bukanlah kerana sikap Ina, tetapi kerana ingin mengurangkan rasa kesepiannya yang merindukan arwah isterinya.

Walau pun Adi berkecil hati kepada Ina kerana kebodohan wanita itu yang tidak memperdulikan diri Adi yang sedang memerlukan sokongan moral, sebaliknya tergedik mengejar puji-pujian dari lelaki lain sambil berlagak suci seakan wanita lindungan syurga di mata masyarakat, namun Ina tetap menjadi wanita yang bertakhta di hati Adi. Walau pun mereka tidak pernah meluahkan cinta, namun perasaan itu tetap ada dan tidak akan berubah dari hati Adi.

Adi sedar bahawa tahap kebodohan Ina memang berada di tahap yang tertinggi, kerana itulah dia berkecil hati kepadanya. Namun Adi faham status akal Ina yang agak kekampungan dan demi sayangnya kepada Ina, Adi berundur diri agar Ina bahagia hidup dalam kegedikkan  dan tidak menghargai Adi. Bagi Adi, biarlah dia hadap sendiri segala tekanan mental lantaran kesepian tidak berteman, dan membiarkan Ina kekal dengan kebodohannya. Kerana bagi Adi, kebahagiaan dan kegembiraan Ina adalah yang paling utama. Adi tersenyum terkenangkan kegedikan Ina yang mencuri hatinya. Namun siapalah dia untuk wanita itu. Adi tersenyum lagi, sambil pergi membawa haluan diri.

GedikTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang